Siapa yang tidak mengenai wanita hebat ini Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Tunku Hajah Azizah memiliki aura pesona yang tersendiri, di sebalik senyuman ayu baginda terpancar jiwa kental dan karisma sebagai Raja Permaisuri Agong.
Keayuan baginda terserlah dengan raut wajah yang manis serta senyuman yang tak lekang meniti di bibir baginda. Baginda merupakan wanita yang penyayang, bersahaja dan berjiwa rakyat.
Pernah menjadi bualan pada musim buah durian apabila baginda menikmati buah durian di gerai tepi jalan tanpa sebarang protokol, dan turut berbual bersama peniaga durian tersebut dengan gaya bersahaja. Wanista kagum dengan Raja Permaisuri Agong dengan peribadi yang santun, siapa yang tidak tertawan bukan?
Malah baginda tampil dengan pakaian yang bersahaja pada ketika itu. Gaya santai Raja Permaisuri Agong ini mendapat perhatian rakyat jelata dan memuji peribadi yang berjiwa rakyat ini.
Menyentuh tentang penampilan wanita ayu dan berjiwa rakyat ini, baginda memiliki gaya berfesyen yang kini kian menjadi ikutan fesyen rakyat Malaysia. Dek kerana fenomena fesyen yang dibawa oleh baginda, fenomena baju kurung kian kembali popular!
Baju Kurung Tidak Tertelan Dek Zaman!
Busana baju kurung tidak pernah di telan dek zaman, bahkan ia semakin kian popular dan digemari oleh rakyat Malaysia. Tambahan lagi Raja Permaisuri Agong sendiri mengenakan busana traditional ini. Tetapi yang menjadi perhatian rakyat jelata adalah, gaya pemakaian baju kurung Raja Permaisuri di hiasi dengan selendang yang menjadikan penampilan baginda semakin terserlah dan punya aura yang tersendiri.
Dek kerana gaya fesyen berbaju kurung yang unik dan anggun yang di gayakan oleh Tuanku Permaisuri, rakyat turut mengenakan gaya fesyen yang sama dan ianya mencetus gelombang fenomena baju kurung yang unik di Malaysia.
Hiasan Selendang Cetus Gaya Fesyen Istimewa
Penampilan Raja Permaisuri Agong yang sopan berbaju kurung menampilkan gaya fesyen unik dan tersendiri apabila baginda mengenakan selendang di dada. Padanan tudung dan selendang menjadikan gaya muslimah yang ringkas dan elegan ini menjadi fenomena tanah air.
Gaya ini merupakan cetusan ilham pereka tanah air negara iaitu Rizalman, menurut pereka tersohor ini penampilan berhijab yang digayakan oleh baginda membuatkan Rizalman menambah selendang di bahagian depan. Dan rekaan ini hanya dibuat untuk Raja Permaisuri Agong ini sahaja.
Tambahan lagi, kebanyakan busana miliki baginda dibuat oleh Rizalman sendiri dan kerjasama ini sudah berlanjutan selama 15 tahun lamanya. Hebat bukan?
Gaya Tudung Yang Ringkas Identiti Baginda
https://www.youtube.com/watch?v=VqGUSrPbGTc
Tunku Hajah Azizah yang bertudung litup tampak sopan, kemas dan elegan. Baginda biasa dilihat menggayakan tudungnya dengan dua cara iaitu dengan mempinkan kain tudung kebelakang dan lagi satu adalah dengan mengikat kain tudung secara lurus.
Ini merupakan dua gaya fesyen bertudung yang sering baginda gayakan dan ia kini telah menjadi identiti yang sebati dalam diri baginda sendiri. Gaya ringkas yang kemas dan ayu ini menampilkan keperibadian baginda yang bersahaja dan santai.
Malah baginda juga turut berkongsi bahawa pereka terkenal tanah air Rizalman menyatakan gaya tudung sebegini sudah cukup buat baginda, “less is more”. Ianya telah menjadi identiti baginda yang ringkas dan elegan sehinggalah ke hari ini.
Tenunan Pahang Inspirasi Zaman Berzaman
Tunku Hajah Azizah juga terkenal sebagai seorang pencinta kain tenunan songket, baginda juga selesa mengenakan busana daripada kain tenunan yang merupakan simbol tradisi zaman berzaman ini. Boleh dikatakan majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh baginda, digayakan dengan busana baju kurung kain tenunan songket.
Rasa cinta baginda terhadap kain tenunan songket ini cukup dikenali oleh rakyat jelata khususnya rakyat negeri Pahang. Mana tidaknya, baginda sendiri memiliki bakat besar dalam mereka kain tenunan tersebut dan apa yang menjadi perhatian adalah, kain tenunan tersebut di tenun oleh banduan penjara di Penjara Penor, Pahang.
Dan seluruh rakyat jelata di Malaysia kini kian mengenali kain Tenun Pahang ini. Rasanya hanya baginda sahaja yang merupakan Raja Permaisuri Malaysia yang memakai baju kurung kain tenunan oleh banduan!
Gaya Fesyen Minimalis Pilihan Baginda
Melihat gaya fesyen Tunku Hajah Azizah yang ayu dan ringkas menjadikan penampilan baginda tampak anggun. Gaya minimalis dengan padanan aksesori seperti rantai, cincin, kerongsang di bahu dan juga tas tangan kecil yang sudah cukup memadai bagi baginda.
Gaya ringkas tetapi anggun ini memiliki pesona yang tersendiri, di tambah pula dengan aura kerabat Diraja yang di miliki menjadikan Raja Permaisuri Agong Malaysia ini tampil dengan ciri unik dan elegan.
Gaya fesyen yang Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini pastinya akan membuatkan jiwa kita untuk cuba menggayakan fesyen seperti baginda.
Penampilan fesyen yang bersahaja, minimalis serta mengagungkan pakaian tradisi merupakan kunci kekuatan Raja Permaisuri Malaysia ini. Jom sama-sama kita martabatkan pakaian tradisi Malaysia dan tampil bergaya seperti Tunku Hajah Azizah!