Temu Bual Eksklusif Bersama Personaliti Youtube Michelle Phan Melalui Google Hangout

Minggu lepas, penulis dijemput untuk menemu-bual seorang ahli perniagaan dan pereka kecantikan, merangkap personaliti Youtube yang tidak asing lagi dalam dunia media masa kini, Michelle Phan.

IKLAN
Foto -Youtube

Saat ditemu-bual oleh para media dan beberapa influencer sekitar Asia melalui aplikasi Google Hangout, wanita kelahiran Boston, Massachusetts itu mengenakan olesan mekap yang begitu ringkas. Michelle tersenyum manis sambil berbicara jelas mengenai kisah kehidupan dan pengalamannya sepanjang bergelumang dalam dunia glamour kecantikan.

Sewaktu sesi temu-bual tempoh hari bersama Michelle Phan di Gushcloud Malaysia. Foto -Wanista

Perwatakan serta gelagatnya yang ceria menambah kegembiraan kami yang melihat, terasa seolah dia berada dekat walaupun sebenarnya dipisahkan oleh skrin monitor yang menghubungkan kami selama tidak sampai satu jam.

Apabila menyentuh perihal Beauty Bound Asia anjuran SK-II dan Youtube, Michelle adalah salah seorang juri utama yang diundang bagi mengadili acara gilang-gemilang tersebut yang telah berlangsung pada 6 November lalu di Tokyo.

#1 Apakah reaksi anda berkenaan penggunaan Youtube sebagai medium penyampian untuk berkongsi ilmu kecantikan?

Youtube adalah sebuah medium yang berciri mesra pengguna. Hari demi hari, komuniti pengguna Youtube semakin berkembang, malah, komuniti yang berkongsi ilmu dan pendapat yang memfokuskan subjek kecantikan juga berkembang bukan sahaja di sekitar Asia, tetapi di seluruh pelusuk dunia.

Apa yang menarik, setiap daerah mempunyai minat mereka yang tersendiri, semua wanita mempunyai idea dan kreativiti mereka dimana ia adalah sangat bijak. Mereka tahu menggunakan kebolehan serta bakat dengan baik. Oleh itu, saya begitu teruja untuk melihat sejauh mana bidang penyiaran pereka kecantikan ini akan pergi di masa hadapan, terutama sekali di sekitar Asia.

#2 Apakah yang menjadi inspirasi anda selama anda berkecimpung dalam dunia penyiaran Youtube serta kecantikan?

Seharusnya, ia adalah perasaan ingin tahu saya. Saya gemar belajar benda-benda yang baru, berfikir diluar kotak dan saya bukanlah seorang pakar yang benar-benar tahu apa itu “make-up” seperti yang anda sangkakan sewaktu mula-mula saya menceburkan diri dalam penyiaran Youtube dahulu. Tetapi, saya mempunyai minat mendalam terhadap bidang dandanan dan “I am a truly beauty junkie”.

Dalam masa yang sama, saya juga suka berkongsi. Saya mahu tahu pendapat orang lain, dan kerana itu, saya berkongsi ilmu serta pengetahuan saya dalam sesuatu perkara. Saya pasti, dalam terma kecantikan itu pun, semua orang mempunyai minat dan pendapat mereka sendiri terhadap kecantikan. Ia bukanlah suatu frasa yang harus ditetapkan cara dan bagaiman ia harus berfungsi. Sudah tentu, orang akan mula berkongsi mengenai pengalaman yang mereka telah lalui serta daripada apa yang dilihat terbaik di mata mereka.

IKLAN

#3 Orang mengenali Michelle Phan sebagai ikon kecantikan, jadi apakah yang boleh anda ceritakan mengenai rutin kecantikan anda demi memastikan diri sentiasa terurus dan kelihatan mempersona sepanjang masa?

Saya sering membawa kosmetik penting di dalam tas kecil yang khas seperti “make-up pouch” ini. Saya tidak boleh hidup tanpanya. Kadang-kadang orang akan cuba menambah lapisan bedak saban hari agar tidak kelihatan pucat dan berminyak, tetapi bagi diri saya, bedak hanya akan membuatkan rupa anda kelihatan “cakey” atau bercapuk. Jadi, apa yang saya suka lakukan adalah dengan menggunakan “blotting paper”, kertas magis ini berjaya meyerap segala lembapan dan minyak yang terhasil di permukaan wajah anda. Ia berfungsi dengan baik, malah lelaki juga boleh gunakannya.Terutamanya ketika sedang merakam video tutorial, semestinya anda tidak mahu kulit kelihatan berminyak dihadapan kamera kan?

Selain itu, saya juga gemarkan semburan pelembap muka. Ia amat baik untuk melembapkan kulit muka secara ringkas. Anda perlu menjaga tahap kelembapan kulit! Oh! dan lipstick berwarna biru adalah kegemaran saya untuk musim ini. Walaupun warnanya kelihatan pelik untuk dioleskan ke bibir, tetapi tidak salah untuk berasa konfiden terhadap penampilan diri.

