Korang biasa tuala wanita tu korang basuh kemudian baru buang atau tak basuh dan terus buang? Rata-rata isu membasuh atau tidak pad atau tuala wanita menjadi perbualan hangat di kalangan wanita. Ya lah masing-masing ada pandangan dan kepercayaan masing-masing bukan.
Ada yang mengatakan kalau tidak membasuh tuala wanita akan di ganggu dengan makhluk halus, ada pula yang menyatakan tak perlu basuh tuala wanita cukup sekadar balut tuala wanita dengan baik dan terus buang ke tong sampah. Mana satu yang betul sebenarnya?
Tuala Wanita Kalau Tak Basuh Kena Ganggu Makhluk Halus?
Berkait dengan isu kalau tidak membasuh tuala wanita akan di ganggu dengan makhluk halus, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjawab persoalan tersebut dengan berkongsikan jawapan di bawah.
Tiada athar atau hadis yang menunjukkan bahawa tuala wanita yang terkandung darah haid perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum membuangnya. Bahkan tidak ada riwayat dari para sahabat dari kalangan wanita menyatakan bahawa mereka membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya.
Juga tidak terdapat arahan dari Nabi agar membasuhnya, yang Nabi arahkan adalah jika darah tersebut terkena pakaian sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar.
Maksudnya “Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang darah haid yang terkena pada pakaian.
Nabi SAW bersabda: Basuhlah ia dan gosoklah ia dengan air serta siramlah ia (setelah digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian tersebut.” – Riwayat al-Tirmizi (138) & Abu Daud (362)
Zahir hadis menyatakan bahawa kain tuala wanita dibuang tanpa dibasuh terlebih dahulu. Oleh itu isu tuala wanita tidak dibasuh terlebih dahulu kerana bimbang darah tersebut menjadi makanan jin adalah tidak benar.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa syaitan adalah kalangan yang memang menyukai perkara yang kotor dan najis.
Meskipun hukum membasuh tuala wanita telah di jawab oleh mufti, tetapi rata-rata ramai wanita yang telah terbiasa dengan mencuci tuala wanita tetap akan meneruskan mencuci tuala wanita sebelum dibuang. Dan bagi wanita yang tidak membasuh tuala wanita pula, mereka memang tiada isu apa pun.
Nak Basuh Tuala Wanita Kena Fikir Faktor Ni Dulu
Settle isu hukum basuh tuala wanita, sekarang kita masuk pula bahagian bersihkan tuala wanita. Buat wanita yang membasuh tuala wanita, kamu kena ambil kira faktor di mana kamu berada seperti contoh kamu sedang haid ketika sakan membeli-belah.
Lepas tu nak bersihkan tuala wanita di tandas awam, nah ini akan menjadi isu di mana apabila kamu mencuci tuala wanita di tandas awam berlaku perkara seperti ini:
- Tandas bau hanyir darah haid
- Lantai dan dinding tandas terdapat darah haid
- Lubang tandas terdapat saki baki darah haid
- Lubang tandas tersumbat sebab buang tuala wanita dalam lubang tandas
- Membuatkan pengguna tandas menunggu lama di luar
Nah, isu ini sering dipertikaikan oleh wanita yang tidak membasuh tuala wanita, apabila wanita lain mencuci tuala wanita di dalam tandas awam. Kena faham ini adalah tandas awam, nak-nak pula tandas yang kamu pilih nak cuci tuala wanita tu memang ramai orang beratur untuk selesaikan hajat masing-masing.
Jadi apa yang perlu kamu lakukan untuk membersihkan juga tuala wanita di tandas awam, ini yang perlu kamu pertimbangkan:
- Cari tandas awam yang tidak ramai orang (yakni kamu tengok ramai orang duk beratur di tandas tu)
- Cuci tuala wanita di tandas cangkung (mudah nak cuci tuala wanita dan mencuci sekitar tandas)
- Pastikan lantai, dinding dan lubang tandas bersih sepenuhnya selepas cuci tuala wanita (makna tiada darah haid di sekitar)
- Setelah tuala wanita selesai di cuci, pastikan kamu gulung tuala wanita dengan ketat dan balut dengan tisu tandas sebelum di buang ke dalam tong sampah pad sanitary dan bukan ke dalam lubang tandas
Pilih Tuala Wanita Jenis Cotton
Bagi yang wanita yang ingin ingin membasuh tuala wanita disarankan supaya kamu menggunakan tuala wanita jenis kapas cotton dan bukannya yang jenis gel. Ini kerana darah haid yang terdapat di dalam tuala wanita jenis cotton lebih mudah dibersihkan berbanding tuala wanita jenis gel.
Manakala buat wanita yang tidak mencuci tuala wanita, tidak kisah mana jenis tuala wanita yang kamu gunakan asalkan semasa nak buang tuala wanita tersebut, kamu gulung tuala wanita dengan ketat dan balutkan dengan lapisan tisu dengan baik sebelum buang ke dalam tong sampah pad sanitary.
Jadi Lebih Mana Bagus, Cuci Tuala Wanita Atau Tidak?
Sebenarnya tidak kisahlah sama ada kamu memilih untuk mencuci tuala wanita atau tidak, apa yang penting adalah tuala wanita tersebut perlu dibalut dengan ketat dan dibuang dalam tong sampah, bukannya di dalam lubang tandas.
Satu lagi jika kamu mencuci tuala wanita, pastikan kamu mencuci dengan bersih dan tandas juga bebas dari najis darah haid tersebut.