Jangan salah faham, aktor kacak Leonardo DiCaprio tidak mempunyai sebarang pantai di Thailand.
Pihak berkuasa Thailand telah menutup kawasan pantai Maya Bay di Pulau Phi Phi kerana terlalu sesak dengan pengunjung dan aktiviti pelancongan. Pulau ini terus menjadi terkenal sejak filem ‘The Beach’ ditayangkan pada tahun 2000 iaitu lakonan Leonardo DiCaprio.
Ia menjadi destinasi wajib dikunjungi setelah mendapat perhatian melalui filem tersebut. Mana tidaknya, Maya Bay menghidangkan pemandangan pulau kecil, air laut kebiruan dan pasir pantai putih bak mutiara.
Sudahnya ramai yang datang untuk menikmati perkara yang sama namun lihatlah apa yang terjadi. Pantai hanya dipenuhi dengan bot-bot pelancongan, perenang dan aktiviti air yang padat. Bayangkan hampir 5,000 pengunjung setiap hari!
Penguatkuasa Pelancongan Thailand mengambil keputusan untuk menutup Maya Bay bermula dari 1 Jun hingga 30 September sebagai jalan pemulihan untuk batu karang dan hidupan laut tanpa gangguan manusia. Selain itu, ia juga untuk menjalankan beberapa pemeriksaan dan kajian terhadap ekosistem pantai dan laut.
Buat anda yang sudah merancang untuk ke Maya Bay, jangan risau anda masih boleh melawat dengan hanya melihat pantai sejauh 400 meter atau menaiki bot yang telah diluluskan bagi melawat dua curam ikonik berdekatan pantai.
Benarlah, manusia ini tamak akhirnya mengancam kehidupan benda lain termasuklah alam sekitar.