Apabila melancong ke luar negara secara bersendirian mahupun bersama yang tersayang pastinya kamu menginginkan mengabadikan kenangan percutian yang terindah bukan. Tetapi siapa boleh menyangkal apa yang bakal berlaku pada keesokan hari.
Oleh itu, penting bagi kamu merancang perjalanan secara rapi dan teliti termasuklah perancangan bagi menghadapi waktu kecemasan. Apabila berada di negara orang, kamu harus lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan untuk berlakunya kemalangan.
Dan jika kemalangan benar-benar berlaku ke atas diri kamu atau orang tersayang, kamu harus mencari pertolongan bantuan kecemasan dari pihak hospital luar negara.
Bukan itu saja, semasa melancong kamu harus berfikir berlaku kemungkinan untuk berlaku situasi yang memerlukan kamu untuk mendapatkan rawatan di hospital. Tetapi, bagaimana hendak bersedia menghadapi segala kemungkinan tersebut dan apa pula langkah atau cara yang betul dan perlu dilakukan?
Nah berikut, Wanista kongsikan serba serbi tentang apa yang perlu kamu lakukan sebelum memulakan percutian kamu ke luar negara!
Berjumpa Dengan Doktor Sebelum Berangkat
Sebelum berangkat ke luar negara, kamu disarankan untuk berjumpa dengan doktor, bak kata pepatah mencegah lebih baik dari mengubati. Apabila berjumpa dengan doktor dapatkan nasihat perubatan yang diperlukan untuk dibawa bersama ketika melancong.
Malah, kamu juga boleh mendapatkan ubat-ubatan yang boleh digunakan sebagai rawatan awal, seperti ubat untuk sakit kepala, sakit cirit-birit, rawatan ketika berada di paras tinggi, rawatan untuk gigitan serangka, nasihat pemilihan makanan yang selamat dan berbagai pandangan perubatan yang boleh kamu dapatkan apabila berjumpa dengan doktor sebelum berangkat ke luar negara.
Tambahan lagi, setiap negara mempunyai tahap kebersihan yang berbeza jadi lebih baik dapatkan suntikan imunisasi agar dapat menghindari jangkitan penyakit hepatitis B yang mana ia boleh dijangkiti menerusi darah dan mana-mana cecair yang terdapat di tubuh badan.
Sediakan Bekalan Ubat-Ubatan
Persediaan yang rapi akan membantu diri kamu tatkala menghadapi masalah, konsep yang sama in diguna pakai untuk mencegah sebarang masalah kesihatan yang mungkin atau bakal berlaku kepada diri kamu.
Dengan menyediakan bekalan ubat-ubatan untuk dibawa semasa melancong adalah sangat penting dan tidak harus di pandang remeh. Dengan bekalan ubat-ubatan yang mencukupi dapat menyelamatkan diri semasa kesusahan.
Semak Insuran Diri
Bagi yang ingin melancong ke luar negara, penting untuk kamu menyemak insuran kesihatan diri sama ada insuran yang kamu guna pakai melindungi diri kamu jika berlaku sebarang kejadian yang tidak di ingini di luar negara.
Pastikan kamu membuat beberapa salinan kad insuran kesihatan dan juga maklumat syarikat insuran. Tambahan lagi, jika kamu ingin mendapatkan akses penuh bagi insuran kesihatan diri, ianya penting untuk syarikat insuran memiliki maklumat tambahan yang penting mengenai kesihatan diri kamu seperti contoh jika kamu memiliki masalah kesihatan mental.
Segala maklumat kesihatan diri harus dibuat secara ‘terang’ dan telus agar kamu mengetahui polisi insuran mana yang harus kamu guna pakai jika hendak ke luar negara. Selain itu, jika kamu ingin mendapatkan rawatan kesihatan, lihat pada polisi insuran yang kamu ambil kerana syarikat insuran memiliki jaringan doktor dan hospital mereka sendiri.
Kaji Destinasi Pelancongan Kamu
Sebelum untuk pergi bercuti ke luar negara, penting untuk kamu buat kajian di kawasan destinasi yang ingin kamu kunjungi seperti pusat kesihatan, jenis rawatan yang ditawarkan dan semak jika terdapat sebarang wabak penyakit sedang berlaku di destinasi yang kamu ingin lawati.
Maklumat ini semua sangat penting, kamu perlu semak di mana hospital yang terdekat dengan tempat penginapan kamu. Bukan itu saja, kamu juga perlu mengetahui tahap keselamatan di sana. Segala jawapan untuk kemusykilan ini boleh kamu dapatkan menerusi syarikat insuran dan syarikat agensi pelancongan.
