Sejak mengumumkan diri hamil empat bulan di media sosial, peminat mula ingin tahu perkembangan terkini bakal ibu yang cantik berseri itu.
Apa yang diidamkan? Bagaimana si suami Fattah Amin melayan kerenah Fazura dan sebagainya. Terbaru, Fazura ada memberitahu sejak hamil, dia mula mengidam masakan pedas. Berita itu mendapat perhatian, ada mengatakan makan pedas tidak bagus, ada yang kata bagus.. jadi mana satu yang betul?
Makanan pedas yang diambil semasa mengandung adalah selamat sama ada untuk ibu atau kandungan. Cuma ia mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan, terutamanya jika anda tidak biasa dengannya. Ini kesannya yang anda kena tahu.
Mabuk pagi
Mabuk pagi seperti loya dan muntah adalah perkara biasa yang dilalui oleh wanita yang sedang hamil. Ini khususnya pada peringkat awal kehamilan yang disebabkan oleh perubahan tahap hormon.
Walau bagaimanapun, masalah tersebut mungkin boleh menjadi lebih teruk dan kronik kesan daripada pengambilan makanan yang pedas. Jadi mungkin untuk trimester pertama anda boleh mengehadkan pengambilannya atau mengelakkan makanan pedas dan berempah untuk sementara waktu.
Alahan
Pengambilan makanan berlada seperti cili boleh menyebabkan simptom alahan kepada sesetengah ibu yang mengandung. Sekiranya anda pernah mengalami simptom alahan tersebut sebelum hamil, mengambilnya ketika mengandung bukanlah 1 pilihan yang bijak.
Ini disebabkan kepekaan makanan (food sensitivity). Ketika trimester ke-3, sesetengah jenis makanan boleh meningkatkan tahap kepekaan seperti makanan pedas, minuman berkarbonat dan sesetengah makanan biasa yang menyukarkan proses pencernaan.
Kerengsaan rahim
Bagi sesetengah wanita, masakan pedas boleh menyebabkan kerengsaan pada rahim atau usus. Simptom utama berkaitan kerengsaan rahim adalah masalah kekejangan tidak terkawal pada otot rahim atau pada bahagian abdomen bawah.
Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan kontraksi pada serviks. Jika kandungan anda berusia kurang daripada 37 minggu dan mengalami simptom ini, anda perlu mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Sekiranya ibu hamil menyedari mengalami keasidan, kembung atau kekejangan apabila makan makanan pedas, elakkan daripada terus mengambilnya.
Pedih ulu hati
Risiko untuk mengalami masalah pedih ulu hati atau masalah pencernaan lain adalah tinggi semasa mengandung. Makanan yang pedas akan meningkatkan asid refluks dan boleh menjadi pencetus kepada masalah pedih ulu hati, terutamanya pada lewat tempoh kehamilan.
Seandainya anda masih ingin mengambil makanan yang pedas dan berempah semasa hamil, pastikan anda menyediakan segelas susu bagi mengurangkan pedih ulu hati. Madu juga boleh mencegah risiko ini.
Sebaiknya sentiasa refer kepada pakar supaya kandungan berada dalam keadaan baik-baik saja.
Selamat Beramal!