Bak kata Audrey Hepburn “I believe that happy girls are the prettiest girls.”
Ternyata ia benar, apabila diri kita gembira atau ceria, kita akan sentiasa positif dan melakukan sesuatu pekerjaan dengan hati yang riang. Tetapi bagaimanakah untuk mendapatkan mood ceria?
Di sini kami ada beberapa tip untuk menambahkan keceriaan sekali gus menaikkan seri wajah anda.
Dikelilingi Bunga
Nancy Etcoff dari Harvard Medical School membuat satu kajian dengan menghantar jambangan bunga kepada 27 wanita selama seminggu. Hasil kajian itu menunjukkan wanita yang dikelilingi bunga lebih gembira dan bersemangat menjalankan aktiviti harian.
Minum Air Selepas Bangun Tidur
Dehidrasi membuatkan anda berasa lesu dan air dapat menambahkan tenaga anda. Rasa bertenaga pada waktu pagi akan membuatkan anda ceria seharian. Petuanya, minum air 500ml selepas bangun tidur untuk mengelakkan dehidrasi di samping boleh meningkatkan tahap metabolisme anda.
Makan Sarapan
Mengelak bersarapan pagi adalah antara punca anda kurang ceria seharian. Perut yang lapar juga akan mempengaruhi mood anda. Pastikan anda ambil sarapan setiap hari atau rancang sarapan anda sebelum tidur supaya fikiran anda sudah diprogramkan untuk makan sebelum ke pejabat.
Bercakap Dengan Orang Yang Tidak Dikenali
Tidak salah untuk bertegur sapa dengan orang yang tidak dikenali. Kajian turut membuktikan sikap ini mampu memberikan mood yang baik kepada anda. Mulakan percakapan dengan mereka yang duduk di sebelah anda dalam pengangkutan awam seperti LRT atau senyum dan ucapkan terima kasih kepada gadis tol setelah membayarnya. Semua ini akan mempengaruhi mood seharian anda.
Kepada yang Islam, sentiasa berselawat dan istighfar jika anda dalam keadaan yang tidak terurus, Insyaallah ianya membantu.
Semoga tips di atas dapat membantu anda semua.