Sudah popular sejak penulis masih bersekolah rendah sekitar awal tahun 2000, siapa tak mengenali pereka fesyen yang mahsyur bukan sahaja kerana rekaan pakaian eksentriknya tetapi rupa paras Dato’ Bernard Chandran juga sedikit sebanyak membuatkan ramai wanita kelu melihatnya. Mana tidaknya, beliau kan ada kacukan Cina-India.
Untuk musim bunga tahun ini nampaknya Dato’ Bernard Chandran ligat menggabungkan kepelbagaian corak cetakan ke dalam karyanya, istimewa buat wanita yang ranggi dan tidak takut menangkap perhatian khalayak.
Dari segi potongan rekaan pula, beliau tampil klasik dengan mengetengahkan cita rasa elegen era 70an/80an seperti potongan lengan gelembung, helaian dress midi, skirt beropol, helain kemeja dan banyak lagi!
Si pemakai pasti kelihatan lebih sensual dan feminin, campuran corak cetakan unik seperti buah-buahan, hidupan ikan serta bunga kerawang yang padat dan terdiri dari rona-rona terang dan monokrom juga pasti buat penampilan nampak galak.
Untuk pengetahuan semua, fabrik yang banyak dimanfaatkan oleh Dato’ Bernard Chandran dalam koleksi sofitikatednya untuk musim bunga/panas kali ini adalah berasaskan sutera lembut. Untuk keterangan lanjut, sila klik [bernardchandran.com].