Hujung minggu rasa seperti ingin ke suatu tempat yang tenang, cantik dan jauh dari kesibukan kota. Satu lagi tempat yang boleh anda pergi dan penulis pasti anda akan rasa teruja kerana tempat ini sangatlah cantik dan cukup unik sekali. Seperti berada di luar negara dengan rekaan binaannya.
Masbro Village terletak di Paya Rumput, Melaka, kira kira tujuh kilometer dari pusat bandaraya bersejarah itu. Homestay atau rumah tumpangan ini menampilkan gaya rumahnya yang tiga segi sememangnya membuatkan ramai tertawan akan keunikannya.
Pengurusnya, Mazlan Abdul Rahman berkata Masbro Village adalah sebuah perniagaan keluarga, dan nama Masbro adalah gabungan nama adik-beradik pemilik. Inspirasi rumah ini dikatakan mirip Brighton Beach di Australia.
Apa yang menarik tentang Masbro Village adalah bahagian luarnya yang berwarna-warni dengan senibina rumah berbentuk tiga segi malah landskap yang kemas ini membuatkan pelanggan terasa seperti berada di luar negara. Bahagian dalam juga tidak kurang hebatnya, cukup luas dan bersih sekali.
Dah tengok gambar, pasti nak tahu harga penginapan di situ bukan? Harga penginapan di Masbro Village adalah RM250 untuk semalam (harga promosi). Menyediakan kemudahan seperti ketuhar, peti ais, katil di kedua-dua tingkat, penghawa dingin dan bilik mandi yang dilengkapi dengan pemanas air. Masbro Village ini boleh menempatkan seramai enam orang. Pelanggan juga tidak perlu risaukan tentang keselamatan kerana kawasan ini berpagar.
Untuk info lebih lanjut dan sebarang pertanyaan, anda boleh ke Facebook MasBro Village.
Sumber : Says.com & Gambar dari Facebook MasBro Village