Bila petang hari di kala cuaca dingin dari hujan tiba-tiba membuatkan perut kita terasa lapar.
Masuk ke dapur, melihat peti sejuk… sayangnya tiada sebarang bahan basah di dalamnya. Muka terus mencuka kerana perut sudah berirama rock minta diisi. Tiba-tiba mata tertancap pada kentang di atas meja, mulalah terfikir “selain kentang goreng, apa lagi resepi menggunakan kentang”..
Pergi ke Youtube, tonton satu video “Potato Pancakes”. Sangat mudah hanya menggunakan dua bahan sahaja. Rupa persis lempeng cumanya ini dibuat menggunakan kentang dan versi Korea.
Lempeng Kentang Ala Korea Guna Dua Bahan
1. Anda hanya perlukan kentang dan daun bawang sahaja.
2. Kentang dikupas bersih. Kentang diparut halus – anda boleh guna alat parut atau mesin pengisar. Daun bawang pula dihiris halus.
3. Kentang yang sudah diparut halus tadi, ditapis selama 5 ke 10 minit supaya air benar-benar hilang. Air tapisan dibuang dan kanji kentang dibawahnya dibiarkan.
4. Kentang tadi dimasukkan ke dalam bekas kanji, campurkan sekali daun bawang dan kacau sebati. Jangan lupa masukkan garam sebagai penambah rasa.
5. Sekarang dah boleh goreng seperti lempeng, api biar perlahan takut nanti hangus pula.
Video Masakan
Makan panas-panas bersama sambal kicap atau sos. Ikut tekak masing-masing.
Selamat Mencuba!