Suatu kejutan dunia apabila dikhabarkan Putera Harry bakal berkahwin dengan wanita dari dunia hiburan Hollywood dan lebih memeranjatkan berdarah Amerika-Afrika sebelah ibu.
Bukan cerita biasa bila warga kulit hitam bakal menjadi salah seorang kerabat diraja Britain. Ini merupakan fenomena dan perubahan yang ditonjolkan sebagai kepelbagaian masyarakat.
BACA: Siapa Meghan Markle? Jom Kenali Tunangan Putera Harry Ini
Namun ramai yang tidak tahu sebenarnya bukan Meghan Markle menjadi wanita kulit hitam pertama tergolong dalam dunia diraja. Sebenarnya jauh di sebuah negara berdaulat ditengah Eropah, Liechtenstein terdapat seorang Puteri berdarah Afrika telah lama mengikat tali perkahwinan dengan putera raja disana. Cuma kisahnya kurang mendapat publisiti. Siapakah puteri ini?
Lahir sebagai Angela Gisele Brown di Panama yakni berketurunan Afro-Panama. Kemudian dibesarkan di kotaraya New York dan mendapat pendidikan penuh disana. Angela bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen sehingga berjaya menempatkan diri di sebuah kolej terkemuka, Parsons School of Design.
Beliau pernah memiliki sebuah jenama pakaian dinamakan A.Brown dan berpengalaman bekerjasama dengan seorang pereka fesyen Amerika, Adrienne Vittadini. Hebat!
Kisah cinta umpama filem Disney bermula apabila Angela bertemu dengan Putera Maximillian dalam sebuah parti khas pada tahun 1997 dan melangsungkan perkahwinan mereka di Vadus pada 2000.
Perkahwinan ‘antara kaum’ mereka mengejutkan keluarga kerabat diraja Liechtenstein, malah ada diantaranya mengatakan ini sebuah pengakhiran era dinasti.
Pasangan ini mempunyai seorang anak lelaki yang kini berusia 17 tahun diberi nama Putera Alfons iaitu semestinya kacukan darah Liechtenstein dan Panama.
Apa yang menariknya tentang Puteri Angela dan Putera Maximillian, mereka berdua menerima nasib yang sama seperti Meghan Markle dan Putera Harry iaitu sebagai pilihan kedua untuk mewarisi takhta. Ini kerana Putera Maximillian mempunyai seorang abang dan anak saudara lelaki.
Jika Meghan Markle dan Putera Harry mempunyai jarak usia berbeza 3 tahun, manakala Puteri Angela dan suami pula 11 tahun jauhnya! Puteri Angela kini berusia 60 tahun dan Putera Maximilian baru sahaja 49 tahun.
Dari pemerhatian penulis tentang busana perkahwinan Puteri Angela dan Meghan Markle ada sedikit persamaan. Lihatlah, mereka berdua masing-masing memilih leher baju ‘boat’, rekaan baju longgar berlengan panjang dan layah labuh. Ada yang mengatakan Meghan Markle mengambil inspirasi baju perkahwinannya dari Puteri Angela sebagai tanda penghormatan. Jika Meghan Markle menempah rekaan dari Givenchy, Puteri Angela mereka sendiri busananya!
Tidak banyak cerita sangat mengenai kehidupan Puteri Angela dari Liechtenstein, ini mungkin kerana ia sebuah negara kecil berbeza dengan Britain dan keluarga ini lebih gemar berselindung dari mata media. Perkahwinan Puteri Angela dan Meghan Markle menandakan perubahan globalisasi dunia seiring masa.