Kes pembunuhan adalah antara perkara yang sukar untuk dihadam oleh kebanyakan orang. Meskipun kita bukanlah mangsa yang berdepan kesengsaraan menghadapi detik-detik akhir sebelum nyawa diragut orang lain tanpa rela, dengan hanya membaca kisah-kisahnya sahaja sudah cukup untuk meninggalkan kesan sehingga menghantui diri.
Ada yang kejam, pelik, seram dan adalah paling menghampakan apabila pembunuh tidak dapat dikenal pasti dan akhirnya kes ditutup begitu sahaja dek kerana tidak dapat diselesaikan dengan konklusi atau teori yang masuk akal.
Wanista kongsikan bersama dengan anda beberapa kes pembunuhan misteri yang akan membuat anda berkerut sambil meremang.
#1 Kematian JonBenét Ramsey
JonBenét adalah kanak-kanak 6 tahun. Hidupnya adalah bagaikan mimpi yang diidam-idamkan oleh kanak-kanak lain yang sebaya dengannya kerana JonBenét memiliki segalanya lebih dari apa yang dia mahukan. Ayahnya adalah seorang tokoh korporat yang sedang membangun dengan syarikat dan bakat dalam bidang pengkomputeran manakala ibunya adalah seorang graduan kewartawanan dan merupakan bekas ratu cantik yang disegani.
Hidup anak ini cukup mewah dan popular apabila ibunya mula mendedahkan anak perempuannya itu dengan dunia glamor ratu cantik. JonBenét menyertai banyak pertandingan ratu cantik kanak-kanak sepanjang hidupnya sebelum dia ditemukan mati kerana dibunuh pada malam Krismas, 26 Disember 1996. JonBenét juga mempunyai seorang abang yang berumur lebih kurang 10 atau 11 tahun waktu itu.
Selepas pulang dari parti Krismas, JonBenét diangkat dari kereta ke bilik oleh bapanya sebelum menghabiskan waktu bersama anak lelakinya Burke (abang JonBenét) sambil menyiapkan model permainan kereta api yang merupakan hadiah Krismas kegemaran Burke supaya kemudian anak lelakinya itu boleh lekas masuk tidur.
Sekitar jam 4 pagi, ibu kepada JonBenét terjaga dari tidur lalu terjumpa 3 helai kertas dengan nota ugutan yang disusun kemas pada anak tangga rumahnya. Menjadi panik selepas membaca 3 baris ayat pertama nota berkenaan yang mengatakan anaknya telah diculik, Patsy Ramsey berlari ke atas untuk melihat jikalau anak perempuannya masih ada. Ternyata anaknya hilang.
Nota berkenaan menerangkan secara terperinci berkenaan jumlah wang $118,000 yang harus dibawa jika mahu menuntut kembali anaknya dan betapa tegasnya mereka (kumpulan penculik) akan bertindak jika keluarga Ramsey tidak melakukan apa yang mereka mahu.
Patsy kemudian bertindak untuk membuat laporan polis menghubungi 911. Tidak lama selepas itu, detektif tiba dan mahu membuat pemeriksaan rumah serta kawasan dikelilingnya untuk menganalisis maklumat penculikan.
Bapa JonBenét, kemudian turun ke bahagian bawah rumah bersama rakannya yang menemaninya ketika itu lalu terkejut kerana terlihat mayat anaknya, JonBenét terbaring kaku sambil dijerut, tangannya diikat sementara tubuhnya dihampar dengan selimut. Terdapat juga kesan luka seolah lebam tusukan alat kejutan elektrik pada bahagian tubuh JonBenét.
Hasil bedah siasat mendapati tengkorak JonBenét pecah meskipun tiada darah atau kesan kulit koyak pada bahagian kepala kerana dipukul dengan objek tumpul keras (dipercayai lampu suluh) dan mungkin telah didera secara seksual berpandukan DNA asing yang ditemui pada seluar dalam JonBenét.
Rancangan realiti televisyen yang merungkai misteri sebenar motif pembunuhan JonBenét
Netizen mula berdebat dan menganggap ini mungkin berkaitan dengan profesion JonBenét sebagai ratu cantik kanak-kanak yang sering berpakaian seksi dan menunjukkan gaya gemalai di khalayak umum menyebabkan dia menjadi perhatian lelaki “pedophile” yang telah membunuhnya.
