Dilaporkan, AirAsia X mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk beroperasi ke mana-mana destinasi di Amerika Syarikat (AS), sekali gus memberikannya laluan ke pasaran baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Kamarudin Meranun, menyifatkannya sebagai pencapaian penting bagi AirAsia X.
“Syarikat penerbangan itu adalah syarikat penerbangan tambang murah pertama Asia mendapat kelulusan untuk beroperasi ke AS,” katanya dalam satu kenyataan.
AirAsia X mempertimbang untuk membuat penerbangan ke beberapa negeri di AS, termasuk Hawaii sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan laluannya.
“Pengembangan kami setakat ini tertumpu di Asia, Australasia dan Asia Barat, dan kami teruja akan pembabitan pertama ke pasaran baharu ini ketika kami melihat menjangkaui Asia Pasifik.
“Saya yakin pengembara akan memberi maklum balas positif kepada perkhidmatan terbaik kami dan penyambungan yang kita boleh tawarkan menerusi produk ‘Fly-Thru’.
“Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan, kami juga meninjau memulakan laluan popular ke London, dan sedang berusaha ke arah itu,” jelasnya lagi.
Kamarudin berkata, kejayaan itu tidak akan berhasil tanpa Allstars, khususnya Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Anaz Ahmad Tajuddin, yang meninggal dunia dua minggu lalu.
Fly-Thru membenarkan penumpang disambungkan secara lancar ke mana saja menerusi rangkaian meluas AirAsia dengan hanya satu hentian di Kuala Lumpur, hab Asia utama syarikat penerbangan itu, selain kemudahan hab transit di Thailand dan Indonesia, tanpa perlu melepasi imigresen dan bagasi didaftar masuk ke destinasi akhir.