Kisah Hitam Grace Kelly Bila Berkahwin Dengan Putera Monaco

Kalau bercakap bab kecantikan, kita tidak dapat lari daripada nama Grace Kelly.

IKLAN

Grace Kelly adalah ikon kecantikan yang abadi. Miliki kening yang kemas, bibir merah, senyuman manis, fesyen yang segar, semuanya kelihatan sempurna membuatkan nama beliau sentiasa mekar.

Sebelum menjadi anak emas Hollywood, memenangi Oscars, bertemu dengan putera raja yang juga menjadi suami tersayang, siapa jelitawan Grace Kelly? Tahukah ibu dan bapa Grace Kelly sebenarnya tidak merestui wanita cantik ini menjerumuskan diri dalam dunia lakonan.

Keluarga Katolik

Dilahirkan pada tahun 1929, Grace Kelly dibesarkan di pinggir bandar Philadelphia, sebuah komuniti kecil yang didominasi Katolik. Grace Kelly pergi ke sekolah Katolik sepanjang masa kecilnya, di mana beliau mengambil bahagian dalam drama dan mula memupuk rasa cinta dengan lakonan.

Ibu Bapa Orang Sukan

Ibunya adalah seorang model berjaya dan kemudian menjadi jurulatih atletik yang terkenal. Ayahnya terlibat perniagaan pembinaan dan juga seorang atlet – dia adalah juara Olimpik yang pertama dalam sukan mendayung.

Foto – Pinterest

Bapa Larang Ceburi Bidang Lakonan

Walaupun bapa saudaranya adalah pelakon, tetapi keluarga Grace Kelly melihat dunia lakonan sebagai profesion yang tidak bermoral. Ayahnya mempunyai pendapat yang sangat negatif mengenai keputusan Grace Kelly untuk meneruskan kerjaya hiburan sepenuh masa.

Usia 18 Titik Permulaan

IKLAN

Ketika 18 tahun, Grace berubah menjadi gadis cantik pesona dengan menjadi model untuk agensi pemodelan di New York. Tidak lama kemudian, ejen dari pelbagai majalah mula mengejarnya dan mukanya mula memenuhi ruang majalah.

Foto – Arkib Wanista

Pada masa yang sama, Grace menjalani uji bakat untuk pelbagai peranan dalam drama, bahkan beliau berjaya mendapat tempat di Broadway. Selepas dua tahun di usia 20 tahun, Grace mula membintangi filem.

Hollywood Golden Girl

Untuk peranannya di Mogambo, Grace dicalonkan Oscar untuk Pelakon Pembantu Terbaik. Tetapi lakonan cemerlang dalam filem The Country Girl membolehkan beliau merangkul Oscar.

Walau bagaimanapun, kerjaya Grace Kelly sangat pendek – hanya bertahan selama 4 tahun, dari 1952 hingga 1956. Walaupun begitu, Institut Filem Amerika memasukkan pelakon itu dalam senarai bintang filem terhebat sepanjang zaman, yang merangkumi 50 legenda Hollywood.

Putera Monaco Calon Suami

Grace Kelly turut serta dalam delegasi Amerika Syarikat untuk Festival Filem Cannes 1955, di mana beliau dijemput untuk bergambar bersama Putera Monaco. Ini adalah pertama kalinya pasangan ini bertemu. Grace dilaporkan menjalin hubungan dengan pelakon Perancis Jean-Pierre Aumont pada masa itu.

Foto – Hello Monaco

Setelah itu, mereka mula menulis surat kepada satu sama lain dan 6 bulan kemudian, Putera Monaco datang ke Amerika untuk meminta restu dari ibu bapanya. Putera Monaco melamarnya tepat sebelum Krismas dan memberinya cincin kecil yang akhirnya diganti dengan cincin berlian 10 karat.

Tak Dibenarkan Berlakon Lagi

Kerana status dan simbolisme kerajaannya yang baru, Grace tidak lagi dibenarkan untuk meneruskan karier sebagai pelakon. Namun, dia terus bekerja dengan banyak badan amal, termasuk mendirikan Princess Grace Foundation, yang membantu menyokong seni tempatan Monaco.

Foto – Brides

Filem Grace Kelly Kena Ban Di Monaco

Suaminya begitu menentang kariernya sebelum ini sehingga melarang filem Grace Kelly ditayangkan di Monaco. Ironinya, kemasyhuran di Hollywood inilah yang menarik perhatian Putera Rainier III untuk menikahinya, kerana beliau percaya ini akan membantu meningkatkan pelancongan Monaco.

Beg Hermes Kelly Ada Kisahnya

Semasa mengandung anak pertama, Grace Kelly sering dilihat menggunakan beg Hermes untuk menyembunyikan perut dari paparazzi. Beg itu menjadi begitu sinonim dengan Grace Kelly dan akhirnya menjadi julukan beg Kelly.

Foto – Arkib Wanista

Istana Macam Neraka

Grace Kelly memutuskan untuk mencari kebahagiaan dengan mulakan sebuah keluarga dan beliau mempunyai 3 orang anak – Caroline, Albert II, Stéphanie.

Kehidupan Grace Kelly bersama suaminya juga tidak sempurna. Lama kelamaan, jelas bahawa mereka terlalu berbeza. Apa yang dipotretkan depan kamera sangat berbeza di belakang. Ramai orang menyangka Grace adalah seorang wanita dengan perangai yang dingin, siapa sangka tekaan tersebut benar setelah Grace menjadi anggota keluarga Diraja.

Foto – Popsugar

Dilaporkan, ketika muda Grace adalah gadis yang mudah marah – kiranya agak panas baran. Pengarah Alfred Hitchcock memanggilnya “gunung berapi yang diliputi salji – snow-covered volcano.” Dan Putera Monaco digambarkan seorang yang sangat tenang, tetapi sering merasa bosan dengan acara yang dianjurkan isterinya Grace Kelly, malah sering memperlekehkan hobi wanita cantik itu.

Putera Monaco dan Grace Kelly berkahwin selama 26 tahun, tetapi ramai mendakwa pasangan itu tidak pernah bahagia. Seorang penulis Wendy Leigh secara terbuka menyatakan bahawa perkahwinan Grace Kelly dan Putera Monaco ibarat seperti penjara, segalanya terkawal.

Maut Kemalangan

Pada 13 September 1982, Grace Kelly mengalami beberapa kecederaan akibat kemalangan kereta dan meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya. Anak perempuannya, Stéphanie juga terlibat dalam kemalangan. Walau bagaimanapun, dia hanya mengalami kecelakaan pada salah satu tulang belakang dan dapat pulih sepenuhnya.

Foto – Reader’s Digest

Kematian Grace Kelly adalah tamparan hebat bagi semua orang. Ketika itu, beliau baru 52 tahun. Tidak lama kemudian, terdapat khabar angin bahawa kemalangan kereta merupakan komplot seseorang, tetapi sayangnya tidak ada bukti kukuh.

Grace Kelly dikenang sebagai ikon hari ini dan hidupnya seperti kisah dongeng, tetapi semuanya tidak seperti yang disangkakan. Ramai beranggapan kehidupan Grace Kelly setelah menjadi seorang puteri penuh dengan kesepian.

Rakan Grace Kelly, Judith Balaban Quine, mengatakan kepada The Independent bahawa kehidupan kawannya itu lebih sulit dari kehidupan kita semua.

RUJUKAN : 1234, 5

fakta grace kellygrace kellyhermes grace kellyikon grace kellyprince of monacoputera monacosiapa grace kellysuami grace kelly
Recommended