Berada di tempat yang selesa membuatkan diri berasa selamat dan aman, namun jika di lihat dari sudut jangka masa panjang ia tidak membawa apa-apa kebaikan. Untuk menjadi individu yang berjaya kamu harus berani mengambil risiko dan berusaha untuk keluar dari zon selesa barulah kamu mengerti erti sebenar kejayaan dan manisnya cabaran!
Zon selesa atau ruang selesa membuatkan potensi diri kamu terbantut dan tidak berkembang. Dan rata-rata ramai di kalangan kamu tidak ingin dan tidak mahu untuk keluar dari zon selesa kerana berasa terlalu selesa, selamat serta beranggapan tidak perlu mengubah apa-apa untuk keluar dari ruang selamat tersebut.
Jika kamu ingin mengubah corak pemikiran, meluaskan perspektif diri serta ingin mengecapi tahap yang lebih tinggi dari yang sedia ada, kamu harus mengetahui kebaikan dan keburukan zon selesa agar kamu mengetahui jalan serta arah yang manakah yang sesuai untuk diri kamu sendiri.
5 Kebaikan Tentang Zon Selesa
#1 Buatkan Diri Kamu Rasa Selamat
Apabila kamu membina kerjaya dan kehidupan diri, diri kamu cenderung kearah ruang yang selamat agar diri kamu berasa aman tanpa perlu memikirkan sesuatu perkara secara mendalam. Cukup dengan hanya rasa selamat dan aman diri kamu berasa puas.
#2 Kamu Berasa Yakin
Dalam zon selesa kamu sendiri, kamu berasa yakin dalam setiap keputusan yang kamu ambil. Melakukan sesuatu yang mudah memberikan keyakinan dalam diri kamu sendiri dan kamu di penuhi serta di kelilingi dengan aura-aura positif serta daya pemikiran yang positif.
#3 Diri Jadi Produktif
Berada dalam gelung selesa yang di bina membuatkan diri kamu proaktif dan segar! Dan apabila diri menjadi proaktif, segala tugas yang dilakukan menjadi berkualiti malah kamu berasa lebih bersemangat untuk menyiapkan tugasan yang di berikan.
#4 Gaya Hidup Mudah Dan Selesa
Dalam ruang selesa ini, kamu amalkan gaya hidup yang mudah dan selesa tanpa perlu membebankan diri untuk bersaing dengan orang lain. Zon ini membuatkan diri kamu gembira tanpa perlu risau.
#5 Tidak Perlu Rasa Tertekan
Zon selesa juga membuatkan hidup kamu bebas tekanan dan menjadikan emosi dalam diri kamu menjadi lebih stabil dan sihat. Segalanya berada dalam ruang selesa yang boleh kamu kecapi tanpa rasa gusar dan susah. Justeru itu, kamu percaya dengan berada di dalam zon selesa kamu akan sentiasa berasa bebas tekanan.
5 Keburukan Tentang Zon Selesa
#1 Tidak Berani Mengambil Risiko
Apabila berada terlalu lama dalam zon selesa, kamu akan berasa tidak yakin untuk mengambil risiko dan semakin lama kamu hilang identiti diri sendiri. Dengan berada di zon selamat membuatkan kamu menjadi seorang yang ‘penakut’ untuk melakukan sesuatu yang luar dari zon selesa kamu.
#2 Tidak Membesar Dengan Matang
Dalam kehidupan mahupun kerjaya yang di kelilingi dengan zon selesa akan membuatkan diri dan pemikiran kamu menjadi tidak matang serta membuatkan kamu tidak membesar dan hanya lalui jalan yang kamu rasakan mudah untuk kamu lakukan.
#3 Matlamat Hidup Sukar Di Kecapi
Ruang selesa menyukarkan kamu untuk mengecapi kejayaan baik dalam kehidupan mahupun dalam kerjaya. Ini kerana di zon selesa, kamu tidak berani untuk melangkah keluar zon tersebut untuk menghadapi cabaran dan rintangan yang mendatang. Jesteru itu, matlamat yang kamu ingin kecapi tidak akan berjaya di laksanakan dek kerana diri kamu berasa takut.
#4 Menjadi Malas
Sedar atau tidak apabila kamu berada dalam zon selesa menjadikan diri kamu seorang yang malas. Kamu mula berasa bosan dan puas dengan apa yang kamu miliki tanpa perlu keluar dari ruang selesa tersebut.
