Tidak tahu pada anda, tapi penulis spesis yang kerap memanaskan nasi berulang kali. Bila rasa nak makan, penulis akan panaskan nasi tanpa mengira waktu. Ada ke sesiapa yang macam penulis?
Tapi tahukah memanaskan semula nasi akan mengundang kepada masalah keracunan makanan. Bukan penulis pandai-pandai tapi ini laporan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut perkongsian di laman sosial Twitter rasmi kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), nasi yang dipanaskan semula boleh jadi punca keracunan makanan.
Pun begitu, ia bukan disebabkan oleh proses pemanasan semula nasi itu tetapi ia berpunca dari cara kita menyimpan nasi itu sebelum dipanaskan. Menurut KKM lagi, nasi yang ditinggalkan lebih 4 jam dalam suhu bilik akan menyebabkan spora yang wujud di dalam nasi itu menjadi aktif semula lalu mungkin mengakibatkan keracunan makanan jika dimakan.
Untuk pengetahuan anda, beras mentah yang belum dimasak mungkin mengandungi spora bernama Bacillus cereus. Ia boleh bertahan hidup walaupun selepas beras itu dimasak menjadi nasi. Jika nasi itu sudah terbiar sejuk pada suhu bilik, bakteria ini boleh membiak kembali lalu menghasilkan racun yang jadi punca keracunan makanan.
Semakin lama nasi dibiarkan pada suhu bilik (lebih dari 4 jam) sebelum dipanaskan kembali, semakin banyak racun yang akan dihasilkan oleh bakteria ini sehingga menyebabkan nasi tersebut tidak lagi selamat untuk diambil. Walaupun anda memanaskannya berkali-kali, bakteria ini tidak akan mati ekoran ketahannya yang sangat tinggi terhadap suhu yang tinggi.
Jadi, bagaimana jika anda memakan atau termakan nasi yang mengandungi bakteria? Anda mungkin akan mengalami keracunan makanan dengan simptom-simptom seperti sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit.
Untuk pengetahuan anda juga, simptom-simptom ini mungkin akan berlaku sekitar 1 hingga 5 jam selepas anda makan nasi yang tercemar itu. Namun, anda mungkin tidak perlu terlalu risau kerana simptomnya agak ringan dan biasanya berlangsung selama 24 jam.
Jadi hati-hati sebelum anda mengalami keracunan makanan. Nasihat Wanista, nasi yang tidak lagi mahu dimakan, sebaiknya diletak dalam tupperware dan disimpan dalam peti sejuk. Namun, penting untuk diingat bahawa anda boleh simpan ia tidak lebih dari 1 hari.
Selamat Menjaga Kesihatan!