Penulis antara peminat drama Korea bertajuk “My First First Love” di Netflix. Walaupun mengetengahkan tema rom-com tetapi ternyata drama ini berbeza, lainnya siapa sangka watak hero tidak mendapat apa yang diingini. Hero kedua pula yang diangkat.
My First First Love kaya dengan elemen persahabatan menarik untuk ditonton. Sekumpulan teman tinggal di bawah satu bumbung yang sama. Melalui satu sama lain, mereka menemui cinta, persahabatan, dan segalanya. Bagaimana kehidupan seharian yang suram terus bertukar gembira dengan kehadiran sahabat yang sentiasa ada bersama. My First First Love buat anda rasa bahagia melihat keikhlasan persahabatan mereka.
Musim pertama penonton diperkenalkan dengan hubungan persahabatan antara Tae-o (Ji Soo) dan Song-i (Jung Chae Yeon). Mereka berkawan dari kecil sehinggalah kedua memasuki universiti, mereka sangat rapat tetapi langsung tidak mempunyai perasaan satu sama lain. Hubungan jadi renggang apabila Tae-o berkenalan dengan Ryu Se-hyun (Hong Ji Yoon) manakala Song-i jatuh cinta dengan sahabat Tae-o, Do-hyeon (Jung Jin Young). Episod akhir musim pertama menyaksikan adrenalin penonton naik memuncak apabila Tae-o melihat Song-i dan Do-hyeon bercumbuan.
Meneruskan kisah mereka, My First First Love tampil musim kedua. Menerusi trailer, kita dapat melihat Song-i dan Do-hyeon memberitahu mereka sedang bercinta. Tae-o mula berasa janggal dan hubungannya bersama Ryu Se-hyun mula dilanda badai. Pelbagai konflik terjadi antara Tae-o, Song-i, Do-hyeon dan Se-hyun mencetuskan kebimbangan kepada penonton.
Agaknya Song-i dan Tae-o akan bersama atau mereka kekal BFF? My First First Love akan menemui penonton Netflix pada 26 Julai 2019… Sama-sama kita tonton ye!