Kad ‘Heath Tag’ yang digantung di leher Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sepanjang Covid-19 mendapat perhatian netizen. Ada yang mendakwa produk tersebut mampu menghindarkan diri daripada jangkitan wabak Covid-19.
Kad Gantung ‘Health Tag’
Dilaporkan, produk yang kini viral dan laris penjualannya melalui atas talian ini kononnya bertindak mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas Chlorine Dioxide di sekitar pemakainya.
Chlorine Dioxide merupakan gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah.
Kandungan Mikrobik Klorin di dalam tag ini berfungsi untuk membersihkan udara sekeliling pemakai, menghapuskan 99% bakteria dan virus, membasmi kuman, memberi perlindungan 45 hari dan perlindungan kepada pemakai dalam lingkungan 1 meter.
Cara memakainya juga mudah, hanya mengeluarkan paket aluminium foil dan meletakkan beg Natrium Chlorid di dalam plastik. Pastikan tag terbuka ketika ianya diguna dan catat tarikh bila diguna.
Walaubagaimanapun, pemakaian ‘health tag’ adalah tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kuman atau virus, apatah lagi Covid-19. Hal ini didapati menerusi kajian Japanese Journal of Environmental Infections:
1. Tiada kesan pembasmian kuman atau virus yang berlaku
2. Gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung
Menurut pakar imunologi dan virologi, Dr Ariane Davison, produk yang mengandungi Chlorine Dioxide itu adalah ‘scam terbesar’ kerana tidak dapat melakukan apa-apa untuk melindungi diri seseorang dari virus terutamanya yang melibatkan pernafasan.
Apa yang lebih dibimbangi adalah kepercayaan pengguna terhadap produk ini akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan. Lantas mereka akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial.
Hati-hati jangan mudah terpengaruh!