Kita selalu mendengar orang membawa masuk telefon ke dalam tandas kerana mahu membuang rasa bosan. Tapi tahukah tabiat itu boleh mengundang bahaya mendapat buasir. Ya, kedengaran agak pelik atau tidak berkaitan, tapi itulah yang dijelaskan doktor pakar perubatan.
Kaitan Telefon Dan Buasir
Dr. Sarah Javis, doktor perubatan dan pengarah klinikal menyatakan, penggunaan telefon dalam tempoh yang lama seperti melayari media sosial dan email semasa membuang air besar boleh menyebabkan buasir kepada seseorang individu. Ini kerana meneran dalam tempoh masa yang lama bagi membuang akan memberikan tekanan pada salur darah di bahagian rektum yang menyebabkannya menjadi bengkak.
Menurut beliau lagi, sembelit, kehamilan, batuk yang kronik, obesiti, umur yang semakin tua, dan tabiat meneran najis yang terlalu lama adalah antara faktor risiko utama terjadinya buasir. Begitu juga dengan peranan telefon bimbit yang menjadi antara faktor utama terjadinya buasir terhadap seseorang individu.
Bagaimana Buasir Terjadi?
Buasir adalah salur darah yang membengkak di dalam bahagian dubur dan rektum, sama seperti salur darah varikos. Ia boleh terjadi di bahagian dalam rektum yang juga dikenali sebagai buasir dalaman, atau di bawah bahagian kulit sekitar dubur (buasir luaran). Pada kebiasaannya, buasir akan menghilang dengan sendirinya tetapi boleh menjadi sangat menyakitkan sekiranya bahagian buasir dalaman ditekan ke bahagian luar melalui bukaan dubur yang dipanggil sebagai prolapsed haemorrhoid.
Simptom Terjadinya Buasir
- Darah yang berwarna merah cerah di dalam najis
- Gatal-gatal di sekitar dubur
- Perasaan seperti masih ingin membuang air walaupun selepas anda baru sahaja membuang air
- Mukus berlendir pada seluar dalam anda atau tisu tandas selepas anda mengelap dubur anda
- Kesakitan yang dialami di sekitar dubur
Apa Yang Perlu Anda Lakukan?
Sebaiknya sebagai pencegahan awal, anda dinasihatkan untuk mengamal diet sihat dengan memperbanyak makanan tinggi kandungan serat seperti pisang dan betik. Pisang dan betik dipercayai bagus dalam melancarkan proses pencernaan. Anda juga perlu minum banyak air dan jika miliki simptom seperti di atas, dinasihati rujuk kepada doktor pakar. Lagi satu yang paling penting, elak daripada menonton drama bersiri dengan menggunakan telefon bimbit di dalam tandas sebagai antara langkah pencegahan yang boleh diambil.
Selamat Beramal!