Walau bagaimanapun tiada seorang suspek tetap yang ditahan sepanjang kes siasatan pembunuhan ini berlangsung, bahkan terlalu banyak konspirasi dalaman yang berlaku antara keluarga Ramsey bersama penguam peribadi mereka yang seolah-olah menyembunyi sesuatu.
Keluarga Ramsey banyak mengelak untuk bekerjasama dengan polis dan media. Ada teori mengandaikan bahawa ibu bapa JonBenét sendiri yang telah merangka semua jalan cerita pembunuhan ini untuk menutup kesalahan mereka yang sebenarnya telah membunuh anak sendiri.
TERKINI: Hasil dari siasatan semula dijalankan oleh pakar-pakar hebat yang diundang untuk muncul semula dalam sebuah rancangan televisyen siasatan The Case Of: Jonbenét Ramsey hampir berjaya merungkai misteri kematian JonBenét secara teliti dan terperinci berpandukan bukti-bukti kukuh. Mereka mengeluarkan kenyataan mungkin abangnya sendiri yang tidak sengaja telah mencederakan JonBenét sehingga mati. Bagi mengelak anak lelakinya itu dicekup polis, pasangan Ramsey telah mereka-reka cerita seolah anaknya itu telah diculik dan dibunuh oleh orang luar.
Buktinya, ketika berada di sidang akhbar, pasangan itu seolah-olah kaku, berubah air muka dan tergagap menjawab setiap persoalan yang diajukan media kepada mereka. Burke Ramsey iaitu abangnya pula sering ketawa saat ditemu ramah mengenai perasaannya apabila mengetahui adiknya telah mati serta hubungannya dengan JonBenét oleh pakar psikologi. Ia menunjukan seolah-olah sebagai abang, Burke langsung tidak kisah dan risau akan kehilangan adiknya itu.
Burke dikatakan berkelakuan kasar mungkin kerana terasa disisih sejak kelahiran adik perempuannya itu. Lebih-lebih lagi apabila adiknya aktif memasuki pertandingan ratu cantik, sudah tentu perhatian si ibu beralih sepenuhnya terhadap JonBenét, itukan minat mendalam ibunya…
Reaksi Burke Ramsey ketika bercerita tentang adiknya
Ibu JonBenét, Patsy telah meninggal dunia pada tahun 2006 kerana menghidap kanser ovari manakala John masih hidup sehingga kini. Abangnya pula merupakan seorang penganalisa komputer yang berjaya. Kes pembunuhan JonBenét ditutup dan masih menjadi misteri yang belum selesai.
#2 Elisa Lam & Cecil Hotel
Cecil Hotel adalah sebuah hotel lama yang tersergam di kota Los Angeles. Hotel tersebut banyak dikaitkan dengan kisah misteri dan pembunuhan popular sepanjang zaman.
Suatu hari, seorang pengunjung yang menginap di hotel tersebut membuat laporan kepada pihak urusan hotel bahawa air di biliknya bertukar menjadi kelam dan mempunyai rasa yang pelik (orang barat gemar minum air terus dari paip) malah tekanan air juga rendah seolah sesuatu telah menyumbat paip utama menghalang kelancaran aliran air. Fakta itulah yang telah membawa kepada pembongkaran misteri kehilangan Elisa Lam.
Elisa Lam, 21, seorang pelancong Kanada telah masuk dan menginap di Cecil Hotel pada 26 Januari 2013. Kemudian, 18 hari selepas dirinya dilihat untuk kali terakhir, mayat Elisa Lam yang bogel dan terapung telah dijumpai di dalam tangki air hotel setinggi 8 kaki.
Untuk pengetahuan anda, Elisa Lam asalnya menginap di sebuah bilik yang dikongsi bersama seorang lagi individu tetapi dia telah dipindahkan ke bilik yang baru setelah laporan dibuat oleh teman sebiliknya kepada pihak hotel bahawa Elisa berkelakukan pelik.
Namun, Elisa Lam dilihat buat kali yang terakhir berada di pintu elevator hotel sambil berkelakuan aneh. Kelakuan Elisa Lam itu tanpa disedari telah dirakam oleh CCTV elevator.
https://www.youtube.com/watch?v=JQcTuTXpj3c
Elisa Lam seolah menyorok dan melarikan diri dari sesuatu. Dirinya kemudian bertindak untuk menekan butang lif ke semua tingkat sambil dirinya mengintai-ngintai di luar lif dan menggerak-gerakkan tangan seolah bercakap dengan seseorang.