#4 Apakah gaya dandanan kegemaran anda?

Saya sukakan gaya natural. Gaya “make-up” yang kelihatan seolah tidak mengenakan sebarang solekan adalah kegemaran saya. Ia mengingatkan kembali sewaktu saya masih muda remaja, saya langsung tidak menggunakan sebarang solekan tetapi masih lagi mampu kelihatan bertenaga, masih kelihatan cantik walaupun hanya menggunakan pelembap bibir kerana waktu itu, saya tidak tahu menggunakan alat solek dengan sempurna. Kini, saya cenderung untuk mula mempunyai lingkaran gelap dibawah mata yang merupakan salah satu proses penuaan, dan untuk itu, saya tahu, saya perlu mula menggunakan solekan untuk menutup cela yang terdapat disekitar muka.

#5 Apakah harapan anda?

Harapan terbesar saya adalah untuk melihat perkembangan pasaran kecantikan serta melihat komuniti “influencer” disekitar Asia semakin bertambah hari demi hari. Menjadi contoh teladan serta ikon kecantikan hanyalah sebahagian daripada diri saya. Saya akan terus bereksperimen, dan terus menyokong sektor ini agar lebih maju dan menjadi sesuatu yang memberi manfaat kepada era masyarakat masa kini.

#6 Tidak dinafikan, ramai yang mahu menjadi “beauty guru” seperti anda, jadi, bagaimanakah anda cuba meletakan diri ditempat yang paling tinggi dan apakah kunci kejayaan anda selama ini?

Perkara asas yang paling utama untuk memulakan saluran youtube adalah dengan tidak melakukan apa yang orang lain lakukan. Cuba cari sisi keistimewaan yang ada pada diri anda. Jadilah sesuatu yang unik, lain daripada yang lain. Fokus kepada perjalanan diri anda kerana jika anda melakukan perkara yang orang lain telah lakukan, bagaimana bisa anda membezakan diri anda dengan orang lain? Sebab itu, saya selalu berkata kepada orang, fokus terhadap perkara anda, anda tidak perlu jadi yang terbaik untuk menangkap peminat serta penonton.

Sebagai contoh, terdapat salah seorang peserta Beauty Bound Asia daripada Indonesia baru-baru ini yang memakai hijab, dia sering membuat tutorial bagaimana untuk mengenakan hijab dan bagaimana untuk menyuaikan gaya solekan dengan hijab, ia adalah sebuah pasaran yang “niche”. Perkara itu pastinya berguna untuk dikongsi bersama para Muslim diseluruh dunia. Jangan sia-siakan bakat anda. “Do the thing that you are good at!” kerana ianya akan bantu untuk menonjolkan diri anda.

#7 Kongsikan tips rutin penjagaan kulit anda?

Tanpa berfikir panjang, saya akan terus menjawab SK-II. Terus terang, saya tidak ditawarkan apa-apa ganjaran dengan mengesyorkan SK-II kepada anda. Saya secara suka-relanya mengakui SK-II adalah produk penjagaan wajah yang terbaik walaupun pada hakikatnya anda perlu laburkan sedikit wang untuk mendapatkannya. Sudah tentu anda mahu kulit yang mulus tanpa perlu menggunakan bedak asas yang tebal. Penjagaan wajah yang rapi adalah kunci utama. Anda tidak seharusnya mengenakan solekan yang tebal sehari-hari.

Cuba bayangkan, jika seharian anda menggenakan solekan yang tebal, ia hanya akan membuatkan wajah anda kelihatan comot dan solekan semakin memudar sehingga menampakan tekstur kulit anda yang tidak rapi. Oleh itu, saya agak suka menggunakan bedak jenis “cushion compact” kerana serbuknya lebih halus dan senang dihadam oleh lapisan kulit dan berfungsi menutup liang pori yang terdedah dengan sempurna. Hasilnya kulit anda nampak lebih rata dan sekata.

Gunakan gincu merah kerana orang akan terus fokus kepada bibir anda yang berwarna jika anda tidak mahu memakai sebarang solekan menonjol hari itu. Ia sudah memadai.

#8 Apa reaksi anda berkenaan kondisi kulit orang Asia?

Kulit orang Asia adalah jenis kulit yang sensitif, ianya mudah berparut dan mudah terbakar. Ramai diantara individu yang mempunyai salah faham berkenaan penggunaan pelindung matahari yang terlalu banyak untuk melindungi kulit daripada sinaran matahari yang berbahaya dan merosakkan kulit. Oleh itu, cukup sekadar untuk menggunakan pelindung matahari yang mengandungi SPF 15 -35.

