Makluman yang sangat mengejutkan. Sejak tiga hari lepas menerusi laman Facebook rasmi Nature Republic Malaysia, pihaknya mengumumkan bahawa syarikat kecantikan nombor 1 Korea itu bakal menutup cawangannya di Malaysia demi kebaikan.
Ramai penggemar dan pengguna jenama yang popular dengan produk Aloe Vera 92% Soothing Gel seolah tidak setuju dengan tindakan ini dan mengharapkan penjelasan sebagai pencerahan isu.
“Setahun yang lalu, Nature Republic Taiwan yang dimiliki oleh Nature Republic Korea telah ditutup. Sekarang, Nature Republic Malaysia yang merupakan peneraju dan pembekal utama produk kosmetik kecantikan Korea pula akan ditutup.”
Penerangan ringkas itu jelas membuatkan lebih ramai orang tertanya-tanya apakah isu yang sebenar sehingga memaksa kesemua cawangan Nature Republic di Malaysia harus gulung tikar.
Pihak Nature Republic Malaysia bagaimana pun memilih untuk tidak komen panjang berkenaan hal ini namun tampil berkongsi satu pautan ke sebuah laman yang menceritakan lanjut berkenaan isu ini.
Menurut portal Pulse, syarikat itu berdepan dengan reputasi merundum sejak beberapa bulan lalu berikutan bekas CEO lamanya, Jung Woon-ho yang terikat dengan skandal judi sejak tahun lalu bahkan dipenjara pada Oktober lepas.
Bukan itu sahaja, Jung Woon-ho juga bakal dikenakan hukuman atas beberapa dakwaan kerana terlibat dalam keganasan yang berkaitan isu politik baru-baru ini.
Insiden ini memberi impak yang besar buat Nature Republic secara keseluruhan sehingga syarikat tersebut harus menanggung kerugian operasi dianggarkan bernilai RM6,760,000 pada enam bulan awal tahun ini.
Hal ini sesungguhnya membuatkan ramai pengguna di Malaysia jadi kesal kerana hilang tempat untuk membeli produk kosmetik dan kecantikan Korea terbaik.
Biar pun begitu, laman Facebook rasmi Nature Republic Malaysia tidak menyatakan bilakah tarikh akhir mereka akan beroperasi sebaliknya hanya memberi petunjuk dengan berkata “while stock last.”
Jadi anda semua yang merupakan peminat tegar jenama Nature Republic, bolehlah lekas mendapatkan produk kegemaran anda sebelum semuanya terlambat.
Biarpun jenama Nature Republic boleh dibeli secara atas talian (online), sama sekali tidak sesiapa dapat mengesahkan keaslian produk berkenaan takut-takut produk yang dibeli itu adalah tiruan yang kemudiannya akan menjejaskan keselamatan pengguna seperti kes kulit melecur gara-gara menggunakan gel Aloe Vera Nature Republic tiruan yang pernah berlaku sekitar tahun lalu.
Baca artikel di sini: Penangan Nak Cepat Cantik Dengan Gel Aloe Vera, Muka Lecur Guna Produk Tiruan