Epal bukan sahaja enak dimakan tetapi dijadikan snek kesihatan bagi mengurangkan risiko sakit jantung, kanser dan kolesterol darah, serta banyak lagi penyakit. Mungkin ramai yang memilih buah epal sebagai snek harian sebelum menikmati sarapan pagi, tengah hari atau malam. Hakikatnya, masih ramai yang belum mengetahui khasiat sebiji epal.
Terdapat pelbagai sebab mengapa kita perlu makan sekurang-kurangnya sebiji epal setiap hari. Satu kajian mendapati mereka yang makan lebih lima biji epal seminggu memiliki fungsi paru-paru yang lebih sihat berbanding mereka yang langsung tidak makan epal.
Malah, anda mesti pernah terdengar atau terbaca bahawa makan sebiji epal sehari mampu ‘menjauhkan’ seorang doktor. Sebiji epal secara anggarannya mempunyai kandungan nutrisi seperti berikut:
- Kalori: 95
- Karbohidrat: 25 gram
- Serat: 4 gram
- Potasium: 6% daripada Reference Daily Intake (RDI)
- Vitamin C: 14% daripada RDI
- Vitamin K: 5% daripada RDI
Selain itu, sebiji epal juga mengandungi kandungan polyphenols, vitamin A, E, B1, B2 dan B6 yang mempunyai anggaran sebanyak 2 – 4% RDI. Epal menjadi kegemaran bukan sahaja kerana rasanya tetapi khasiat juga.
- Epal tidak mengandungi lemak, sebaliknya mempunyai kandungan nutrien dan serat termasuk antioksida yang meningkatkan prestasi badan dan kulit seseorang.
- Mampu mengurangkan berat badan, individu yang gemar makan buah ini sebagai pembuka selera akan membuat mereka berasa kenyang sebelum makan sajian utama.
- Epal tinggi kandungan serat dapat membantu mengawal paras kolesterol agar kandungan kolesterol ‘baik’ melebihi kolesterol ‘jahat’.
- Kandungan serat dan flavonoid dalam epal membantu menstabilkan kandungan gula dalam darah.
- Seperti kebanyakan buah, epal mengandungi vitamin C. Ia juga hos sebatian antioksida lain bagi mengurangkan risiko kanser dengan menghalang kerosakan deoksirinukleik (DNA).
- Kandungan serat epal membantu mengawal pergerakan usus dan merendahkan risiko kanser kolon.
- Kulit epal yang kaya dengan flavonoid dan quercetin, akan membantu memperkuatkan sistem imun dalam badan sekali gus mengurangkan risiko asma dan alahan.
- Antioksidan yang terdapat dalam buah-buahan terutamanya buah ini mampu membantu kekuatan tulang.
- Buah ini sangat bagus untuk perut. Ini kerana ia mengandungi pectin, sejenis serat yang berfungsi sebagai prebiotik.
Bagaimanapun, pakar menasihati, elak pengambilan buah yang mempunyai warna yang sama setiap hari. Untuk mendapatkan diet yang ideal, kita seharusnya mempelbagaikan jenis buah-buahan dan juga warnanya, termasuk sayur-sayuran.
Ingat, anda tidak digalakkan makan epal melebihi enam biji sehari kerana kadar gula dalam tubuh akan meningkat. Jangan sesekali mengamalkan diet yang hanya makan buah ini setiap hari tanpa mengambil makanan lain. Cukup hanya satu atau dua biji sahaja sehari.
Epal Hijau vs Merah
Secara umumnya, epal merah adalah lebih digemari kerana rasanya yang lebih sedap dan manis. Namun begitu, tidak ramai individu yang menggemari epal hijau kerana rasanya yang sedikit masam. Sebenarnya, epal hijau terbukti mendatangkan banyak manfaat kesihatan dan kecantikan kepada pemakannya. Ia dilengkapi dengan nutrien, serat, mineral dan vitamin yang baik untuk keseluruhan kesihatan secara total.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” [Riwayat al-Bukhari (5678)]
Selamat Beramal!