Teorinya, mungkin Elisa Lam sedang mabuk atau sedang berhalusinasi. Sebuah laporan mengatakan bahawa Elisa sebenarnya menghidap Bipolar kerana pernah mengambil 14 jenis ubat-ubatan. Selain itu, ada juga teori mengatakan bahawa Elisa Lam telah dibunuh.
Hasil bedah siasat menyatakan bahawa Elisa Lam tidak dibunuh kerana tiada sebarang kesan kecederaan mahupun pergelutan ke atas tubuhnya.
Namun, persoalan yang lebih besar di sini adalah jika benar Elisa bipolar sekali pun, tidak mungkin dia dapat memanjat ke bahagian bangunan paling atas kerana pintu keselamatan ke bahagian atap dikunci selamat oleh pihak hotel. Malah, penutup tangki seberat 20 paun itu tidak mungkin dapat dialihkan oleh seorang gadis sekaligus menyangkal dakwaan Elisa sebenarnya telah membunuh diri. Penutup tangki juga tertutup rapat saat mayatnya ditemukan. Mana mungkin setelah terjun dia boleh menutupnya kembali kan?
Hairannya, adakah ini angkara hantu? Ramai percaya sewaktu berada di lif, Elisa Lam sebenarnya sedang berkomunikasi dengan roh atau hantu kepada pembunuh bersiri yang pernah melakukan pembunuhan terhadap 13 mangsa di Cecil Hotel dari 1984 hingga 1985.
Ya, ini mungkin angkara Cecil Hotel yang sebenarnya berhantu dan berpenunggu gara-gara banyak pembunuhan yang berlaku di situ seperti kes pembunuh Jack Unterweger tahun 1991, satu pembunuhan misteri yang tidak diketahui pembunuhnya tahun 1964 serta merupakan salah satu tempat kali terakhir Black Dahlia dilihat orang awam tahun 1940. Selain itu, ramai juga individu telah membunuh diri terjun dari tingkap biliknya di Cecil Hotel.
Hasil siasatan mengandai kes Elisa Lam sebagai kemalangan lemas.
***Hmm apa pun, faktanya memang tidak logik kerana sulit untuk seorang manusia biasa boleh melakukan perkara begitu sendirian.
#3 Pembunuhan Bersiri Zodiac Killer
Pernah tonton filem Zodiac lakonan Jake Gyllenhaal yang diterbitkan sekitar 2007? Filem penculikan dan pembunuhan itu mungkin diadaptasi dari kes sebenar The Zodiac Killer.
Zodiac Killer adalah gelaran kepada pembunuh bersiri misteri yang dipercayai ada kaitan dengan 5 kes pembunuhan di Utara California dari tahun 1968 hingga 1969 dan dalam masa yang sama mungkin telah membunuh lebih 37 orang mangsa lain secara keseluruhan.
Kes berkenaan mula menjadi perhatian polis apabila sepasang kekasih remaja David Faraday, 17 dan Betty Lou Jensen, 16, ditembak di tempat letak kereta berhampiran Lake Herman daerah Vallejo, California pada 20 Disember 1968 sekitar jam 11 malam. Bagaimanapun, sebaik polis sampai, David masih hidup tetapi mati semasa dalam perjalanan ke Hospital. Ini adalah permulaan kes pembunuhan Zodiac Killer.
Pembunuhan seterusnya berlaku pada 4 Julai 1969 di Blue Rock Springs Park, Vallejo, California. Ini adalah kawasan yang tidak jauh dari lokasi pembunuhan pertama. Darlene Ferrin dan Michael Mageau turut ditembak sebelum kembali sekali lagi untuk menembak mangsa buat kali yang kedua. Sewaktu bantuan sampai, hanya Michael yang masih hidup dan berjaya membuat penerangan berkenaan wajah lelaki yang menembaknya. Pembunuh tersebut dikatakan seorang lelaki putih yang masih muda mungkin berumur 26 hingga 30 tahun, berwajah lebar, berbadan sasa, berketinggian sekitar 5’8″ dan mempunyai rambut kerinting perang (Entah kenapa pula gambaran yang dilukis tidak sama dengan fizikal yang dicanangkan mangsa awal).
Tidak lama selepas itu, polis menerima panggilan dari seorang lelaki mengaku bahawa dialah yang bertanggungjawab dalam dua pembunuhan itu.
https://www.youtube.com/watch?v=AeigE-sDyc0
Pada 1 Ogos 1969, San Francisco Examinar, San Francisco Chronicle dan Vallejo Times-Herald (sebuah akhbar tempatan) menerima sepucuk surat yang sama tanpa alamat penghantar. Surat itu mempunyai maklumat lengkap mengenai kedua-dua pembunuhan dan disertai simbol “Zodiac Killer” dan tulisan yang membentuk kod (menggambarkan identiti pembunuh tersebut).