Jika anda menyapu pelindung matahari yang mengandungi SPF terlalu tinggi seperti SPF 50 – 100, ianya tidak akan dapat mengubah apa-apa, bahkan akan lebih merosakan kulit kerana mengandungi bahan kimia. Cara yang terbaik untuk menghapuskan parut pada wajah secara lembut adalah dengan menggunakan khidmat rawatan “Collagen Induction Therapy”, kerana selain bisa membersih kulit daripada parut, ia juga dapat memberikan kolagen yang mencukupi untuk menegangkan kulit tanpa perlu anda mendapatkan suntikan botox.

#9 Apakah rutin solekan kegemaran anda?

Saya suka memfokuskan kekemasan serta mengukir kening saya kerana kening adalah sisi utama wajah seseorang. Saya tidak mempunyai kening yang lebat, oleh itu, secara ringkasnya saya akan mewarnakan kening saya dengan rapi. Selain itu saya juga suka menggunakan “concealer” kerana ia dapat bantu menutup cela dan parut diwajah walaupun untuk sementara waktu. Oh! dan saya suka menukar dan bereksperimen dengan warna-warna gincu baharu!

#10 Apakah saluran kegemaran anda di Youtube?

Terlalu banyak untuk saya senaraikan tetapi salah satunya adalah Glam&Gore. Saluran itu menyaksikan seorang wanita yang sangat bijak mereka gaya solekan kreatif yang baharu setiap hari, sungguh mengujakan!

#11 Apakah yang memotivasikan anda untuk meneruskan bidang penyiaran Youtube?

Saya fikir, ia adalah kerana perasaan ingin tahu saya yang begitu teguh. Sebaik boleh, saya ingin terus maju kehadapan tanpa menghiraukan komen negatif orang. Untuk memulakan saluran youtube serta merakam video ini bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi jika anda tidak mempunyai asas yang kukuh serta tidak mempunyai kelengkapan yang terbaik seperti kamera yang berkualiti, lampu (artificial light), tripod dan sebagainya. Tetapi ia merupakan asam garam sesebuah perjalanan kehidupan yang wajib anda lalui.

Fokuskan kepada perkara yang anda betul-betul cintakan dan bebalik semula kepada tujuan anda. Jika anda tidak mempunyai tujuan atau minat, bagaimana anda ingin lakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh. Dalam bidang yang bersangkut-paut dengan alam maya, mungkin hari ini orang akan benci kita, tetapi esok hari mereka akan melupakannya dan terus menyukai kita. Sebab itu, ia adalah sangat penting untuk anda tidak berputus asa dan bergerak kehadapan tanpa perlu menoleh kebelakang.

Untuk membangunkan saluran Youtube, anda harus menjadi bos untuk diri anda sendiri, jika anda tidak mempunyai keazaman serta motivasi, ia akan menjadi sebuah karier yang sukar untuk diuruskan.

#12 Apakah perancangan masa hadapan anda?

Saya tahu, kecantikan tidak akan berkekalan, diatas sebab itu, saya cuba mewujudkan empayar saya sendiri seperti jenama kosmetik sendiri yang digelar em serta platform komuniti kecantikan IPSY. Walaupun kecantikan saya tidak akan kekal tetapi saya tahu, perniagaan saya akan terus wujud sehingga keakhirnya dengan sokongan dan pemantauan yang sempurna. Walau apa pun cabaran yang harus saya tempuhi, saya akan tetap bantu orang ramai merangkumi anak gadis dan para wanita yang bercita-cita tinggi untuk mengejar impian mereka. Kerana saya juga bukanlah berasal daripada keluarga yang senang. Untuk sampai ketahap ini, saya perlu berusaha keras dan terus mencuba sehingga saya berjaya mencapai matlamat saya untuk menjadi seorang yang berpengaruh. Saya pernah dan tahu rasa susah.

Foto news.2tech.xyz

Kepada anda yang masih belum melanggan saluran Youtube Michelle Phan, anda boleh berbuat demikian di MichellePhan.

Tonton pautan video mengenai ceritera kehidupan Michelle Phan <3

Ternyata Michelle adalah seorang yang sungguh bermotivasi dan akan terus melebarkan sayapnya dalam dunia kecantikan serta Youtube. Dalam masa yang sama, beliau bisa menjadi contoh teladan yang baik untuk mereka yang mahu mencapai cita-cita selain memberi inspirasi berguna kepada mereka yang sedang dirundung kesedihan. Dipetik daripada kata-kata Michelle, “We are part of something beautiful. To the world, you maybe one person. But to one person, you maybe the world. Every great dream begins with a dreamer, and every dreamer have a story.”

Dandananem Cosmetics by Michelle Phanfesyengaya hidupInfluencerIPSYkecantikanMichelle PhanmotivasiPereka KecantikansolekantipswanitayoutubeYoutube Channel
Recommended