Selari dengan trend masa kini, resepsi bukan lagi seperti kenduri perkahwinan dulu-dulu. Tiada lagi majlis rewang yang melibatkan jiran tetangga mahupun sanak saudara.
Kebanyakkan majlis resepsi perkahwinan kini dijalankan di kawasan yang lebih eksklusif, seperti di dewan, hotel, restoran mahupun taman-taman yang berlatarkan alam semula jadi. Banyak foto-foto yang dirakam demi mengabadikan momen teristimewa yang hanya dapat dirasai sekali seumur hidup.
Oleh itu, Wanista senaraikan beberapa idea latar “photo booth” yang boleh anda gunakan saat melangsungkan resepsi meriah -mengumpul kaum keluarga, sahabat handai serta kenalan bersama untuk meraikan hari bersejarah anda dan pasangan.
#1 Go Glitter!
Sesuai untuk acara resepsi di waktu malam mahupun acara yang dilakukan di kawasan “indoor”, latar yang berkilauan itu pasti dapat menyerlahkan foto-foto yang dirakam kala cahaya kamera memancar terus ke arah objek yang dirakam. Meskipun ringkas, hasil foto mesti cun habis!
#2 Bunga-Bunga Cinta
Warna-warni campuran bunga-bungaan pelbagai jenis bisa menaikkan seri suasana yang wujud di dalam foto rakaman itu nanti!
Tidak kisahlah sama ada anda menggunakan bunga plastik mahupun bunga segar, anda boleh buat latar sendiri hanya bermodalkan dinding di sekitar kawasan resepsi anda tanpa perlu menyewa kelengkapan photo booth yang disediakan oleh pihak andaman pengantin. Dah lah cantik, nampak hispter pula tu! Boleh digantung pada tapi seperti ‘hujan’ mahupun dilekat pada dinding seperti yang diajar oleh artikel [klik pada tajuk untuk baca] DIY DINDING BUNGA SEGAR SEBAGAI PHOTOBOOTH PERKAHWINAN YANG RINGKAS
#3 Belon Bukan Untuk Hari Jadi Semata
Eh! Nampak cantik juga kalau guna belon sebagai latar photobooth. Lain daripada yang lain. Asyik guna elemen floral, kali ni kita guna belon pula. Beli belon pelbagai warna -> pam dengan gas helium supaya boleh terapung -> ikat pada tali/reben halus yang dipotong pelbagai saiz -> susun belon mengikut paras panjang tali terdiri dari pelbagai ketinggian -> SIAP!
Jika tiada pemberat untuk diikat pada tali, anda boleh guna pita pelekat untuk lekatkan penghujung tali pada lantai. Pastikan pelekat betul-betul melekat, nanti takut belon berterbangan pula.
#4 Inspirasi Retro Polka Dot
Tak ada bajet nak guna khidmat perunding majlis perkahwinan yang tiptop, anda bolehlah pergi ke Daiso untuk beli benang mengait pelbagai warna untuk dijadikan bebola sebagai latar kepada photobooth resepsi. Ceria sangat you all!
#5 Sisik Ikan Untuk Tema Classy!
Paling mudah, anda boleh heret sepupu sepapat untuk rewang, potong kertas warna bersama! Lebih cantik jika anda gabungkan 3 jenis rona untuk latar sisik ikan ini. Seperti gambar contoh, mereka memanfaatkan kertas rona metalik agar sedikit menonjol.
Anda potong sahaja kertas berbentuk bulat sebanyak mungkin untuk dipenuhkan ke seluruh bahagian dinding latar secara bertindih. Hasilnya memang cantik, menarik, tertarik!
#6 Lace Ala Bohemian
Bingkai kayu dijadikan sebagai asas untuk memegang hamparan fabrik jenis renda (lace) yang terdiri dari pelbagai tekstur, corak dan warna. Sesuai benar untuk photo booth resepsi yang bertemakan klasik ala Bohemian!
#7 Tirai Gegelung Kertas!
Yang ini pun mudah, potong kertas warna pilihan panjang-panjang sebelum mengulung ia sambil dirantaikan pada satu sama lain seperti di dalam gambar (guna stapler untuk memudahkan kerja sambungan). Kreatif, ringkas dan cantik juga!
#8 Lampu Bunga Menjalar Dari Cawan Kertas
Bosan asyik lihat photo booth yang disediakan oleh pihak perunding majlis perkahwinan yang bertemakan papan dan blok kayu usang? Ha anda boleh serikan hiasan pada latar photo booth dengan lampu bunga menjalar ini. Mesti anda tidak pernah terbayang yang cawan kertas “cupcake” boleh dijadikan kelongsong mentol sebegini kan? Idea bernas!
#9 Sofa Santai
Nak suasana santai di mana rakan-rakan serta saudara-mara boleh berkumpul bersama dalam foto kenangan? Anda boleh sediakan ruang photo booth yang dilengkapi dengan sofa, bantal kusyen, tanaman hijau hidup serta tirai yang berkarakter seperti di dalam gambar.
#10 Papan Berbingkai!
Boleh jadi idea ini! Ramai orang yang boleh ikut serta dalam gambar. Papan latar ditebuk dengan pelbagai bentuk dan saiz agar ia kelihatan seperti dinding yang dihiasi bingkai gambar realistik!
#11 Papan Hitam Berlakar
KINI TRENDING: Papan hitam yang dilakar dengan mesej-mesej menarik, terdiri dari ucapan pengantin baru mahupun nama pengantin bisa menjadi latar photo booth resepsi yang sensasi!
#12 Elemen Rustic & Shabby!
Perkahwinan anda bertemakan gaya “old school”? Boleh curi gaya hiasan latar photo booth yang bercirikan elemen rustic & shabby seperti dalam gambar di atas.
#13 Pintu Lama Sebagai Latar Unik
Campur aduk papan atau daun pintu lama yang terpakai mengikut cita rasa tersendiri. Jangan lupa hiaskan ia dengan jambangan bunga mahupun hamparan kain untuk tambah karakter latar ciptaan anda itu. Perfect in its own way…
#14 Kain Carik
Gunting atau carik kain pelbagai warna panjang-panjang dan ikatnya pada tali seperti di dalam gambar. Mudah bukan? Oh! Jika anda hendak guna riben pun boleh!
TIP BONUS!
Sediakan ‘props’, terdiri dari signage mahupun kostum-kostum seperti kaca mata, aksesori, belon, pakaian menarik untuk digayakan tetamu agar foto yang dirakam itu nanti lebih menyerlah dan ceria. Lebih banyak prop yang digunakan, lebih gamatlah hasil gambar itu nanti.
Selamat mencuba!