Ada sahaja yang anda ingin rungutkan bila melihat diri sendiri di cermin. Sini besar, sana besar, ada sahajalah yang tak kena. Risau juga tahap kesihatan bila terkenangkan sudah lama tidak beriadah atau memanaskan badan dengan mengeluarkan peluh. Bila hendak ke gim pula tidak punya masa dan wang, iyalah yuran pendaftaran sahaja pun tidak memadai untuk dibayar kalau asyik tidak sempat ke sana.
Jangan risau, tahukah anda dengan gerakan aktiviti harian kita ini rupanya sedikit sebanyak dapat membakar kalori didalam badan. Jadi apa yang perlu pastikan jangan malas-malas nak lakukan kerja-kerja rumah atau menjadi sebahagian daripada kehidupan sosial. Jom kita lihat apa yang selama ini kita buat rupanya boleh bakar kalori secara senyap!
#1 Mengemas dan membersih rumah
Hujung minggu biasanya kita banyak menghabiskan masa dengan tidur dan menonton televisyen. Apa kata anda gerakkan tubuh badan dengan hanya melakukan perkara mudah seperti menyapu sekitar rumah, membersih dapur atau mencuci tandas. Secara tidak langsung aktiviti tersebut meningkatkan degupan jantung malah dapat membakar kalori.
#2 Membeli-belah
Perasan tak? Kalau bab shopping, kaum wanita memang tiada istilah lenguh kaki. Boleh berjalan lebih dari lima pusingan dalam pusat membeli-belah. Jika anda berjalan 45minit dengan membawa troli ia boleh membakar lebih dari 100 kalori!
#3 Gerakan kecil
Tahukah anda dengan gerakan kecil seperti menghentak kaki di lantai, tap tangan di meja atau bergerak-gerak dengan kerusi pejabat anda boleh membakar 350 kalori. Mungkin tabiat itu agak menjengkelkan pada yang mendengarnya tapi hey, peduli lah kan.
#4 Ketawa
Anda seseorang yang mudah terhibur? Percayalah orang gemar ketawa ini bukan sahaja orang ceria malah sihat. Ketawa selama 20 minit boleh membakar sekitar 70 kalori.
#5 Aktiviti karaoke
Lupakan samada suara anda sumbang atau gemersik bak Wany Hasrita. Lantunkan sahaja suara anda dengan penuh keyakinan. Hampir 140 kalori boleh bakar dengan nyanyian selama satu jam sahaja.