Fenomena berus pembersih muka telah mendapat tempat di hati wanita sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Boleh dikatakan penggunaan berus pembersih muka ini telah menjadi alat wajib bagi wanita yang ingin membersihkan wajah tanpa sebarang kesan kotoran.
Apa yang menyebabkan ramai wanita menggunakan berus pembersih wajah ni? Sebenarnya berus pembersih muka sangat diminati ramai kerana kesannya yang dapat meningkatkan peredaran darah serta menanggalkan sel kulit mati pada wajah dengan mudah dan selamat.
Apa Itu Berus Pembersih Muka
Berus pembersih muka ini merupakan alat pembersih muka yang berkuasa seperti produk penjagaan kulit wajah!
Kini terdapat pelbagai jenis berus pembersih muka, ada yang jenis berus manual di mana pengguna harus membersihkan wajah dengan menggerakkan berus tersebut sendiri dan ada juga berus pembersih muka jenis automatik di mana kepala berus boleh berpusing sendiri.
Bagi berus pembersih muka yang bergerak automatik terdapat fungsi pergerakan yang berbeza di mana, ada sesetengah berus berpusing mengikut arah jam dan ada juga bergerak secara ke depan dan ke belakang.
Meskipun berus pembersih muka ini hadir dengan pelbagai fungsi yang berbeza tetapi ia menjalankan misi yang sama iaitu membuang sel kulit mati pada kulit muka kita dan membersihkan liang pori kulit.
Manfaat Penggunaan Berus Pembersih Muka
Pasti ada di kalangan wanita yang tidak biasa menggunakan berus pembersih muka ini, tertanya-tanya mengapa ramai wanita lain yang menggunakan berus ini untuk mencuci muka mereka.
Apakah kebaikan atau manfaat berus ini terhadap kulit wajah kita, nak tahu apakah kebaikannya lihat di bawah!
Buang Sel Kulit Mati
Berus pembersih muka dapat membuang dan menanggalkan sel-sel kulit mati yang terdapat pada kulit wajah dengan mudah, pantas dan selamat. Siapa yang tidak mahu menanggalkan sel kulit mati bukan?
Apabila sel kulit mati ditanggalkan, ia akan mempercepatkan proses penghasilan sel kulit baharu yang lebih berseri dan gebu!
Bersihkan Liang Pori Secara Mendalam
Rutin membersihkan muka setiap hari salah satunya adalah supaya dapat membersihkan liang pori secara mendalam dan betul.
Dengan menggunakan berus pembersih muka ini, liang pori dapat dibersihkan secara mendalam dan mengetatkan semula kulit wajah.
Melancarkan Sistem Peredaran Darah
Apabila saluran peredaran darah di muka berjalan dengan lancar, wajah akan tampak sihat dan bertenaga. Oleh itu, dengan penggunaan berus pembersih muka ini ia dapat melancarkan sistem peredaran darah menerusi pergerakan yang dilakukan oleh berus pembersih tersebut.
Maka tidak hairan selepas menggunakan berus, wajah akan jadi lebih berseri.
Kulit Jadi Lebih Lembut Dan Bersinar
Membersihkan kulit muka dengan alat ini dapat merangsang permukaan kulit wajah dan sekaligus menjadikan kulit lebih bersinar dan lembut tanpa kita sedar! Bestnya.
Meningkat Penghasilan Kolagen Wajah
Tahukah kamu dengan membersihkan muka dengan menggunakan berus pembersih muka ini, ia bukan saja dapat menanggalkan sel kulit mati. Malah ia juga mampu menyebabkan kulit untuk menghasilkan kolagen dalam kadar yang tinggi.
Ini akan meningkatkan pengeluaran kolagen pada kulit dan membuatkan kulit jadi lebih ketat dan awet muda! Syoknya.
Adakah Berus Pembersih Muka Sesuai Untuk Semua Jenis Kulit?
Meski kini semakin ramai yang menggunakan berus pembersih muka tapi ada juga segelintir yang takut-takut untuk mencuba menggunakan alat pembersih wajah ini kerana khuatir ianya tidak sesuai dengan jenis kulit mereka.
Jangan risau, kamu boleh semak penggunaan berus muka ini menerusi kategori jenis kulit yang dinyatakan di bawah!
- Jenis kulit normal – Jika kamu memiliki kulit jenis normal, kamu boleh mencuci wajah menggunakan berus pembersih muka ini secara kerap. Kerana kulit normal mampu menangani berus halus sesuai mengikut penggunaan atau rawatan wajah.
- Jenis kulit kering – Bagi yang memiliki kulit jenis kering, kamu dinasihatkan agar tidak menggunakan berus pembersih muka ini secara berlebihan. Seelok-eloknya, guna berus pembersih sekali atau dua kali seminggu.
- Jenis kulit berminyak – Bagi yang memiliki kulit jenis berminyak pula, kamu boleh menggunakan berus pembersih muka secara harian tanpa perlu risau dengan kesan yang tidak baik. Antara jenis berus yang bagus untuk individu yang memiliki kulit berminyak, adalah berus jenis berputar.
- Jenis kulit sensitif – Jika kamu jenis sensitif, kamu perlu beri perhatian yang lebih apabila memilih jenis berus pembersih muka. Pastikan kamu tidak menggunakan tenaga yang terlalu kuat apabila memberus muka dan dinasihatkan agar kamu menggunakan berus pembersih ini dua kali seminggu.
- Jenis kulit kombinasi – Jika kamu memiliki kulit jenis kombinasi pula, kamu harus menggunakan berus pembersih dengan kadar yang minima seperti sekali atau dua kali dalam seminggu untuk mengelakkan masalah iritasi kulit berlaku.
Patutlah ramai yang pakai berus pembersih muka sekarang ni, untuk membersihkan muka. Malah kesannya juga sangat baik dan memberi manfaat terhadap kulit muka agar menjadi lebih berseri dan bersih sepanjang masa!