Kesan pandemik Covid-19 terus terasa apabila jenama fesyen Esprit mengumumkan akan menutup kesemua kedai di Malaysia.
Dilaporkan Esprit Holdings akan menutup semua cawangannya di Asia kecuali China pada 30 Jun ini, sebahagian daripada usahanya dalam menangani cabaran perniagaan akibat Covid-19.
Cawangan di negara berkenaan mewakili kurang dari empat peratus dari pendapatan global kumpulan itu dan penutupan itu adalah sebahagian daripada ‘inisiatif penstrukturan semula syarikat untuk memberi tumpuan kepada sumber dan mengukur semula operasi’ di tengah-tengah pandemik.
Covid-19 menjejaskan sektor peruncitan di seluruh dunia selepas pelanggan kekal di rumah dan kedai dipaksa tutup sementara bagi mengawal penularan wabak itu.
Penutupan kedai Esprit dijangka membabitkan kos secara one-off antara HK$150 juta (RM84.3 juta) hingga HK$200 juta (RM112.4 juta), yang mana akan memberi impak negatif kepada kewangan penuh berakhir 30 Jun.
Susulan penutupan kedai itu, Esprit berkata, lesen perniagaan dan borong di Asia akan diteruskan termasuk perniagaan usaha sama dengan China dan ia akan memberi tumpuan kepada pasaran utamanya di Eropah.
Semoga kita bertemu lagi Esprit!