Fesyen

Pesta Corak & Sequin Di Karpet Merah Billboard Music Awards 2019!

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
Pesta Corak & Sequin Di Karpet Merah Billboard Music Awards 2019!

Tak semua orang mampu menggayakan fesyen yang dipenuhi corak gah dan sebagai jalan selamat, ramai lebih gemar memilih busana yang berasaskan fabrikasi polos.

Namun, melihatkan musim panas telah mengambil alih bumi Hollywood baru-baru ini, selebriti yang menghadiri acara Billboard Music Awards di Las Vegas (pagi ini waktu Malaysia) nampaknya sakan bergaya dengan helaian-helaian ekstrem yang dihiasi cetakan yang berwarna-warni. Manakala, ada juga yang memilih untuk bergaya glamor dengan busana berperincian butiran kilauan sequin!

Ada yang mengetengahkan motif floral, motif abstrak dan banyak lagi, lihat bintang mana yang paling menyinar dengan fesyen bawaan mereka sepanjang acara karpet merah untuk Billboard Music Awards berlangsung!

#1 Sophie Turner

Jarang lihat persalinan jumpsuit yang bercorak sebegini, helaian karpet merah Sophie Turner yang diperbuat dari fabrik brokat ini nampaknya menyerlahkan lagi warna rambut keemasan yang dimiliknya. Nampak menarik dan lain daripada lain.

Sumber: Kevin Mazur/Getty Images for dcp

#2 Ingrid Michealson

Bagai berada di parti Coachella, singer-songwriter yang berusia 39 tahun ini hadir dengan kelaian apabila menggayakan helaian two-piece yang dipenuhi warna-warni floral menggoda! Lagi manis bila rambutnya dihimpun dalam sanggul tinggi sebegitu.

Foto -Frazzer Harrison /Getty Images

#3 Paula Abdul

Meskipun sudah meningkat usianya, sosok yang pernah menjadi juri American Idol kesayangan ramai ini menyerlahkan sofistikasi dirinya dengan helaian blazer dress yang dihisi juntaian manik sequin yang sassy!

Foto -Emma Mcintyre/Getty Images

#4 Taylor Swift 

Manis dibaluti rona Lavender, Taylor Swift memang tidak lokek untuk bergaya feminin setiap kali melangkah ke karpet merah. Kali ini, beliau seolah sengaja mewujudkan kemeriahan menerusi dress mini yang sarat dengan ropol untuk mempamerkan personalitinya yang tersendiri.

Sumber: Billboard

#5 Julianne Hough

Antara busana karpet merah yang boleh dikira cute! Jualianne Hough tampil seksi mengenakan two-piece berbentuk bralette dan hot-pants yang kemudiannya, dipadankan dengan blazer sutera bersulam sequin. Sangat ringkas namun cukup bergaya.

Foto -Frazer Harrison/Getty Images

#6 Saweeti & Quavo 

Pasangan rapper ini masing-masing menyerlahkan aura musim bunga/panas menerusi helaian yang dimewahkan dengan motif floral oriental di mana, Saweeti tampil anggun dalam persalinan dress berpotongan cheongsam yang sarat dengan butiran sequin monokrom manakala, Quavo pula kelihatan ‘jambu’ dengan kemeja berbunga. 

Foto -Frazer Harrison/Getty Images

#7 Zedd

DJ Zedd mengetengahkan gaya ranggi maskulin apabila tampil hebat dalam padanan suit bercetak penuh yang diceriakan ilusi sisik ular serta perincian butiran sequin pada garisan kolar. So sleek!

Foto -Frazer Harrison/Getty Images

#8 Diplo

DJ Diplo yang semakin meningkat popular ini tampil berani dengan persalinan ala koboi namun, sudah diberi nafas baharu apabila fabrikasinya berwarna ungu sambil dilengkapi perincian sulaman bunga yang eksotik! 

Foto -John Shearer/Getty Images for dcp

#9 Sofia Reyes

Dipenuhi perincian ropol, fabrikasi jenis mesh yang dipilih tidaklah begitu membosankan apabila ianya dihiasi bunga timbul mini yang membuatkan gaun kemban ini tampak mewah bersahaja.

Foto -Shutterstock

#10 BTS

Dengar kata pakaian BTS untuk karpet merah Billboard Music Awards 2019 ini dibuat khas oleh pereka fesyen Alexander McQueen! Meskipun rata-rata mereka memakai suit monokrom, ada pula antaranya duanya yang ranggi menyarungkan suit bercetak. Comel!

Sumber: Billboard

Bagi kamu, helaian fesyen mana yang paling memukau?!

RUJUKAN 1, 2

BACA  Makin Tua Makin Segak, Keanu Reeves Jadi Wajah Baharu Jenama Saint Laurent