Kumpulan muzik terkenal Indonesia, Nidji telah datang ke Malaysia sempena rangka promosi album terbaru mereka yang berjudul “King of Soundtrack” .
Bukan sahaja terkenal kerana lagu hits mereka yang sering menguasai carta radio, uniknya band ini adalah kerana banyak lagu-lagu hits mereka telah diangkat sebagai lagu tema filem antaranya ‘Laskar Pelangi, Sang Pencerah ‘ dan ‘5 CM’ . Kesemua lagu tema tersebut telah berjaya menduduki tempat teratas di kebanyakan stesen radio dan secara tidak langsung telah membantu menaiikan populariti filem-filem tersebut.
Antara lagu terbaru yang dimuatkan adalah ‘Sumpah Dan Cinta Matiku’ . Lagu yang dicipta oleh kumpulan Nidji itu sendiri adalah lagu tema untuk filem ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ yang merupakan salah satu produksi filem terbesar dalam sejarah Indonesia. Lagu ini telah dicipta dengan mengambil inspirasi kisah cinta yang terkandung di dalam filem tersebut.
Selain lagu ‘Sumpah Dan Cinta Matiku’ , empat buah lagu yang lain dicipta sebagai lagu tema filem terbabit termasuklah Hidup Tanpa Cintamu’ dan ‘Nelangsa’ dan ‘Teroesir (Menunggu Karma) ‘, yang sedang hangat dimainkan di stesyen-stesyen radio tempatan.
Nidji juga telah memanfaatkan kedatangannya ke Malaysia dengan bertemu peminat-peminat bertuah dalam program ‘Menonton Wayang bersama Nidji yang berlangsung di Cathay Cineplexes e@curve. Di acara tersebut, Nidji telah memukau audiens dengan mempersembahkan beberapa buah lagu antaranya seperti Teroesir (Menunggu Karma), Sumpah Dan Cinta Matiku’ dan “Hapus Aku” . Tambah menarik peminat juga telah menonton filem 5CM yang menggunakan empat buah lagu Nidji sebagai lagu tema.
Diedarkan oleh Warner Music (M) SDN BHD , album yang juga memuatkan 12 lagu lain seperti Rahasia Hati, Laskar Pelangi dan Diatas awan ini sudah boleh didapati di pasaran.