Semalam kita terkesan dengan berita kematian dua orang insan akibat Covid-19. Seorang lelaki berusia 60 tahun dari Sarawak dan seorang lagi jejaka muda 30-an asal Johor yang tewas dengan wabak Corona.
Tertanya bagaimana cara kebumi si jenazah yang beragama Islam?
Dilaporkan jenazah yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Johor Bahru malam tadi.
Jenazah lelaki berusia 34 tahun itu, dilihat tiba dari HSA dengan menaiki van jenazah pada 8.15 malam tadi. Kira-kira 10 lelaki dipercayai kakitangan hospital selain orang awam, dilihat mendengar taklimat sebelum memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).
Difahamkan isteri dan anak mangsa tidak menghadiri majlis pengebumian berkenaan kerana sedang dikuarantinkan di Hospital Permai.
Bayangkan kita langsung tidak boleh bersama-sama dengan si mati, tidak boleh mandikan, tidak boleh cium mereka untuk kali terakhir, tidak boleh kafankan mereka, malah kita sendiri tidak boleh kebumikan mereka dan letakkan mereka dalam liang lahad. Segalanya dilakukan oleh pihak yang bertugas dengan pakaian bertutup litup. Mereka yang pergi berseorangan tanpa satu pun waris yang teman atau uruskan. Kiranya mereka meninggal dunia seorang dunia.
Malah pihak yang bertanggungjawab mengendalikan jenazah – pihak hospital dikehendaki mandi dengan sebersihnya selepas kebumikan si mati kerana tidak mahu penularan wabak.
Subḥānallāh! Takutnya bila mendengar cerita sebegini..