Walaupun makanan segera tidak berkhasiat tetapi kita tidak dapat lari daripada memakannya. Walau melancong ke negara luar, Wanista pasti ada di antara pembaca yang akan singgah fast food kerana senang dan harga juga murah.
Bercakap pasal fast food, tahukah McDonald’s di Portugal dilabelkan paling cantik di dunia. Ya… terlalu cantik sampaikan mata kita leka menikmati setiap perincian bangunan ikonik itu.
Ramai pelancong percaya McDonald’s yang paling indah dan cantik di dunia adalah di Porto, sebuah bandar berusia di barat laut Portugal yang terkenal dengan jalan-jalan batu dan pusat bandar bersejarah sekitar abad pertengahan.
Dibuka pada tahun 1995, restoran ini terletak di ruang yang telah diubahsuai yang sebelum ini diduduki oleh Cafe Imperial, sebuah kedai kopi terkenal yang dibuka sejak 1930-an. Kedai kopi itu dilihat sebagai contoh utama seni bina Art Deco pada masa itu, dan oleh itu, McDonald’s mengekalkan sebahagian besar ciri seni bina utama apabila mengambil alih lokasi.
Apa Yang Cantik Sangat Dengan McDonald’s Porto?
Perkara pertama yang anda perasan adalah seni bina burung helang gergasi yang direka oleh Henrique Moreira menghiasi pintu masuk McDonald’s.
Bila anda memasuki restoran, anda perhatikan seni bina gaya Art Deco ala-ala Empire State Building, dengan kemasan friezes (ukiran pada bahagian atas dinding), lampu candelier kristal, dan tingkap kaca berwarna besar di belakang kaunter yang cukup kemas.
Tingkap kaca berwarna dibuat oleh Ricardo Leone. Ia memerlukan tempoh yang lama untuk siap.
Friezes atau ukiran pada bahagian atas dinding direka sepenuhnya oleh Moreira. Keseluruhan kafe pada asalnya direka oleh arkitek kelahiran Switzerland Ernesto Korrodi, yang berpindah ke Portugal pada 19 tahun, dan anaknya, Ernesto Camilo.
Lampu candelier kristal adalah perhiasan yang menakjubkan. Candelier kristal yang digantung dari siling adalah kontras dengan apa yang lazimnya terdapat di McDonald’s.
Jadi adakah berbaloi untuk dikunjungi? Ya, jika anda peminat architecture. Tetapi makanannya biasa saja, tiada yang istimewa.
Selamat Melancong!