Baru beberapa minggu sudah jelitawan Bollywood ini menayang perut sembilan bulannya di hadapan lensa kamera untuk sebuah majalah fesyen India.
Semalam, Kareena Kapoor dilaporkan telah selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki di Breach Candy Hospital, Mumbai sekitar jam 7.30 pagi waktu India.
“Kami berbesar hati ingin mengumumkan kelahiran anak lelaki yang bernama Taimur Ali Khan Pataudi, pada 20 Disember 2016. Kami berterima kasih atas sokongan dan perhatian pihak media sepanjang sembilan bulan kebelakangan ini.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada semua peminat yang menitipkan doa yang baik-baik buat Kareena. Selamat tahun baru untuk anda semua. Ikhlas dari Saif dan Kareena,” kata Saif menerusi sebuah kenyataan yang diberikan kepada pihak media.
Untuk pengetahuan semua, bayi ini adalah kelahiran sulung kepada pasangan Kareena Kapoor dan aktor Saif Ali Khan.
Namun bagi Saif sendiri, ini adalah anak ketiganya sejak berkahwin dengan Kareena pada 16 Oktober 2012 lalu. Sebelum ini, Saif telah pun dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan hasil perkahwinan bersama isteri pertamanya, Amrita Singh.
SUMBER –Astro Gempak & Times of India