Jangan terkejut ye semua!
Nampaknya anda mungkin tidak dapat melihat Lee Kwang Soo buat seketika kerana aktor tinggi lampai ini dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan pada 15 Februari lalu.
Akibat perlanggaran itu, Kwang Soo akan menjalani pembedahan buku lali. Perkara itu disahkan oleh agensinya dan berharap peminat mendoakan yang terbaik buat aktor itu.
“Pada petang 15 Februari (Sabtu), kereta dinaiki Kwang Soo terlibat dalam kemalangan selepas sebuah kereta melanggar lampu isyarat.
“Setelah melakukan pemeriksaan di hospital berhampiran, Kwang Soo didiagnosis patah di pergelangan kaki kanannya. Beliau dimasukkan ke hospital dan akan memberi fokus kepada rawatan pergelangan kaki buat masa ini.
“Kwang Soo tidak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijadualkan termasuk penglibatan dalam program Running Man buat sementara waktu dan kami berharap para peminatnya memahami keadaan itu,” kata agensinya.