Kalau kamu berdarah Jawa atau merupakan orang yang berasal daripada Johor, gabungan tauhu dan tempe memang antara yang wajib dalam lauk seharian kan… Selain boleh dibuat tauhu sumbat atau digoreng sebagai ramuan enak bersama sambal tempe kering umpamanya, banyak juga menu menarik yang boleh dicipta dengan tauhu basah atau tauhu putih ni.
Oleh kerana resepi ini hanya menggunakan 5 bahan utama bahkan harga tauhu putih ini juga adalah sangat murah serta mudah didapati di pasaraya-pasaraya terdekat, jom Wanista ajarkan resepi tauhu goreng celup ni. Masa untuk main masak-masak!
Bahan:
- 5 – 6 ketul tauhu putih
- 5 sudu besar Tepung gandum
- 1 sudu besar tepung ubi kayu
- Secubit garam
- 1 camca soda bikarbonat
- 1 kiub pati ayam
- 2 cawan air
- 5 sudu air panas
Cara:
1. Potong empat setiap satu tauhu putih basah tadi. Pastikan sudah ditos air rendamannya dan bersihkan tauhu terlebih dahulu.
2. Dalam mangkuk kecil, bancuh kiub pati ayam dengan air panas. Biar sehingga pati ayam hancur menjadi air stok. Letak tepi….
2. Dalam mangkuk bersih yang lebih besar, masukan tepung gandum, tepung ubi kayu, soda bikarbonat dan garam. Kacau sebati kemudian, masukan air bancuhan kiub pati tadi… Gaul.
3. Kemudian, tambahkan 2 cawan air dan gaul sehingga menjadi air campuran tepung yang cair.
4. Tuang masuk kesemua tauhu yang sudah dipotong empat. Biar seketika.
5. Panaskan minyak dalam kuali, pastikan minyak menggoreng penuh untuk resepi gorengan ini.
6. Goreng tauhu sehingga agak garing sedikit lalu, curahkan lebihan air tepung tadi sedikit demi sedikit ke atas tauhu… Biar tauhu terus menggaring dalam minyak.
7. Lebih kurang 2 minit kemudian, tuangkan lebihan air tepung yang tersisa (sedikit demi sedikit) dan biar tauhu digoreng garing lagi.
8. Ulang langkah mencurah air tepung sehingga habis. Angkat tauhu dari api dna hidangkan bersama sos cili mahupun kicap cili untuk keenakan berganda!
Siap! Mudah sangat buat tauhu goreng curah ni. Memang sedap dibuat sarapan mahupun menu minum petang. Rasanya pula garing diluar dan lembut di dalam. Makan masa panas-panas memang nikmat sangat. Selamat mencuba ❤
INSPIRASI: Instagram/Khairul Aming