Resepi

Resepi Kuih Lopes Gebu Guna Periuk Nasi Je

Mas Idayu
/
I'm a lazy cat in the dreamland but with music and read Chinese novel as my battery, even a lazy cat can become a cannon folder to write its masterpiece!
Resepi Kuih Lopes Gebu Guna Periuk Nasi Je

“Uish sedap betul jiran sebelah ni masak kuih lopes dia, gebu je dan rasa pun ngam. Agak-agak apa rahsia nak masak kuih lopes macam ni?”

IKLAN

Siapa kata susah nak masak kuih lopes ni, sebenarnya tak susah mana pun dan caranya pun mudah. Nak tahu macam mana nak buat kuih lopes sedap dan gebu jom tengok caranya di bawah.

Bahan-bahan untuk buat kuih lopes

  • 5-6 helai daun pandan (untuk buat jus pandan)
  • 2 cawan beras pulut
  • 1 ½ cawan santan cair
  • Air secukupnya untuk tanak beras
  • 1/2 sudu kecil pewarna hijau (kalau nak letak dalam beras pulut)

Bahan-bahan untuk buat air gula

  • 2 cawan air
  • 1 ketul gula melaka
  • 2 sudu besar gula perang
  • 1 sudu besar gula putih
  • 2 helai daun pandan

Bahan-bahan untuk kelapa parut

  • 1/2 biji kelapa parut
  • Garam secukup rasa
  • daun pandan
Foto – Arkib Wanista

Cara masak kuih lopes

  1. Mula-mula masukkan satu cawan air dan 5-6 helai daun pandan ke dalam mesin pengisar, kisar sehingga air menjadi hijau kemudian tapis air untuk dapatkan jus pandan.
  2. Kemudian masukkan dua cawan beras pulut ke dalam periuk nasi, bilas beras pulut sehingga bersih. Selepas itu, masukkan jus pandan tadi, 1 ½ cawan santan cair dan air secukupnya (ukur jumlah air macam tanak nasi biasa, cuma lebihkan sedikit air dalam paras 1 ruas jari).
  3. Biarkan beras pulut masak dalam periuk nasi.
  4. Kemudian mula masak air gula untuk kuih lopes, panaskan periuk dan masukkan dua cawan air, gula melaka, gula perang, gula putih, dan juga daun masukkan daun pandan untuk buatkan air gula jadi wangi.
  5. Masak air gula sehingga sebati dan pekat. Setelah air gula masak, tapis air gula dan biarkan air gula sejuk.
  6. Selesai masak air gula, masak pula kelapa parut. Caranya adalah masukkan kelapa parut dan daun pandan ke dalam periuk kukus, kemudian kukus kelapa seketika.
  7. Setelah kelapa parut masak, taburkan garam pada kelapa parut untuk menambah rasa lemak pada kelapa parut.
  8. Pulut yang telah masak dalam periuk nasi tadi, di keluarkan ke dalam mangkuk. Mula kerja-kerja membentuk kuih lopes, untuk mendapatkan saiz pulut cantik terbentuk kamu boleh gunakan bekas bulat saiz kecil atau gunakan acuan bulat.
  9. Bentukkan pulut mengikut acuan (pastikan acuan tersebut diletakkan sedikit minyak agar pulut tidak melekat pada acuan).
  10. Selesai bentukkan semua pulut menjadi bulat, tabur kelapa parut pada pulut.
  11. Akhir sekali hidangkan pulut di atas pinggan dan tuang air gula pada pulut. Kuih lopes siap dan sedia untuk di makan!
Foto – Arkib Wanista

Senang je sebenarnya nak masak kuih lopes yang gebu, berlemak dan sedap di rumah. Paling best bahan-bahannya pun mudah nak dapat di kedai-kedai.

Jadi lepas ni nak masak kuih lopes hari-hari sebagai juadah minum petang atau untuk berbuka pun tak ada masalah.

Selamat mencuba