Selain itu, kamu juga boleh mempelajari serba sedikit mengenai budaya dan undang-undang di negara yang kamu ingin lawati agar ia dapat membantu kamu dan memudahkan perjalanan semasa melancong di sana.
Bawa & Cetak Dokumen Penting
Sebagai langkah berjaga-jaga jika kamu memiliki kad kesihatan atau sedang mengambil sebarang ubat-ubatan bagi rawatan, melancong bersama surat daripada doktor kesihatan kamu dengan maklumat terperinci seperti jenis darah, penyakit yang kamu hadapi, alahan, nama ubat yang kamu ambil, jenama ubat, dos ubat, cara rawatan, alat perubatan, number telefon doktor yang merawat kesihatan kamu dan sebagainya ia bagus di bawa bersama.
Dan jika surat perubatan tersebut boleh diterjemah mengikut bahasa negara yang kamu ingin lawati adalah lebih baik ini, jika berlaku sebarang kecemasan kepada diri kamu, surat kesihatan yang terjemah dalam bahasa mereka akan memudahkan pihak perubatan untuk memeriksa kesihatan kamu.
Jadi kamu perlu bawa dokumen kesihatan ini setiap kali ingin melancong ke luar negara untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kecemasan.
Gunakan Kemudahan Yang Ada
Pusat kawalan dan pencegahan penyakit (Centers for Disease Control and Prevention) menawarkan khidmat nasihat perubatan kepada pengembara yang ingin mengembara di luar negara. Segala maklumat terperinci kesihatan dipaparkan mengikut pilihan destinasi yang kamu ingin pergi.
Jadi tak rugi untuk kamu menyemak dahulu dan lihat nasihat-nasihat yang disarankan agar kamu lebih berhati-hati terutama melancong ke negara orang.
Minta Tolong Rakan Untuk Tinggal Bersama Di Hospital
Jika kamu melancong secara solo dan berlaku kecemasan, jangan pergi ke hospital secara bersendirian. Jika boleh, minta tolong rakan yang kamu kenali untuk membantu dari segi komunikasi dan penjagaan kesihatan. Atau jika kamu mempunyai ahli keluarga yang menetap di negara tersebut, minta bantuan mereka untuk membantu urusan di hospital.
Tambahan lagi, bagi individu yang membantu urusan kamu di hospital perlu memiliki salinan dokumen kesihatan untuk memudahkan urusan kesihatan kamu di hospital berkenaan.
Duit Wajib Berada Di Tangan
Meskipun zaman sekarang ini telah mula beralih ke era digital dan semuanya boleh dibayar secara digital, tetapi lain pula jika kamu di tempat orang. Pentingnya untuk kamu memiliki duit dalam matawang negara yang dikunjungi untuk memudahkan segala urusan.
Tambahan lagi, kebanyakan masyarakat lokal menerima wang tunai berbanding bayaran secara digital.
Simpan Rekod Perubatan Luar Negara
Jika kamu mendapatkan sebarang penjagaan kesihatan di hospital di luar negara, kamu harus simpan segala dokumen dan rekod perubatan di sana. Malah resit hospital juga harus di simpan. Ini adalah kerana jika kamu ingin membuat sebarang tuntutan insuran perubatan, segala butiran dan dokumen terperinci diperlukan.
Sebelum kamu keluar dari hospital luar negara, minta salinan rekod perubatan termasuklah kesimpulan perubatan, keputusan makmal dan imej keputusan.
Langkah Susulan
Jika semasa kamu melancong di luar negara, kamu di masukkan ke hospital kerana memerlukan rawatan. Perlu di ingatkan selepas kamu pulang ke tanah air, kamu perlu membuat susulan dengan berjumpa doktor yang menyelia kesihatan kamu. Supaya doktor kamu mengetahui segala masalah kesihatan yang berlaku kepada kamu semasa kamu melancong di luar negara.
Isu langkah susulan ini adalah penting untuk doktor mengetahui jika kamu diberikan sebarang ubat yang berlainan atau isu-isu masalah kesihatan yang mungkin berlaku di masa akan datang.
Di harap segala tips dan perkongsian yang diberikan hari ini dapat memberi manfaat kepada kamu terutama bagi yang ingin ke luar negara untuk melancong atau mungkin kerana tugasan kerja. Ingat sediakan payung sebelum hujan adalah cara yang bagus bagi menghadapi masalah yang bakal berlaku semasa melancong di luar negara.