Kecantikan

Sulam Bedak Pula Viral, Apa Kaedahnya?

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
Sulam Bedak Pula Viral, Apa Kaedahnya?

Sejak kebelakangan ini, terlihat banyak akaun Instagram milik beberapa pusat kecantikan heboh menjaja servis dipanggil “Sulam Bedak”. Ramai sebenarnya tidak mengetahui tentangnya melihatkan trend kecantikan yang satu ini agak baru diperkenalkan kepada pengguna di Malaysia. 

Diakui, rawatan ini berkesan untuk menyekatakan warna kulit di samping, mampu buat wajah terlihat lebih cerah tetapi masih ada kalangan yang meragui kerana ia sebenarnya berupa sapuan bedak asas separa kekal (semi permanent makeup).

Berasal Dari Korea

Korea adalah antara negara yang memiliki teknologi kecantikan paling cekap di dunia sekaligus dipenuhi lambakan pusat kecantikan dan hospital swasta yang menawarkan pembedahan plastik pada harga jauh lebih murah.

Di Korea Selatan umunya, rawatan bukan invasif (tanpa suntikan dan torehan) ini sudah diperkenal sejak beberapa tahun lalu. Ianya menggunakan istilah BB Face Glow atau Water Shine BB Glow dan apa yang menarik adalah, kesannya dapat dilihat selepas satu jam menerima rawatan di mana kulit kusam akan berubah menjadi lebih cerah serta-merta.

Tonton Pengalaman Wanita Dapatkan Rawatan BB Face Glow @ Sulam Bedak

Pigmen berwarna khas (serum bedak asas berpigmen) akan ditusuk masuk ke permukaan kulit dan ianya akan kekal buat beberapa minggu – bulan seperti lapisan foundation/BB cream. Ini akan menampakkan wajah seperti sudah sedia memakai solekan walaupun individu itu tidak mengenakan sebarang sapuan bedak.

Kaedah Rawatan Hampir Sama Dengan Microneedling

Jika “Microneedling” menggunakan jejarum bermata halus (dermapen) untuk menghasilkan lubang-lubang mikro pada wajah agar serum yang digunapakai dalam perawatan lekas masuk ke dalam rongga kulit sekaligus beri rangsangan pada kulit untuk hasilkan kolagen dan dan elastin, hal itu sebenarnya hampir sama dengan teknik yang digunakan dalam perawatan sulam bedak.

Teknologi Meta Therapy Banyak Diguna Dalam Perawatan Sulam Bedak

Seperti rawatan sulam bedak yang lebih dikenali sebagai BB Face Glow atau Water Shine BB Glow, wajah kamu tidak akan ditoreh sehingga meninggalkan parut sebaliknya, ia melibatkan penggunaaan jejarum halus untuk memberi refleksi pada permukaan kulit –hasilkan lubang-lubang halus pada wajah agar memudahkan penetrasi serum bedak asas berwarna tersebut masuk terus ke dalam kulit dalam masa kurang lebih 30 minit.

Setelah itu, wajah dibersihkan dan disapu hydrogel sebelum memakai topeng berlampu LED untuk memberi tona wajah lebih sekata serta menjadikan penyerapan lebih maksimum.

Warna serum bedak asas yang dipilih untuk pelanggan akan ditentukan pakar estetik sendiri menerusi 3 pilihan warna dari yang paling cerah hingga paling gelap.

Hukum Lakukan Sulam Bedak

Meskipun ramai pakar estetik di Malaysia mengakui keadah Sulam Bedak ini adalah selamat dan ada antaranya juga mengakui yang ianya halal dari segi hukum, sebenarnya sehingga kini masih belum dapat dipastikan kesahihan hukum halal tersebut kerana rawatan ini boleh dikira sangat baharu di Malaysia. Fatwa juga belum pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk dikaitkan dengan perawatan sulam bedak ini.

Rawatan sulam bedak mula popular di Indonesia sebelum akhirnya menjadi tumpuan di Malaysia. Sumber: pratista.id

Namun begitu, menurut pemahaman yang diperoleh menerusi rujukan daripada beberapa sumber artikel dan video, kita boleh faham yang ianya menyerupai teknik kecantikan “Microblading” apabila, sejenis pigmen berwarna (dakwat) dicacah masuk ke bahagian kulit untuk menghasilkan kening yang terbentuk cantik tanpa bahagian-bahagian yang melopong tanpa bulu kening.

Microblading menggunakan bilah pisau kecil untuk menebuk halus kulit -memasukkan warna pada bahagian kening seperti tatu. Sumber: prevention.com

Hal ini pastinya sama dengan teknik sulam bedak yang memasukkan warna pada kulit untuk menghasilkan semi-permananet foundation (bedak asas separa kekal) kerana walaupun dicuci atau berpeluh, warna itu masih kekal dan bertahan untuk beberapa jangka masa tertentu -minggu hingga berbulan.

Apakah ianya menyerupai tatu? Penulis serahkan sepenuhnya kepada kamu untuk menilai dan janganlah hanya kerana hendak cantik, kamu sanggup dan berani menaruhkan agama.

Selamat beramal! ❤

RUJUKAN 1, 2, 3, 4

BACA  Popular, Pakar Bedah Plastik Dedah Wajah K-Pop Idol Yang Jadi Permintaan Ramai