“Bra yang mana satu sesuai untuk wanita hamil dan menyusukan anak ni, terlalu banyak sangat bra sampai mata pun tak boleh nak bezakan!”
Biasanya masalah sebegini biasa bukan saja berlaku pada wanita yang baru berumahtangga, malah wanita yang telah miliki anak ramai pun masih mengalami masalah yang sama. Almaklum pening tengok jenis-jenis bra yang terdapat di pasaran tempatan sekarang.
Sebenarnya tips memilih bra semasa fasa kehamilan dan untuk menyusukan anak sebenarnya ringkas saja, kena ikut step-by-step. Sedangkan tips solekan dengan berdandan boleh ikut, tak kan lah tips nak pilih dan cari bra yang sesuai semasa hamil dan menyusukan anak tak boleh ikut pula, betul tak?
#1 Boleh Pakai Bra Bersalin, Bila Rasa Tak Selesa
Apabila kamu mendapat tahu diri kamu hamil dan mula merasai perubahan bentuk payudara serta berasa tidak selesa, maka waktu itulah kamu perlu mencari dan memakai bra bersalin.
Di fasa kehamilan payudara kamu akan mengalami perubahan sepanjang sembilan bulan waktu kehamilan, sebab itu kamu perlu memakai bra bersalin yang sesuai dengan keadaan diri kamu waktu itu.
#2 Cari Bra Tanpa Wayar
Eh, tak boleh ke pakai bra berwayar? Bukan pakai bra berwayar lebih dapat menyokong payudara ke? Sebenarnya kebanyakan pakar penjagaan kesihatan menasihatkan kepada wanita hamil, agar tidak memakai bra berwayar kerana dikhuatiri dawai wayar tersebut menyentuh tisu payudara yang sensitif.
Jika kamu risau bentuk payudara kamu, carilah bra tanpa wayar dengan fungsi sokongan penuh kerana bra jenis ini dapat bentuk payudara kamu semasa fasa kehamilan dan selepas.
#3 Apa Beza Bra Bersalin & Bra Untuk Menyusukan Anak?
Beza antara bra bersalin dan bra untuk menyusukan anak adalah dari segi fungsi, seperti bra untuk menyusukan anak ia direka memiliki fungsi bra yang boleh tanggal untuk menyusukan anak. Dan bagi bra bersalin pula, ia tidak memiliki fungsi seperti bra untuk menyusukan anak.
Jadi kamu harus tahu apa perbezaan kedua-dua dan jangan main beli je tapi tak tahu apa beza dan fungsi bra tersebut.
#4 Kena Tahu Jenis Material Bra Yang Bagus
Kamu juga perlu tahu jenis bahan yang macam mana sesuai dan bagus untuk bra bersalin dan bra untuk menyusukan anak, ini antara kriteria bahan yang kamu harus beri perhatian:
- Bra yang fleksibel dan boleh laras mengikut saiz payudara semasa hamil
- Menggunakan fabrik yang lembut
- Pastikan fabrik di bahagian bawah payudara jenis boleh renggang
- Tali bra yang lebar dan selesa
#5 Jangan Berkira Sangat! Beli Bra Lebih Dari Satu
Biasa wanita yang sedang hamil ni, banyak menghabiskan duit membeli barangan untuk anak yang bakal lahir tersebut. Memang tak salah, tapi jangan sampai bra untuk diri sendiri pun bercatu. Cari dan beli bra bersalin yang boleh digunakan sepanjang tempoh kehamilan kamu, sebaiknya beli bra lebih dari satu.
Bukan apa, misal kata ada kecemasan apa-apa kamu ada bra lebih betul tak.
#6 Kena Tahu Jenis-Jenis Bra Untuk Wanita Hamil
Kamu kena tahu jenis bra yang bagaimana harus kamu guna sepanjang tempoh kehamilan dan selepas hamil. Ini adalah tiga jenis bra yang perlu kamu cari:
- Support Bra: Bra jenis sokongan ini boleh kamu pakai dari 0-9 bulan tempoh kehamilan.
- Sleep Bra: Bra jenis ini pula sesuai kamu pakai semasa 3-9 bulan tempoh kehamilan, dan kamu boleh gunakan bra ini selepas habis bersalin nanti.
- Nursing Bra: Kamu boleh mula memakai bra menyusukan anak ini bermula dari 6-9 bulan dan sehingga tempoh menyusukan anak.
#7 Sentiasa Ukur Saiz Payudara!
Sepanjang tempoh kehamilan dan selepas bersalin, kamu perlu sentiasa ukur saiz payudara kamu. Ini kerana jika bra yang kamu gunakan tidak sesuai untuk menampung saiz payudara kamu yang sedang membesar itu, maka kamu harus mencari bra bersalin yang baru.
Jangan pakai bra bersalin yang ketat sehingga meninggalkan tanda pada badan, ia akan menyebabkan perjalanan darah sekitar payudara terganggu. Sebab itu penting untuk kamu sentiasa ukur saiz payudara sepanjang kehamilan.
Pastikan bra bersalin yang kamu beli adalah jenis yang boleh laras, dan mudah renggang mengikut saiz payudara kamu dalam tempoh kehamilan.
Di harap info dan tips yang penulis kongsikan hari ini berguna untuk kamu.
Selamat beramal!