“Sesetengah orang ingat dia tiada stres, tetapi degupan jantung laju. Tak cukup tidur, asyik mimpi, naik baran. Stres sukar dikesan, bukan seperti penyakit kronik lain.” – Pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad.
Ingat jangan sesekali pandang stres sebelah mata. Stres yang berlebihan mungkin merupakan punca tekanan darah meningkat dan meningkatkan bebanan terhadap jantung kita. Anda digalakkan untuk melakukan aktiviti seperti yoga dan meditasi kerana ia dapat membantu menenangkan diri dan mengurangkan stres.
Sesetengah orang suka makan apabila dilanda masalah atau tertekan dengan pelbagai situasi yang mendesak. Perkara ini sememangnya benar-benar terjadi. Atas sebab itu, ada yang naik berat badan ketika melalui detik-detik sukar.
Tidak salah untuk makan, tetapi pilihlah makanan yang menyihatkan dan menenangkan seperti berikut:
Oat bersama serbuk kayu manis dan madu
Semangkuk oat dapat meningkatkan hormon serotonin yang menggalakkan rasa selesa kerana kandungan serat di dalamnya. Oleh itu, pengambilan oat tidak akan menyebabkan paras gula dalam darah naik mendadak. Tambahkan sedikit serbuk kayu manis untuk menghilangkan stress dan juga madu untuk menguatkan sistem imunisasi badan.
Coklat gelap bersama kacang badam
Makan coklat gelap dapat menggalakan perembesan hormon yang mencetus rasa gembira. Kacang badam pula kaya dengan sumber protein. Gabungan kedua-dua makanan enak ini dapat membantu anda kekal tenang dan paling penting, tidak menggemukkan!
Kekacang dan bijirin
Makanlah kacang pistacio, gajus, walnut, badam, dan kuaci! Kandungan omega-3 yang terdapat dalam kekacang dapat menurunkan tekanan dan menggalakkan perembesan hormon yang baik.
Keledek
Sudahlah manis, sedap, dan kaya nutrien! Kalau mahukan manisan tanpa gula, keledek adalah makanan terbaik. Ia mengenyangkan dan juga sedap!
Yogurt dengan buah beri
Campurkan yogurt dengan apa saja jenis buah beri. Ia merupakan sumber protein yang memberi tenaga dan merembeskan hormon anti stres. Anda juga boleh tambahkan buah-buahan manis untuk menambah rasa, sekaligus mencetus sistem imuniti badan.
Teh hijau
Asid amino yang ada dalam teh hijau sesuai diambil ketika anda berada dalam keadaan tegang. Pengambilan kafein yang terkawal membantu anda untuk kekal fokus dan tenang.
Bila rasa tertekan, cuba bawa bertenang. Kalau boleh yang Islam, dekatkan diri dengan Yang Maha Esa, bawa banyak berdoa dan amalan Quran. Inshallah baik-baik sahaja kamu!
Selamat Beramal!