Siapa kata Bollywood sudah hilang peminatnya di Malaysia. Buktinya , ribuan peminat telah membanjiri Stadium Merdeka seawal jam 4 petang lagi untuk menyaksikan bintang kesayangan mereka 15 Februari yang lalu. Konsert yang menampilkan Datuk Shah Rukh Khan sebagai bintang utama turut menyaksikan kemunculan , Madhuri Dixit, Rani Mukherjee dan Arijit Singh.
Tirai persembahan dibuka oleh kumpulan artis tempatan , Goldkartz diikuti penyanyi rap terkenal di India,Yo -Yo Honey Singh. Ruang masa yang diberi untuk dua kumpulan ini agak panjang menyebabkan penonton terpaksa menunggu agak lama kemunculan bintang utama konsert tersebut.
Penantian tersebut akhirnya terubat dengan kemunculan Rani Mukerjee yang berjaya menggegarkan Stadium Merdeka pada malam tersebut. Rentak tarian Rani memang setanding seperti yang dilihat di layar perak. Selepas kemunculan Rani, stadium terus gamat dengan kemunculan aktres Madhuri Dixit. Melihat kelincahan dua diva ini di pentas, penulis seakan tidak percaya yang masing -masing sudah menginjak usia, Rani (35 tahun) dan Madhuri (46 tahun).
Datuk Shah Rukh Khan akhirnya muncul selepas kemunculan dua diva jelita tersebut. Kemunculan beliau disambut dengan sorakan dan jeritan dari penonton. Penulis pada mulanya agak hairan dan kecewa kerana aktor berusia 48 tahun ini tidak selincah yang diharapkan di atas pentas. Rupanya beliau dilaporkan mengalami kecederaan di bahu dan lututnya ketika menjalani penggambaran filem Happy New Year arahan Farah Khan, baru-baru ini. Jadi memandangkan kecederaan yang dialami beliau, penulis tetap tabik akan kesungguhannya untuk membuat persembahan pada malam tersebut.
Berhenti seketika menikmati persembahan tarian, suara sebenar Bollywood dibawa ke pentas, dari penyanyi Arijit Singh . Stadium Merdeka terpukau sebentar akan kemerduan penyanyi yang pertama kali membuat persembahan secara live di Malaysia ini. Walaupun agak kurang arif dan sebati dengan dendangan lagu-lagu beliau pada malam tersebut , tapi apa yang nyata lontaran vokal beliau secara live pada malam tersebut memang “asli” dan setanding audio yang kita dengar dari filem.
Antara yang menjadi kelainan pada konsert tersebut adalah beberapa penonton bertuah berpeluang untuk bersama-sama dengan SRK di atas pentas. Oleh kerana tarikh konsert tersebut jatuh pada 15 Februari iaitu sehari selepas Valentine’ s Day, seorang penonton bertuah dipilih untuk menjadi Valentine nya. Ternyata kedatangan jauh Aishah ( penonton bertuah yang terpilih) dari Pulau Pinang berbaloi kerana dilayan bak puteri tak ubah seperti heroin filem-filem Bollywood yang biasa kita tonton di layar perak. SRK juga turut memilih sepasang pasangan kekasih dan seorang penonton lelaki untuk beraksi bersama beliau di atas pentas.Ternyata ,penangan SRK memang bukan calang-calang, isteri kepada penonton bertuah lelaki tersebut yang sedang sarat mengandung 8 bulan sanggup datang bersusah payah ke stadium demi melihat aktor kesayangan Bollywood ini secara dekat.
Daripada apa yang penulis saksikan pada malam tersebut, SRK juga memang selucu dan kelakar seperti lakonan-lakonannya. Lawak jenaka yang dipersembahkannya secara spontan berjaya memecah hilai ketawa penonton pada malam tersebut. Ternyata hero nombor satu Bollywood ini masih mampu mencetuskan fenomena tersendiri.