Hari Ibu bakal menjelang tidak lama lagi, tapi dalam keadaan sekarang di mana kita harus mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia menghadkan apa yang kita boleh lakukan untuk menyambut Hari Ibu pada tahun ini.
Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan sambutan Hari Ibu jadi lebih meriah dan istimewa meskipun wabak ini menular di negara kita.
Sebenarnya banyak kaedah kreatif dan menarik boleh kita semua lakukan untuk menyambut Hari Ibu pada bulan ini dan caranya cukup mudah dan ringkas, nak tahu caranya baca artikel ni sampai habis!
#1 Kupon Mini Spa Istimewa
Hasilkan set kupon mini spa istimewa untuk ibu tercinta, ia merangkumi set kupon mengurut badan, tatarias rambut, manicure dan mekap. Menerusi kupon tersebut, kamu memberikan perkhidmatan mini spa di rumah untuk ibu tercinta.
Layanan seperti ratu di rumah sendiri pastinya akan membuatkan ibu kamu berasa terharu dengan hadiah istimewa ini.
#2 Masak Hidangan Kegemaran Ibu Tercinta
Selain itu, kamu juga boleh membuat kejutan dengan memasak hidangan kegemaran ibu kamu. Pasti sebagai anak, kamu mengetahui makanan kesukaan ibu kamu, sediakan hidangan tersebut dan buatkan kejutan untuk ibu kamu semasa waktu makan nanti.
#3 Kebun Mini DIY
Jika ibu kamu suka menanam tidak kira sayur-sayuran, buah-buahan, herba atau pokok bunga, apa kata kamu reka satu mini kebun di rumah untuk ibu kamu.
Sekarangkan banyak idea-idea mini kebun yang sesuai untuk berada di dalam rumah, barang-barang pun mudah untuk di beli dan cara membuatnya juga tidaklah begitu rumit.
Yang penting kamu memang ingin membuat kebun mini untuk ibu kamu sebagai hadiah masa Hari Ibu nanti. Bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, lagi pun ibu kamu pasti sangat terharu dengan usaha kamu memberikannya mini kebun di dalam rumah.
#4 Membeli-Belah Online
Oleh kerana penularan wabak masih berada di negara kita dan buat masa sekarang tiada lagi vaksin yang boleh merawat jika dijangkiti wabak ini. Cara terbaik untuk kamu berikan sebagai hadiah Hari Ibu adalah berikan akses membeli-belah dalam talian.
Ya, manjakan ibu kamu dengan membeli-belah dalam talian di rumah, bukan saja dapat menjaga keselamatan dan kesihatan diri. Lagipun banyak barang-barang dalam talian tawarkan promosi yang lagi murah dari di kedai fizikal.
#5 Habiskan Masa Berkualiti Bersama
Bagi yang kurang menghabiskan masa berkualiti bersama ibu tercinta dek kerana kesibukan bekerja atau atas urusan peribadi. Nah maka Hari Ibu adalah merupakan waktu terbaik untuk kamu habiskan masa berkualiti dengan melayani segala kehendak dan kemahuan ibu kamu sehari suntuk.
Ia akan menjadikan hubungan sedia ada menjadi semakin akrab dan saling memahami antara satu sama yang lain. Almaklum kadang kala kita juga kurang memahami isi hati sebenar ibu kita dek kerana kesibukan kerja, belajar dan sebagainya.
Maka hadiah terbaik adalah luangkan masa untuk ibu kamu dan turuti segala kemahuannya, tatkala melihat senyuman dan kegembiraan terpancar di wajah ibu kita, pasti kita juga berasa senang hati bukan?
Jadi apa hadiah terbaik untuk kamu sambut Hari Ibu nanti?