Apa yang kamu tahu tentang kanser perut?
Penulis yakin tidak ramai yang tahu mengenai tentang kanser perut ini apabila diajukan soalan tentang penyakit kanser ini.
Untuk pengetahuan kamu semua kanser perut merupakan salah satu kanser yang sering ditemui di Malaysia. Ianya merupakan kanser ke-enam paling kerap berlaku pada lelaki dan ke-sepuluh pada wanita.
Kanser perut berlaku apabila sel-sel di dinding perut tumbuh secara tidak normal dan tidak terkawal mengakibatkan berlakunya ketumbuhan di bahagian perut.
Kalau nak tahu penyakit kanser perut mencatat insiden tertinggi di negara Jepun kerana tabiat pemakanan mereka yang gemar memakan makanan jeruk dan disalai.
Macam orang kita jugalah, sebab tu kes kanser perut di Malaysia antara penyakit kanser yang tinggi dan banyak ditemui di Malaysia.
7 Kategori Berisiko Kena Kanser Perut
Kita harus berhati-hati dan menjaga kesihatan diri sementara masih muda ini agar tiada penyakit berbahaya macam kanser perut ni berlaku.
Untuk pengetahuan kamu semua kanser perut ini sukar di kesan pada peringkat awal, jurteru itu penting untuk kamu tahu apa kategori atau faktor yang boleh menyebabkan diri berisiko menghidap penyakit kanser perut ini.
- Jantina – Lelaki lebih berisiko untuk mendapat kanser perut sebanyak dua kali ganda daripada wanita.
- Usia – Kanser perut berlaku pada golongan tua di mana terdapat peningkatan kes yang mendadak berlaku selepas berusia 60 tahun ke atas.
- Kaum – Menurut statistik daripada Institut Kanser Negara pada tahun 2006, kebanyakan pesakit kanser perut adalah di kalangan kaum Cina sebanyak 61.7%, diikuti Melayu sebanyak 25.9% dan kaum India sebanyak 12.4%.
- Jangkitan Helicobacter Pylori – Jangkitan ini ditemui pada dinding perut yang kerap ditemui di kalangan individu yang menghidap kanser perut. Namun tidak semua yang menghidapi jangkitan ini menghidap penyakit kanser perut.
- Rokok – Tabiat menghisap rokok boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko mendapat kanser perut sebanyak dua kali ganda.
- Diet – Bagi yang gemar memakan makanan disalai, dijeruk atau terlebih garam berisiko tinggi menghidapi kanser perut.
- Keluarga – Jika dalam salasilah keluarga terdapat ahli keluarga yang menghidapi penyakit kanser perut, maka diri kamu juga berpotensi menghidap penyakit kanser perut ini.
Ketahui Gejala Kanser Perut Berlaku
Kanser perut memang sukar di kesan pada peringkat awal kerana simptomnya mengambil lama untuk terjadi. Menerusi kajian berterusan, terdapat beberapa petanda atau gejala ditemui bagi yang menghidapi penyakit kanser.
Ini antara gejala-gejala yang perlu kamu beri perhatian.
- Terdapat rasa ketidakhadaman
- Sakit perut
- Rasa pedih di hulu hati
- Loya dan muntah
- Kesukaran menelan makanan
- Kembung perut terutama selepas makan
- Najis berwarna hitam
- Muntah darah
- Kurang selera makan
- Keletihan
- Bengkak pada bahagian perut
- Bengkak pada kalenjar limfa
Jangan Keliru Dengan 3 Penyakit Ini
Untuk pengetahuan kamu gelaja seperti rasa ketidakhadaman, sukar menelan makanan, kembung perut dan sebagainya kadang-kala ia juga boleh dikaitkan dengan tiga jenis penyakit seperti di bawah:
- Radang esofagus (Esophagitis)
- Gastritis (Penyakit gastrik)
- Ulser perut
Jenis Rawatan Yang Diperlukan
Bagi yang menghidapi penyakit kanser perut, terdapat tiga jenis rawatan yang boleh dijalankan. Setiap jenis rawatan dipilih mengikut tahap penyakit kanser yang dihadapi oleh pesakit. Ini antara jenis-jenis rawatannya:
- Rawatan Pembedahan – Jika kanser perut dikesan pada peringkat awal iaitu kanser masih kecil dan belum merepak, doktor boleh menyarankan untuk melakukan ‘Endoscopic Mucosal Resection’ atau pembedahan mukosa secara endoskopik.
- Rawatan Radioterapi – Rawatan ini diberikan kepada pesakit sama ada sebelum atau selepas pembedahan. Sinar radiasi berkuasa tinggi akan dipancarkan pada bahagian yang terlibat bagi membunuh sel-sel kanser.
- Rawatan Kemoterapi – Rawatan ini menggunakan ubat-ubatan yang kuat untuk membunuh sel-sel kanser. Ia juga boleh diberi pada pesakit sebelum atau selepas pembedahan dan ia juga sering digabungkan bersama rawatan radioterapi.
Untuk mencegah diri dari menghadapi kanser perut, elakkan makan makanan yang meningkatkan risiko kanser dan lebihkan makan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu, hentikan tabiat seperti merokok atau minum minuman beralkohol secara berlebihan.
Kalau nak sihat ikuti gaya pemakanan yang seimbang dan sihat serta jalani gaya kehidupan yang cergas.