Drama hot yang menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia ‘7 Hari Mencintaiku 2’, mempunyai 33 episod secara keseluruhannya. Dan semalam pada 17 Ogos 2020, drama popular ini melabuhkan tirainya dengan episod terakhir yang cukup menyentuh jiwa raga.
Pasti ramai yang masih ingat bahawa drama yang ditayangkan bagi slot Akasia TV3 ini, merupakan kesinambungan bagi drama ‘7 Hari Mencintaiku’ yang ditayangkan pada tahun 2016.
Dengan menyambung cerita perjalanan hidup Mia Adriana dan Khuzairi dalam drama ‘7 Hari Mencintaiku 2’, penonton dapat mengikuti kisah Mia dan Khuzairi dengan lebih terperinci menerusi arahan pengarah hebat Jamal Khan.
Banyak isu-isu yang dikupas dan dipaparkan dalam drama popular ini, dan antara isu yang cukup sensasi adalah isu rumah tangga.
Setiap babak dan adegan dalam drama ‘7 Hari Mencintaiku 2’ ini membuatkan kita bukan hanya sekadar menonton, tetapi mencerakin makna serta nilai yang terdapat dalam setiap episod tersebut.
Jom kita lihat apa nilai moral yang terdapat dalam drama hot ini di bawah.
Terlalu Turutkan Ego
Konflik mula berlaku apabila Mia bersikap kurang ajar dengan Mak Leha ibu mertuanya depan suaminya, situasi bertambah keruh bila mana Mak Leha menjadi batu api dan menyuarakan hasrat sebenarnya mahu Khuzairi berkahwin dengan Nurul gadis pilihannya.
Dek terlalu marah Mia mencabar suaminya untuk berkahwin dengan Nurul, Khuzairi pada waktu itu merasakan dirinya dicabar menuruti kehendak ibunya.
Pertengkaran berlaku antara mereka mengusutkan lagi keadaan dan masing-masing pertahankan ego sendiri hingga rumah tangga menjadi retak.
Kerana Mulut Badan Binasa
Rumah tangga Mia dan Khuzairi mula hilang serinya bila mana Khuzairi menuruti kehendak ibunya Mak Leha untuk meminang Nurul sebagai isteri keduanya.
Manakala Mia sendiri mula menjauhkan diri dari Khuzairi dan berasa suaminya telah mengkhianati cinta mereka, sedangkan apa yang berlaku kerana cabaran yang dikeluarkan dari mulutnya sendiri.
Gangguan Orang Ketiga
Setiap jalan cerita pasti ada orang ketiga sebagai penyeri cerita, begitulah yang terjadi dalam drama ‘7 Hari Mencintaiku 2’ di mana kali ini rumah tangga Mia dan Khuzairi diganggu dengan kehadiran Nurul dalam hidup mereka.
Melihat wajah manis Nurul dan kelembutannya membuatkan Mak Leha merasakan keputusannya memaksa Khuzairi mengahwini Nurul adalah betul.
- Foto – Arkib Wanista
Dan Nurul sendiri tidak segan-segan menunjukan keinginannya untuk berkahwin dengan Khuzairi, meski tahu Khuzairi sudah berkeluarga.
Dah namanya orang ketiga tidak kira apa pun, mereka akan melakukan apa saja untuk mengecapi hajat di hati. Mungkin apa yang dipaparkan kelihatan ironik tapi apa yang disampaikan dalam drama ini, mencerminkan masalah rumah tangga dan realiti dunia sebenar yang dihadapi masyarakat.
Rumah Tangga Kucar Kacir Kerana Ibu Sendiri
Kerana dendam Puan Hayati kembali ingin memporak perandakan rumah tangga anak perempuannya Mia berserta ahli keluarga Pak Samad yang lain.
Rancangan demi rancangan dan hasutan demi hasutan telah Puan Hayati lemparkan pada Mia dan ahli keluarga Pak Samad yang lain.
Sang ibu yang diselubungi dengan api dendam hingga sanggup memusnahkan rumah tangga anak sendiri demi memuaskan hati sendiri, hakikatnya memang ada pun masalah sebegini dalam masyarakat kini.
Tiada Pasangan Yang Sempurna
- Foto – Twitter
Adat berumah tangga pasti akan mengharungi badai dalam kehidupan sepanjang bergelar suami dan isteri, baik ujian yang datang kerana ibu sendiri, ibu mertua, orang ketiga, adik-beradik dan sebagainya ia adalah pengajaran hidup.
Dalam drama ini menunjukan tiada pasangan yang sempurna, masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sendiri.
Setiap watak yang dipaparkan banyak kelemahan diri akan mula terpancar tatkala mengharungi kehidupan berumah tangga dan itulah yang berlaku pada Mia dan Khuzairi, Sofi dan Helmi serta Nadia dan Zaidi, Mak Leha dan Pak Samad.
- Foto – Twitter
Hidup berumah tangga banyak pancarobanya, kita sebagai manusialah yang harus bijak melayari bahtera. Apa yang dipaparkan dalam drama ini mungkin ada segelintir yang merasakan jalan cerita agak cliche, tetapi ia adalah realiti kehidupan masyarakat.
- Foto – Twitter
Terpulang pada diri masing-masing sama ada untuk menerima apa yang terkandung dalam drama panas ini. Lagi pun masing-masing ada pandangan tersendiri betul tak.
Ikutkan banyak lagi nilai-nilai yang ada dalam drama ini, tapi cukuplah setakat ini dahulu. Bagi yang tak tonton lagi episod terakhir bolehlah tengok di iQIYI nanti.