Penulis jelas yang sekarang ni sedang musim tengkujuh, tapi tidak bermakna anda harus ‘berpuasa’ dari menikmati hidangan manisan sejuk seperti ais krim!
Untuk pengetahuan semua, penulis ini memang jenis suka makan pencuci mulut, lebih-lebih lagi jika manisan tersebut diramu dengan buah-buahan. Sampai suatu ketika, masa tu penulis teringin sangat nak makan ais krim tapi tiada sesiapa di rumah, lesen memandu pun penulis belum ada lagi waktu tu. Jadi berbekalkan sesikat pisang yang ada tersimpan di atas kabinet dapur, milo dan nestum, penulis cipta ais krim sendiri.
Pada awalnya penulis tak sangka yang ais krim pisang ni akan menjadi, tapi bila dah siap dibekukan, rasanya sumpah jauh lebih enak dari ais krim yang ada di kedai-kedai runcit.
Percaya tak? Hanya guna tiga bahan utama ni, anda boleh hasilkan ais krim pisang yang enak berkrim! Dahlah sedap, tak perlu gula tambahan mahupun krim. Sihat kan? Jom penulis kongsikan resepi.
Bahan:
- Pisang Emas
- Nestum (ikut perisa pilihan)
- Milo
- Alat melenyek
- Bekas menggaul
- Cawan ais krim
- Plastik kemasan penutup (Cling Wrap)
Cara:
1. Sediakan bekas bersih, hiris tebal pisang supaya mudah untuk dilenyek.
2. Penulis sengaja gunakan pisang emas sebab teksturnya lebih lembut dan rasanya manis berlemak.
3. Lalu, lenyek pisang sehingga konsistensinya menjadi seperti pisang lenyek untuk dijadikan cekodok.
4. Sediakan cawan ais krim atau gelas jerinih pilihan anda.
5. Lapiskan bahagian permukaan cawan ais krim dengan nestum terlebih dahulu.
6. Lapiskan pula dengan pisang lenyek sebelum ditabur dengan serbuk milo di atasnya.
7. Ulang dengan lapisan nestum, pisang lenyek dan milo sehingga ke pangkal permukaan cawan ais krim tersebut. Pastikan bahagian paling atas adalah taburan milo.
8. Tutup permukaan dengan plastik kemasan jernih (cling wrap) agar ais beku tidak menyelaputi bahagian atas ais krim pisang tersebut.
9. Simpan semalaman di dalam peti ais sehingga benar-benar beku.
10. Siap! Nikmatinya ketika sejuk sebagai pencuci mulut setelah selesai makan malam mahupun dijadikan snek supper ketika menonton bersama tersayang.
Ais Krim Pisang Berlapis Milo & Nestum ni sesuai untuk semua peringkat umur. Tak perlu gula kerana manisan sedia ada dalam Nestum, Milo dan pisang itu sendiri akan bergabung untuk hasilkan perisa paling best! Rupa memang agak hambar, tapi sedap tak tipu okay.
Selamat mencuba!