Kini sektor pekerjaan telah kembali beroperasi seperti biasa dan pastinya panduan serta langkah-langkah keselamatan bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini perlu di pandang serius bagi mengelak berlakunya jangkitan Covid-19 semasa bekerja.
Selain itu panduan keselamatan semasa bekerja dalam PKPB ini, ada juga persoalan lain seperti bagaimana pula dengan nasib pekerja yang perlu merentas negeri atau kawasan untuk pergi bekerja sepanjang PKPB ini.
Majikan juga perlu faham kerana rata-rata ada di kalangan pekerja yang tinggal di luar negeri, contohnya pekerja yang menetap di Selangor tetapi bekerja di Kuala Lumpur atau sebaliknya.
Atau bagi yang bekerja di Pulau Pinang tapi tinggal di Kulim, Kedah dan semua negeri yang yang terlibat di mana pekerja harus merentas negeri untuk ke tempat kerja masing-masing akan mengeluh kesah kerana mereka perlu berulang-alik ke tempat kerja setiap hari dengan rasa risau, kerana khuatir di tahan pihak berkuasa.
Majikan Perlu Sediakan Surat
Apa yang menjadi isu di sini adalah pekerja akan ditahan pihak berkuasa semasa hendak pergi ke tempat kerja. Justeru itu, untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku sepanjang bertugas semasa PKPB, majikan perlu membuat surat untuk para pekerja bagi memudahkan pergerakan pekerja untuk ke tempat kerja.
Dengan adanya surat kebenaran ini, ia dapat memudahkan urusan pergerakan para pekerja ke tempat kerja tanpa perlu risau di sekat oleh pihak berkuasa yang membuat rondaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Apa Yang Perlu Ada Dalam Surat Kebenaran Bekerja Masa PKPB
Majikan perlu menyediakan surat kebenaran dengan butiran yang lengkap, berikut adalah perkara-perkara penting yang perlu ada di dalam surat kebenaran untuk pekerja sepanjang tempoh PKPB.
- Tajuk surat (tajuk surat penting kerana pihak berkuasa akan melihat tajuk surat terlebih dahulu)
- Tujuan kebenaran (tujuan dibenarkan bekerja)
- Had kebenaran (masukan jarak atau tempat bekerja)
- Tempoh masa kebenaran (lima hari/seminggu/sebulan/sepanjang PKPB)
- Surat ditulis menggunakan komputer dan dicetak (bukan tulisan tangan)
- Ada bahagian rujukan untuk dihubungi (contoh nombor bahagian sumber manusia atau majikan)
- Menggunakan letterhead majikan (kepala surat)
Selain itu, majikan juga perlu memberi sekali surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) bersama surat kebenaran bekerja kepada pekerja, untuk memudahkan pergerakan pekerja semasa merentas negeri ke tempat kerja tanpa perlu rasa was-was atau risau jika ditahan oleh pihak berkuasa.