“Indahnya cinta sebenar apabila rupa bukanlah yang dicari tetapi apa yang penting adalah keikhlasan hati serta kesanggupan seorang wanita dan laki-laki menempuh dugaan hidup bersama-sama”.
Bila berbicara tentang cinta, ramai melihat perkahwinan adalah suatu perkara yang mudah dan cukup sekadar untuk kita mencintai pasangan kita. Namun secara realitinya, dalam perkahwinanlah akan mulai terselah sifat sebenar kita dan pasangan dan ianya tidaklah semudah yang disangka kerana jika tersilap langkah, ikatan cinta yang dibina tadi pasti terlerai.
Semalam, penulis berpeluang menyertai tayangan khas media untuk filem terbaharu dari seberang berjudul “Milly & Mamet”. Sebelum ini, kedua nama karakter ini telah kina kenali dari filem “Ada Apa Dengan Cinta” dan “Ada Apa Dengan Cinta 2”.
Apa yang bakal penonton perlu jelas, ini bukanlah cerita cinta antara Rangga dan Cinta namun ia merupakan sorotan dari kedua-dua filem popular tadi -memperlihatkan bibit cinta dan kisah kehidupan perkahwinan antara Milly & Mamet, yang juga merupakan teman rapat kepada watak Cinta lakonan Dian Sastrowardoyo, sejak dari zaman persekolahan.
Tonton Trailer Filem Cinta Milly & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga)
Apa yang penulis boleh terjemahkan selepas hampir 1 jam setengah menonton, filem cinta arahan Ernest Prakasa ini adalah sangat… simple & sweet!
Berlatarkan zaman bujang Milly lakonan Sissy Priscilla. Suatu hari dia bertemu kembali dengan seorang lagi bekas teman rapat bernama Mamet, lakonan Dennis Adhiswara di sebuah kelab malam. Sejak dari itu mereka mula kembali rapat dan mulai bercinta sehingga akhirnya berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata.
Pada awalnya, kehidupan mereka baik-baik sahaja. Milly cuma seorang suri rumah manakala Mamet bertugas sebagai CEO di syarikat kilang kain milik ayah Milly -meskipun minatnya terlalu mendalam untuk memasuki bidang kulinari dan bercita-cita mahu menjadi chef sekaligus memiliki restoran.
Oleh kerana mahu mengambil hati bapa mertuanya, Mamet akhirnya akur untuk melupakan seketika impiannya sampailah suatu masa, masalah timbul di kilang kain tersebut sehingga menimbulkan amarah si bapa mertuanya. Dari situ, Mamet mula sakit hati lalu menerima pelawaan seorang sahabat lamanya untuk tampil bersama membuka sebuah restoran.
Dalam pada pergolakkan itu, Milly pula terpaksa menggantikan tempat Mamet di kilang dan perjalanan perkahwinan mereka mulai goyah. Waktu bersama kian berkurang, ditambah pula masalah peribadi Mamet yang tiba-tiba mengetahui bahawa perniagaannya itu disokong oleh sumber penggubalan wang haram oleh teman lelaki rakan perniagaannya, Alexandra.
Hakikatnya, penulis sangat perpuas hati dengan kualiti filem ini dan ia patut diberi pujian kerana penonton boleh relate kisah “Milly & Mamet” dengan dunia perkahwinan sebenar. Keseluruhan isi filem juga sangat santai buatkan penonton terus rancak berhibur. Langsung tak bosan!
Kalau kamu meminati jalan penceritaan romantis yang ringan dan realistik, ini adalah cerita cinta asli yang kamu cari-cari. Ada juga penulis terdetik alangkah bagusnya jika Milly dan Mamet ini menjadi pasangan bercinta sebenar di dunia luar. Gabungan mereka sangat cocok dan boleh lihat kemesraan mereka yang tidak fake.
Penulis nak beri ⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️ untuk “Milly & Mamet”! Paling syok, lagu-lagu yang digunakan dalam filem ini termasuklah runut bunyinya berjudul “Kita” nyanyian heroin, Sissy Priscilla sendiri sangat sedap didengar. Confirm buat hati korang berbunga-bunga.
Tak kurang, banyak juga elemen dan dialog lucu digunakan menerusi pelakon-pelakon tambahan yang turut menyumbang komedi -buat penonton tak kering gusi ketawa berdekah di dalam panggung.
Melly Goeslaw dan penyanyi Isyana Saraswati yang popular dengan lagu “Tetap Dalam Jiwa” tu berlakon dalam Milly & Mamet tau!
Jadi sesiapa yang sedang tertekan tu, eloklah pergi tonton filem bergenre romantik-komedi begini. Dari awal sampai akhir memang kelakar habis! Tak rugi bayaran tiket wayang kalau tonton “Milly & Mamet” ni. Mula ditayang seluruh Malaysia pada 7 Mac!
Selamat menonton ❤️