FBI serta badan-badan keselamatan lain cuba merungkai tulisan kod tersebut bagi mengenal pasti identiti pembunuh sebenar dan akhirnya berjaya ditemui dan difahami oleh pasangan guru Donald Harden dan isterinya Bettye. Kod tersebut bermaksud, “Saya suka membunuh orang kerana ia sesuatu yang menyeronokkan.”
Pada 27 September 1969, Zodiac Killer muncul semula dan kelibatnya dilihat oleh sepasang kekasih yang bercanda di tepi Lake Berryessa. Lelaki yang mungkin merupakan Zodiac Killer itu dikatakan berbaju hoodie dengan cetakan simbol bulatan berpalang. Lelaki itu mengikat mereka dan bertindak menikam kedua mangsa lalu meninggalkan mesej khas untuk polis yang ditulis pada pintu kereta mangsa. Kedua mangsa berada dalam keadaan kritikal dan Shepard, salah seorang mangsa tikaman mati tidak lama selepas itu.
Dua minggu selepas kejadian, Zodiac Killer kembali beraksi menembak seorang pemandu teksi 29 tahun. Pada mulanya, kes tembakan itu hanya dikaitkan dengan kes rompakan namun sepucuk surat diterima menerangkan perihal pembunuhan pemandu teksi malah ia turut disertai cebisan pakaian yang dipakai mangsa ketika ditembak. Dalam pada itu, Zodiac Killer turut menyatakan hasratnya untuk melakukan pembunuhan terhadap kanak-kanak yang memenuhi sebuah bas sekolah.
Kes siasatan giat dijalankan namun atas sebab-sebab tertentu termasuklah kekurangan bahan bukti, pihak polis sukar menjejaki pembunuh misteri ini dan dalam masa yang sama kredibiliti polis sering sahaja dipertikaikan oleh si Zodiac Killer melalui surat-surat layangnya kerana mereka gagal mencari dan menangkapnya.
Penerimaan surat berhenti pada tahun 1974. Sehingga kini status Zodiac Killer masih tidak diketahui dan ini amat menghampakan pihak berkuasa.
#4 The Somerton Man
Lelaki ini dijumpai berbaring di sebuah pesisir pantai Somerton Australia sambil memakai sut kemas dengan kasut yang siap digilap pada tahun 1948.
Apa yang memeningkan kepala adalah kematiannya tiada langsung berkait dengan pembunuhan kerana tiada sebarang tanda-tanda hasil pergelutan atau kecederaan yang bisa dikesan dari mayat lelaki ini. Dirinya seolah telah mati dengan tenang.
Kes ini menjadi bertambah rumit apabila identitinya tidak dapat dikenal pasti cuma pihak berkuasa meletakkan andaian bahawa kematiannya mungkin berlaku disebabkan oleh serangan jantung atau keracunan.
Bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa akhirnya mendedahkan tiada sebarang racun yang dikesan dalam tubuhnya. Hasil kajian mengatakan makanan terakhir yang dijamah olehnya adalah hanya sejenis pastri.
Kesemua maklumat peribadi yang dapat merungkai identiti lelaki ini langsung tidak ditemukan pada tubuh mangsa sama ada dokumen, dompet, tag nama dan lain-lain. Tambahan, cap jari yang diambil darinya juga tidak dapat dikenal pasti. Misteri bukan? Sudahlah tiada sesiapa yang dapat mengecam wajah dan identitinya, bahkan asalnya juga tidak diketahui meskipun wajahnya telah dipaparkan di dada akhbar ternama dan berita-berita televisyen.
Empat bulan kemudian, secebis kertas bergulung telah dijumpai di dalam seluar mangsa. Cebisan kertas itu disemat kemas dalam jahitan kelim getah pinggang seluar yang dipakai mangsa ketika mayatnya ditemui. Ia umpama poket misteri. Apa yang tertulis pada kertas itu adalah dua patah perkataan yang berbunyi “Tamam Shud” yang membawa maksud ‘It Is Ended’ atau ‘ia telah berakhir’.
https://www.youtube.com/watch?v=xkW3rMkxvqY
Kes ini diandaikan sebagai bunuh diri tetapi mengapa agaknya tiada sebarang kecederaan pada tubuhnya malah kesan racun juga tidak ditemui dalam badan saat melakukan bedah siasat? Hanya tubuhnya yang terbaring tenang sambil pakaian cantik masih lagi melekat pada tubuh.