#5 Sukar Berdiri Di Atas Kaki Sendiri
Jika dunia selesa yang kamu miliki musnah, kamu akan berasa sukar untuk berdiri di atas kaki sendiri dengan cabaran yang datang bertali arus di dalam masyarakat. Malah kamu sendiri akan dengan mudahnya terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa memikirkan tentang tindakan yang di ambil itu betul atau tidak.
Jadi, Ayuh Keluar Dari Zon Selesa Dan Luaskan Perspektif Kamu!
Kamu akan merasai nikmat manisnya kehidupan, apabila keluar dari zon selesa!
Tiada apa yang sukar dalam dunia ini dengan izin-NYA segala yang ingin di kecapi akan berjalan dengan lancar. Apa yang penting kamu tahu apa yang diri kamu ingin lakukan dengan jelas, bersemangat dan sentiasa luaskan perspektif diri dengan pemikiran yang tajam dan bijak dalam menempuhi cabaran dalam kehidupan mahupun kerjaya.
Keluar dari kepompong kehidupan akan menjadikan kamu seorang yang kuat dan pandangan kamu dalam menilai sesuatu perkara menjadi lebih bijak dan arif. Meskipun sukar untuk keluar dari zon selesa, ia berbaloi untuk berubah kerana setiap langkah dan perubahan yang kamu lakukan akan membawa diri kamu menuju kearah kejayaan.
Dan apabila kamu telah berjaya di masa akan datang, kamu akan imbas semula kebelakang tentang langkah pertama yang kamu ambil untuk keluar dari zon selesa kamu!
Manfaat Kepada Diri Apabila Keluar Dari Zon Selesa
#1 Berpeluang Untuk Menjadi Matang
Keluar dari zon selesa akan membuatkan kamu ingin mencabar had diri kamu agar kamu dapat meletakkan diri kamu ke tahap yang lebih tinggi dengan kemahiran dan ilmu baharu yang kamu baru pelajari. Menerusi cabaran yang kamu hadapi, kamu akan menjadi matang dan membesar dengan persekitaran yang lebih bagus dari yang sebelumnya.
#2 Belajar Mengenali Diri Sendiri
Bukan itu sahaja, apabila kamu keluar dari zon selesa, kamu secara tidak langsungnya dapat mengenali diri sendiri baik dari segi kelemahan mahupun kekuatan diri kamu sendiri. Setiap kali kamu berjaya melakukan sesuatu, secara tidak langsung kamu memperolehi kemahiran dan ilmu yang baru, bermanfaat dan kamu menjadi lebih berkeyakinan.
#3 Jadi Lebih Kreatif Dan Inovatif
Pemikiran kamu juga akan berubah menjadi lebih kreatif dan inovatif kerana pandangan dan pemikiran kamu tidak tersekat atau tidak terhad terhadap sesuatu perkara sahaja. Malah dengan daya pemikiran yang baru ini akan membuatkan kamu mencari idea kreativiti diri agar dapat menyesuaikan diri dengan cabaran dan persekitaran baru.
#4 Belajar Menghadapi Cabaran
Dalam kehidupan, cabaran dan rintangan merupakan rencah kehidupan yang setiap manusia hadapi. Oleh itu, apabila kamu telah keluar dari zon selesa, kamu akan menjadi lebih berani dan belajar bagaimana untuk menghadapi cabaran yang di hadapi di hadapan kamu.
#5 Hidup Lebih Berwarna-warni
Sedar atau tidak setelah keluar dari ruang selesa, kamu akan berasa bahawa dunia kamu berwarna-warni dengan pelbagai rencah kehidupan yang pastinya lain semasa kamu berada dalam zon selesa sendiri. Hidup akan lebih manis setelah kamu berjaya menghadapi segala cabaran, bergerak kehadapan dengan penuh keyakinan dan kejayaan menjadi milik kamu!
There never too late to change!
Jadi bagaimana, adakah kamu masih berkira-kira untuk terus tinggal di dalam zon selesa. Atau kamu mahu melangkah keluar dan sempurnakan matlamat diri serta impian diri kamu. Apa jua keputusan yang kamu ambil, fikir masak-masak dan timbang baik buruk dari semua sudut agar kamu tidak menyesal.