Sempena menyambut Hari Bapa jenama popular dUCk mengeluarkan tali leher rekaan ‘Marvel x dUCk’. Kolaborasi antara dUCk dan Marvel ini menghasilkan koleksi tali leher edisi khas sempena menyambut Hari Bapa yang bakal tiba.
Tapi sayang selepas 24 jam pelancaran koleksi tali leher itu diumumkan, dUCk mengeluarkan kenyataan untuk menarik balik penjualan tali leher ‘Marvel x dUCk’. dUCk juga memohon pelanggan muslim yang membeli tali leher tersebut segera memulangkan tali leher berkenaan.
Haram Pakai Kerana Guna Fabrik Sutera
dUCk yang membuat keputusan untuk menarik semula penjualan tali leher edisi khas tersebut adalah kerana fabrik yang digunakan bagi menghasilkan tali leher tersebut diperbuat menggunakan kain jenis sutera. Dan dalam Islam penggunaan kain jenis sutera bagi kaum lelaki diharamkan.
Susulan dari itu, dUCk mengeluarkan permohonan maaf kepada pelanggan kerana tidak peka semasa pemilihan fabrik dilakukan.
Bagi mereka yang telah membeli tali leher berkenaan, dUCk akan memulangkan semula wang pembelian tali leher kepada pelanggan.
Tali Leher Diberikan Kepada Frontliner Bukan Muslim
Bagi tali leher yang dipulangkan tersebut dUCk membuat keputusan untuk menghadiahkan tali leher berkenaan kepada para bapa yang bertugas sebagai frontliner, dengan harapan para bapa frontliner yang sedang bertugas juga bergembira dengan sambutan Hari Bapa.
Secebis Perkongsian
Untuk makluman, dalam Islam golongan lelaki diharamkan memakai barangan yang diperbuat daripada emas dan sutera seperti mana menurut sabda Rasulullah SAW.
“Emas dan sutera dihalalkan bagi golongan wanita dari umatku dan diharamkan bagi golongan lelaki.” – Diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa’i dari Abu Musa, Sahih Al-Jami’ (209).
“Rasulullah SAW telah melarang kami akan tujuh perkara; baginda melarang (memakai) cincin atau gelang emas, sutera tebal, dibaj (kain sutera), baju bersulam sutera, penutup lampu yang diperbuat dari sutera dan bekas dari emas.” – Dikeluarkan oleh al-Bukhari dari Bara’ (5863)
Meskipun sedih jualan tali leher ‘dUCk x Marvel’ ini ditarik balik, netizen bangga akan tindakan pantas dUCk menangani isu tersebut.
Tambahan lagi, dUCk juga mencipta sejarahnya sendiri kerana berjaya berkolaborasi bersama Marvel dalam dunia fesyen.