Lapan bulan selepas kematian lelaki itu, seorang individu datang ke balai dengan membawa sebuah buku bertajuk “Rubuiiyat”. Buku itu adalah seperti kitab purba dijumpai dalam kereta miliknya yang diparkir berhampiran Somerton Beach selepas beberapa ketika mayat lelaki itu dijumpai. Saat itu, dia tidak terfikir bahawa buku itu ada kaitan dengan kematian lelaki misteri itu sehingga dia terbaca berita di akhbar mengenai gulungan cebisan kertas tersebut yang membawa beliau untuk bertemu dengan pihak polis bersama kitab tersebut. Muka surat paling belakang buku telah terkoyak dan bentuk koyak itu padan dengan bentuk cebisan kertas yang ditemukan dalam poket misteri seluar mangsa.
Pada kitab itu juga, terdapat nombor telefon dan kod misteri yang tidak dapat difahami. Polis menghubungi nombor tersebut yang kemudiannya membawa mereka kepada seorang wanita, Jessica. Apabila disoal siasat, wanita terbabit mengaku tidak sama sekali kenal atau pernah berhubung dengan mangsa. Cuma, wanita berkenaan berkata kitab kepunyaannya itu telah diberikan kepada seorang lelaki bernama Alfred Boxall. Polis mengandaikan mungkin nama mangsa adalah Alfred Boxall.
Bagaimanapun, setelah siasatan dilakukan, Alfred Boxall adalah individu yang masih hidup dan masih lagi menyimpan kitab diberikan oleh wanita itu. Jadi, mana datangnya kitab dijumpai dalam kereta itu?
Tidak lama selepas itu polis mendapat tahu yang Jessica mempunyai seorang anak lelaki tetapi tidak diketahui siapa bapa bayi berkenaan. Cuma apa yang pasti, identiti fizikal anak itu hampir sama dengan mangsa seperti gigi dan telinga.
Jadi siapa lelaki misteri yang tidak berwaris dan tidak mempunyai identiti ini? Adakah dia seorang perisik atau mahkluk asing yang berupa seperti manusia? Apa pula motif gulungan cebisan dari kitab tersebut yang dijahit kemas di dalam kelim seluar? Sehingga kini, kematiannya masih tidak dapat diselesaikan dan menjadi misteri.
#5 Pembunuhan Black Dahlia
Black Dahlia adalah gelaran yang diberikan kepada seorang gadis bernama Elizabeth Short yang lahir di Boston, Massachusetts pada 29 Julai, 1924.
Ketika usianya 22 tahun, gadis yang merupakan seorang penghibur berbakat era itu telah dibunuh dengan kejam di Los Angeles, California. Mayatnya dijumpai pada 15 Januari, 1947 berhampiran lot rumah kosong di taman perumahan sekitar Leimert Park. Badannya telah dikerat dua, (putus badan dengan kaki) tidak dibaluti seurat benang malah berada dalam keadaan yang sangat mengerikan. Wajahnya juga ditoreh sehingga tidak berupa.
Jelas seorang ditektif yang bertanggungjawab menyelesaikan kes pembunuhan Black Dahlia, Brian Carr dari Jabatan Polis Los Angeles, “Saya tak dapat bayangkan betapa kejamnya si pembunuh sehingga sanggup melakukan pembunuhan yang sebegitu dasyat terhadap si mangsa.”
“Tubuh Dahlia cacat, seolah darahnya telah diperah habis dari badan kemudian dicuci bersih,” tambahnya.
Kes pembunuhan misteri ini adalah antara yang paling popular dan selama dua bulan berturut-turut menjadi topik hangat muka hadapan akhbar-akhbar tempatan. Pembunuh masih bebas dan tidak diketahui identiti serta motif pembunuhannya.
P/s: Penulis sengaja tak mahu letak gambar tubuh Dahlia yang telah dikerat kerana sangat mengerikan. Tapi jika anda cukup berani, cubalah google “Black Dahlia Images”. Bila nampak gambar mayat dia, jangan pula kata penulis tak bagi amaran okay? hehe
Kalau suka kisah misteri sebegini, cuba kongsikan di bahagian komen kisah misteri macam mana yang anda mahu penulis kongsikan lagi lain kali.