Ibu bapa mana yang tidak mahu beri yang terbaik untuk anak-anak masing-masing. Pastinya di mata ibu bapa ingin melihat anak-anak membesar dengan sihat, kemudian melihat mereka cemerlang dalam pelajaran dan melihat anak-anak memiliki kerjaya yang bagus serta melihat mereka mendirikan rumahtangga.
Pastinya semua itu adalah impian setiap ibu bapa di dunia, untuk melihat anak-anak mencapai segala yang terbaik di dunia. Tapi untuk merealisasikan semua itu, para ibu bapa harus bermula dengan cara didikan anak dengan betul dan pastinya cara didikan anak-anak bermula sedari kecil.
Sesuai dengan peribahasa orang dulu-dulu “melentur buluh biarlah dari rebungnya” yang bermaksud mendidik anak-anak biarlah dari ketika usianya masih kecil.
Bagi para ibu bapa yang sedang cari kaedah didikan anak-anak, mungkin kamu boleh cuba stail didikan anak-anak oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ni. Banyak tips serta kaedah didikan anak-anak yang bagus untuk kamu ambil sebagai panduan keibubapaan.
Teknik Flashcards
Dr Sheikh Muszaphar mula didikan awal kepada dua anak lelaki kembarnya semasa bayi lagi, cara didikan menggunakan kad bergambar tidak kira ianya kad bergambar haiwan, nombor atau buah-buahan sekalipun ianya boleh digunakan bagi mendidik anak seawal usia mereka masih bayi lagi.
Cara ini sangat bagus merangsang daya fokus serta kecekapan minda bayi. Lakukan teknik flashcards seperti yang dilakukan oleh Dr Sheikh Muszaphar sebanyak lima kali sehari dan ulang teknik ini seminggu sekali, InshaAllah anak menjadi lebih fokus.
Teknik Kawalan Pernafasan
Kawalan pernafasan merupakan teknik atau cara Dr Sheikh Muszaphar berkongsi rahsia bagaimana semua anak-anaknya boleh bernafas dalam air selama 30 saat. Ianya bermula dari didikan sejak kecil, Dr Sheikh Muszaphar mula mengajar anak-anaknya sejak kecil tentang bagaimana cara untuk kawal pernafasan.
Penting untuk ibu bapa tahu cara ini jika kamu ingin anak-anak mudah belajar berenang dan tidak takut air. Dr Sheikh Muszaphar mula menggunakan teknik kawal pernafasan sejak anak-anaknya berusia dua bulan.
Caranya sebelum menyiram air pada kepala anak, Dr Sheikh Muszaphar akan membuat kiraan 1 2 3 sebelum menjirus air dari atas kepala anak.
Ini bertujuan agar anak dapat bersedia dan tahu untuk menarik nafas mereka. Dr Sheikh Muszaphar melakukan teknik ini setiap kali waktu anak-anak mandi setiap hari sehinggalah usia anak menjejak enam bulan.
Mula Ajar Anak Membaca Pada Usia 3 Tahun
Menurut perkongsian Dr Sheik Muszaphar, beliau mula mengajar anak perempuannya membaca ketika anaknya berusia tiga tahun. Pada usia tiga tahun ini, ibu bapa harus asah minat anak membaca buku dengan banyakkan membaca buku-buku bergambar yang menarik.
Dan anak yang mula terdedah dengan perkataan, gambarajah dan kisah-kisah dari buku cerita yang dibacakan oleh ibu bapa kepada mereka, akan merangsang daya ingatan mereka dan pada usia tiga tahun inilah daya ingatan anak menjadi sangat kuat dan sesuai untuk mulakan aktiviti membaca pada usia tersebut.
Lakukan kaedah membaca buku cerita bersama anak-anak setiap hari InsyaAllah, ingatan anak menjadi lebih kuat dan minda jadi lebih cerdas.
Semai Cita-Cita Dalam Diri Anak Semenjak Mereka Kecil
Ibu bapa mana yang tidak mahu anak-anak memiliki kerjaya yang bagus bila mereka dewasa kelak bukan. Bagi ibu bapa yang ingin anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan seterusnya mencapai cita-cita yang mereka impikan semenjak kecil, maka ibu bapa harus memainkan peranan dalam menerapkan impian tersebut.
Seperti cara Dr Sheikh Muszaphar, beliau menerapkan impian menjadi seorang doktor pada anak-anak perempuan semenjak mereka kecil lagi. Apa yang Dr Sheikh Muszaphar lakukan adalah:
- Bisikan cita-cita tersebut pada anak-anak sebelum tidur
- Tampal gambar cita-cita (contoh: doktor/cikgu/etc) pada hujung katil, di mana objek pertama yang anak-anak akan lihat apabila bangun pada waktu pagi adalah gambar impian tersebut
- Belikan barangan yang berkaitan dengan cita-cita tersebut untuk anak-anak (contohnya: set mainan doktor/ polis/ guru/ etc)
- Bawa anak-anak melawat tempat kerja berkaitan dengan cita-cita yang ingin diterapkan tersebut
- Lakukan permainan role play bersama anak-anak
Penjagaan Kesihatan Anak-Anak Penting
Menjadi ibu bapa yang bijak adalah dengan menjaga dan mengambil berat tentang kesihatan anak-anak sejak usia mereka masih kecil lagi. Menjaga dan mengamalkan pengambilan makan yang sihat dan berkualiti semenjak anak-anak masih kecil merupakan cara didikan kepada anak-anak.
Seperti Dr Sheikh Muszaphar beliau sangat menjaga dan menitik beratkan kesihatan anak-anak semenjak usia anak-anak masih kecil lagi. Pengambilan vitamin seperti vitamin C dan makanan tambahan yang mengandungi DHA sangat membantu perkembangan otak.
Bukan itu saja, mengamalkan gaya hidup sihat sejak anak-anak masih kecil akan meninggalkan kesan pada anak-anak untuk terus mengikuti amalan gaya hidup sihat ketika mereka dewasa nanti.
Perbanyakan Aktiviti Dan Kemahiran Untuk Anak
Seperti yang sedia maklum, Dr Sheikh Muszaphar sangat supportive terhadap segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak beliau.
Malah dirinya juga mengasah bakat serta kemahiran anak seperti mengaji Al-Quran, belajar bahasa asing, menunggang kuda, mengikuti kelas seni mempertahankan diri dan macam-macam lagi sejak usia anak masih kecil.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar segala aktiviti yang dilakukan sejak mereka masih kecil akan merangsang pelbagai kemahiran dan potensi diri. Tambahan lagi, sebagai ibu bapa kamu jangan sesekali memandang rendah pada kebolehan diri anak-anak dalam melakukan segala aktiviti ini.
Anak-anak memiliki kebolehan dan tenaga yang tinggi dalam mengikuti ke semua aktiviti yang ikuti mereka. Tambahan lagi, apabila anak-anak telah mengikuti segala aktiviti ini semenjak mereka masih kecil, tubuh dan minda mereka akan mudah membentuk dan mengikuti semuanya sebagai rutin harian mereka.
Bagi ibu bapa yang mencari-cari teknik parenting, mungkin cara Dr Sheikh Muszaphar mendidik anak-anaknya ini boleh dijadikan panduan dalam kehidupan kamu untuk mendidik anak-anak bermula dari bayi.
Selamat beramal♥
Rujukan: 1,