OMG!!!
Kamu pernah mengalami masalah faraj berbau hanyir seperti ikan? Keadaan faraj berbau hanyir persis bau ikan ini akan membuatkan mood kamu terus ke laut, kamu terasa tidak selesa, faraj kamu lembap memanjang sekaligus boleh menyebabkan tekanan. Tapi agaknya kenapa faraj boleh berbau sedemikian? Adakah pengaruh pemakanan? Atau gaya hidup yang tidak sihat kamu amalkan?
Disebabkan Bakteria?
Bau faraj yang hanyir persisk bau ikan ini adalah simptom lazim bagi Vaginosis Bakteria. Dalam faraj yang normal dan sihat, persekitaran dalaman faraj didominasi oleh spesis bakteria yang menghasilkan asid laktik (Lactobacillus spp) iaitu keluarga bakteria baik yang memastikan keadaan dalaman faraj sihat. Cara mereka memastikan persekitaran dalaman yang sihat ini adalah dengan menghasilkan pH persekitaran yang bersifat asid untuk menekan pertumbuhan bakteria-bakteria lain.
Selain itu, mereka juga menghasilkan hidrogen peroksida, bahan yang membunuh bakteria jahat yang lain sekaligus menghalang dominasi spesis bakteria lain yang boleh mengganggu kesihatan dalaman faraj. Dalam Vaginosis Bakteria, berlakunya gangguan kepada pH persekitaran dalaman faraj, menyebabkan bakteria lain yang dahulunya tertekan pertumbuhannya, boleh membiak dengan pantas dan banyak. Lazimnya, spesis yang bertanggungjawab dalam menyebabkan Vaginosis Bakteria ini adalah bakteria Gardnerella vaginalis.
Vaginosis Bakteria
Sejenis masalah jangkitan faraj yang lazim, dengan anggaran bahawa 5 daripada 100 wanita mengalaminya. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya separuh daripada mereka yang mengalami Vaginosis Bakteria tidak menyedari sebarang simptom dan tidak sedar mereka menghidapinya. Bagi yang sedar, simptom yang mereka perasan mungkin salah satu atau lebih daripada mana-mana tanda dan simptom di bawah:
Simptom keradangan – Disebabkan spesis baru mendominasi persekitaran dalaman faraj, spesis ini menyebabkan keradangan kepada dinding faraj dan struktur vulva, menghasilkan simptom seperti kegatalan, rasa sakit mirip terbakar dan kekeringan faraj. Rentetan ini, dinding faraj akan kemerahan dan membengkak, menyebabkan sakit ketika bersama dengan pasangan atau ketika kencing.
Bau hanyir persis ikan – Bakteria anarobik baru yang mendominasi perseketiraan dalaman faraj menghasilkan molekul amine yang apabila meruap, menghasilkan bau yang hanyir. Kadar amine meruap ini meningkat apabila berlakunya peningkatan pH seperti selepas seks (akibat kehadiran air mani) atau ketikah haid (akibat darah), menyebabkan bau ini lebih kuat.
Wanita yang menghidapi Vaginosis Bakteria boleh juga mengalami lelehan nipis berwarna kelabu keputihan yang banyak namun simptom ini tidak unik kepada Vaginosis Bakteria.
Jika anda perasan perubahan di atas, segera berjumpa dengan doktor untuk memastikan sama ada anda benar-benar menghidap Vaginosis Bakteria atau mungkin diakibatkan jangkitan lain.