Bagi ibubapa tiada apa yang lebih menyedihkan dan menakutkan daripada anak-anak kesayangan jatuh sakit, yalah ibubapa mana sanggup melihat anak-anak mereka menderita bukan? Lagi mengharukan apabila anak kecil mengalami kesukaran bernafas dek kerana menghidapi asma.
Anak yang masih kecil dan tidak pandai untuk mengawal pernafasan mereka sendiri, pastinya membuat hati ibubapa terguris melihat kesengsaraan anak mereka.
Oleh itu, ketahui lebih awal tanda-tanda anak menghidap asma supaya ibubapa dapat bertindak pantas untuk mengekang penyakit asma menyerang pada anak.
Tanda-Tanda Awal Asma Menyerang Anak
#1 Batuk
Tanda awal untuk mengenalpasti anak-anak menghidapi asma adalah anak-anak mula batuk. Mungkin kamu rasakan batuk adalah perkara kecil, tetapi ia berpotensi menjadi tanda awal anak-anak menghidapi asma.
Anak-anak akan mengalami batuk-batuk pada waktu pagi dan malam, selain itu anak-anak mengalami batuk secara berpanjangan.
Jika ini berlaku ke atas anak-anak kamu, beri perhatian kerana ia mungkin adalah petanda anak menghidapi asma.
#2 Bunyi Wheezing
Sebagai ibubapa kamu harus peka terhadap perubahan dari segi mental dan fizikal anak-anak, jika kamu menyedari anak kamu mengeluarkan bunyi wheezing di dada ia adalah tanda anak kamu bakal di serang asma. Oleh itu, penting untuk kamu peka dan mendengar jika anak-anak mula keluar bunyi wheezing ini.
#3 Dada Rasa Ketat/Sakit Perut
Ibubapa selalu silap apabila anak-anak mengatakan diri mereka berasa sakit perut, ibubapa perlu faham anak-anak tidak tahu bagaimana mahu menyatakan rasa sakit yang mereka alami.
Jika anak-anak menyatakan mereka mengalami rasa sakit perut, cuba kamu perhatikan pergerakan tangan mereka.
Anak-anak akan mengusap bahagian perut dan dada menunjukan bahagian yang sakit tersebut, ini juga salah satu tanda-tanda bakal menghidap asma.
#4 Pernafasan Laju
Anak mula menunjukan tanda-tanda mengalami pernafasan yang laju, walaupun tidak melakukan banyak aktiviti. Jika ini berlaku ia adalah salah satu petanda anak-anak mengalami asma. Perhatikan bahu anak yang naik turun dengan pantas ia adalah menunjukan diri anak mengalami pernafasan yang laju.
#5 Anak Jadi Cepat Penat
Jika kamu melihat anak-anak menjadi cepat letih dan penat, meskipun tidak melakukan aktiviti yang banyak dan lasak. Kamu harus mula beri perhatian, keletihan yang dialami oleh anak-anak tidak lama kemudian akan menyebabkan mereka menjadi sukar bernafas atau rasa sesak nafas.
Ini adalah salah satu petanda kecil sebelum anak menunjukan tanda menghidapi asma.
#6 Susah Nak Makan
Anak tidak mampu menghabiskan makanan mereka dan mereka juga merasakan semasa makan mereka rasa sukar untuk bernafas.
Pencegahan Yang Boleh Dilakukan
#1 Elak Berada Di Kawasan Berasap & Berdebu
Sebagai ibubapa kamu boleh mencegah perkara-perkara yang boleh menyebabkan diri anak dari di serang asma. Elak bawa anak di kawasan-kawasan yang berasap, berdebu, tempat orang merokok dan kawasan yang boleh menyebabkan alahan anak menjadi teruk.
#2 Kawal Aktiviti Anak
Selain itu, kamu juga boleh mengawal aktiviti yang anak-anak kamu lakukan agar mereka tidak cepat berasa penat dan lelah. Antara faktor yang menyebabkan asma anak-anak melarat adalah kerana mereka melakukan aktiviti atau bermain melebihi had diri mereka.
Oleh itu, sebagai ibubapa kamu harus bijak mengawal pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak agar tidak terlalu meletihkan diri mereka sendiri.
#3 Jaga Berat Badan Anak
Bukan saja ibubapa perlu mengawal aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak, malah berat badan anak juga harus di jaga. Jika berat badan anak berlebihan ia akan menyebabkan simptom asma yang dihadapi anak menjadi teruk.
Oleh itu, ibubapa harus prihatin dalam menjaga berat badan anak dan pastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
#4 Kerap Bawa Anak Buat Pemeriksaan
Untuk pastikan anak kekal sihat, pastikan kamu kerap membawa anak berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Dapatkan khidmat nasihat dan saranan doktor dalam menangani potensi gejala asma bakal menyerang anak kamu.
Jadilah ibubapa yang prihatin, peka dan sensitif terhadap kesihatan anak-anak, janganlah tunggu penyakit anak dah teruk dan melarat baru nak menyesal.
Semoga maklumat yang dikongsikan membantu kamu melindungi anak-anak!
Selamat beramal.