“Saya terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali sebelum melihat serpihan besi pencangkuk kren terjatuh dan menghempap kereta Perodua Kelisa di depan saya”, demikian menurut seorang saksi kejadian seorang pemandu wanita yang maut akibat dihempap besi kren di Jalan Raja Chulan, di sini malam ini.
Pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Elizabeth, 34, berkata ketika kejadian beliau sedang memandu selang beberapa kenderaan di belakang kereta mangsa dan sempat mengelak daripada turut terlibat dalam insiden pada 7.20 malam itu.
“Saya nampak orang ramai bertempiaran lari dan menyelamatkan diri melihat sebahagian besi kren jatuh dan menghempap kereta Kelisa itu,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di sini, malam ini.
Beliau berkata pemandu lain sempat mengelak dan menyelamatkan diri masing-masing, namun pemandu Kelisa tersebut tidak sempat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Sementara itu, seorang penunggang motosikal Hafiz Zakwan, 29 yang turut menggunakan laluan itu, memanjatkan kesyukuran kerana tidak terlibat dalam kejadian malang tersebut.
INSIDEN:KEMALANGAN MELIBATKAN KERETA DAN KREN
ALAMAT: BERSEBELAHAN PAVILLION JALAN RAJA CHULAN pic.twitter.com/FK9AI89T9Q— 𝕻𝖊𝖓𝖌𝖍𝖆𝖘𝖚𝖙 𝕽𝖆𝖐𝖞𝖆𝖙 (@PutraREFORMASI) August 25, 2016
“Saya berharap pihak pengurusan pembinaan ini akan lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan semasa melakukan kerja pembinaan,” katanya.
Dalam kejadian 7.20 malam tadi, mangsa Chim Khoo Sing, 24, berasal dari Pulau Pinang maut akibat dihempap serpihan besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan di Jalan Raja Chulan itu.
Menurut polis mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan.
Wanita berkenaan yang berpakaian pejabat itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Sementara itu, ketua polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis menyiasat insiden itu mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.
Beliau berkata polis menerima maklumat berhubung insiden penyangkut kren yang terjatuh itu pada 7.18 malam.
“Saya mengesahkan kejadian itu berlaku melibatkan sebuah kereta Perodua Kelisa yang di dalamnya terdapat seorang wanita berusia 24 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Amar Singh berkata punca insiden itu masih disiasat. -Bernama