Rambut merupakan ‘mahkota’ dan wajib dijaga rapi oleh setiap wanita. Rambut yang cantik pasti menarik mata yang memandang, ditambah pula dengan perhiasan yang gah diatas. Wanita memang tidak pernah lekang dari apa jua aksesori termasuklah aksesori kepala.
Tahukah anda, hampir setiap kaum atau negara di dunia ini mempunyai aksesori kepala tersendiri. Bermacam jenis gaya, bentuk dan saiz dipamerkan. Ada yang bertujuan keagamaan, khas untuk majlis perkahwinan atau sebagai tanda pengenalan status.
Wanista senaraikan 10 jenis aksesori kepala dari 10 negara yang berbeza. Luas rupanya dunia ini dengan pelbagai fesyen tradisional. Jom lihat!
#1 China – Fengguan
Fengguan merupakan aksesori kepala wanita Cina, ia mula dipakai oleh wanita berkelas tinggi pada Dinasti Ming untuk majlis keramaian atau rasmi. Terdapat pelbagai jenis fengguan, bergantung pada jumlah naga, burung phoenix dan hiasan yang lain.
#2 Korea – Eoyeo Meori
Eoyeo Meori adalah aksesori rambut palsu khas untuk wanita yang sudah berkahwin. Ia dipakai oleh wanita ketika zaman Joseon. Sebenarnya terdapat banyak lagi jenis ‘Meori’ mengikut status wanita tersebut. Eoyoe Meori antaranya untuk status wanita yang berkelas tinggi seperti ratu, puteri raja atau dari keluarga kenamaan.
#3 United Kingdom – Fascinator
Fascinator diperkenalkan pada kurun 19 sebagai hiasan kepala yang menutup sebahagian rambut, namun ia mula menjadi fesyen pada tahun 1960 sebagai topi koktail sehinggalah 1990. Kini ia menjadi aksesori tradisional dipakai ketika majlis perkahwinan dan acara rasmi lain.
#4 Indonesia – Tengkuluk Tanduk (Minangkabau)
Tengkuluk Tanduk merupakan pelengkap gaya bagi pakaian tradisional orang Minangkabau. Bentuk tengkuluk sangat menarik, ia diambil dari bentuk tanduk kerbau. Biasanya dipakai oleh pengantin perempuan Minangkabau dan ia bermaksud wanita tersebut kini sudah menjadi pemilik rumah(isteri).
#5 Russia – Kokoshnik
Diperkenalkan pada kurun 16 – 19 di utara Russia, hiasan kepala dijahir khas dengan butiran mutiara dan hanya dipakai oleh wanita yang sudah berkahwin. Namun kini ia sudah menjadi aksesori kepada pakaian tradisional orang Russia. Rekaan kokoshnik diinspirasikan dari seni reka bangunan Russia sendiri.
#6 Amerika Syarikat – Warbonnets (Native American)
Ia bukanlah aksesori kepala semata-mata, Warbonnets melambangkan kuasa kepahlawanan, kepimpinan dan kerohanian didalam suku orang asli Amerika. Hanya mereka yang terbaik boleh memakai Warbonnets dari bulu burung helang. Tapi waspada, jika anda memakainya hanya untuk bertujuan fesyen ia dianggap tidak menghormati budaya mereka.
#7 Thailand – Lomi Akha (Kaum Akha, wilayah Chiang Mai)
Kaum Akha tinggal dikawasan bukit diantara empat negara iaitu Thailand, Laos, Myanmar dan wilayah Yunan di China. Pakaian tradisional wanita Akha biasanya berwarna-warni dan kepala mereka dhiasi aksesori kepala dipanggil Lomi Akha. Lomi Akha hiasan penuh bebola besi dipakai wanita dewasa manakala Ulo Akha untuk kanak-kanak perempuan.
#8 Namibia – Herero Cow Horn
Tidak seperti wanita Afrika lain yang mengenakan turban di kepala, puak Herero di negara Namibia menyerlahkan penampilan kolonial mereka dengan aksesori kepala berbentuk tanduk lembu. Kenapa kolonial? Mereka pernah dijajah oleh Jerman pada tahun 1884-1915 dan fesyen kolonial menjadi pakaian tradisional mereka sehingga sekarang.
#9 Bolivia – Cholitas
Kalau diperhatikan tepat, topi jenis bowler ini biasanya dipakai oleh lelaki Eropah, tapi macam mana pula wanita Bolivia boleh jadikan ia sebagai aksesori tradisional? Tahun 1920 di pasar La Paz, topi ini dijual murah pada wanita tempatan kerana saiz ia kecil untuk lelaki Eropah yang bekerja disana. Bermula dari situ lah ia menjadi fesyen bagi wanita Bolivia sehingga sekarang.
#10 Perancis – Coiffe
Coiffe yang bermaksud topi, renda berwarna putih yang dipakai oleh wanita sebuah di Perancis iaitu Brittany. Terdapat pelbagai jenis bentuk dan saiz Coiffe dan yang paling menarik ialah Bigouden Coiffe, topi renda dengan ketinggian yang mencecah 30-40cm. Coiffe dipakai sempena keraian istimewa atau festival tempatan.
Yang mana anda rasa paling menarik?