Seronok bukan kepalang lagi apabila kamu dan pasangan sepakat untuk mengakhiri zaman bujang ke jinjang pelamin. Persiapan untuk ke alam perkahwinan bukanlah mudah seperti yang disangka. Jika anda rasa untuk menguruskan majlis perkahwinan sudah cukup memeningkan tunggu pula setelah selesai majlis. Masa itulah kamu dan pasangan akan kenal benar tentang pasangan dan keluarganya.
Penulis faham ada diantara kita terlalu teruja dengan penyatuan dua keluarga dan lebih lagi apabila bakal mertua juga menunjukkan tanda-tanda kemesraan dan terbuka hati menerima kamu sebagai menantu. Namun nasihat penulis ada perkara yang kamu perlu jaga terutamanya tentang batas-batas sebelum kamu dan pasangan berkahwin. Ini kerana untuk mengelakkan dari kamu terus terjerut dalam angan-angan indah ketika bersama mertua.
Jadi penulis mahu kamu sentiasa kekalkan batasan yang ada sebelum bergelar menantu. Fahamilah kamu akan belum tentu kekal seseorang itu selagi tidak hidup bersama.
#1 Posting di media sosial
Rasanya tidak perlu untuk tunjuk segala ‘kebahagiaan’ kamu dan bakal metua di media sosial. Jika kamu ada menziarah, keluar makan bersama sekalipun cukuplah sekadar merahsiakannya. Bukan apa pada mulanya memang sempurna tapi lama-kelamaan akan terasa pedihnya. Nanti kamu akan terbiasa untuk membuka pekung di media sosial tentang mertua. Kita tidak selamanya okay kerana suatu hari nanti setelah menjadi menantu sendiri akan faham.
Orang luar juga turut akan meluat apabila kemesraan bersama mertua ditayang-tayang. Bila sudah tidak baik, nanti nak jawab apa kalau orang tanya? Tak ke malu ~
#2 Bercerita tentang masalah keluarga
Memperkenalkan dan berkongsi cerita tentang latar belakang keluarga kamu dengan bakal mertua sudah cukup. Zip mulut kamu mengenai masalah dan aib keluarga kamu bukan sahaja ketika sebelum bergelar menantu malah selepas bergelar menantu. Ada ketika kamu akan merasa keluarga mertua lebih baik dari keluarga kamu sendiri namun fikirlah masak-masak, tiada yang lagi baik selain dari darah daging kita sendiri.
Kunci dan pendam segala aib keluarga kamu dari didedahkan pada keluarga mertua.
#3 Hipokrit
Di awal perkenalan kamu sudah memain peranan bak pemenang pelakon terbaik Anugerah Skrin. Hentikan sebelum segala sikap pura-pura kamu terbongkar. Sebaiknya jadilah diri kamu sendiri dan berkata jujur, tidak perlu anda bercakap perkara yang tidak benar semata-mata untuk mendapat perhatian atau tanggapan yang baik. Tidak salah serlahkan sisi kekurangan kamu kepada bakal mertua kerana itu juga salah satu taktik untuk melihat keikhlasan mereka menerima kamu.
Diharapkan perkongsian tidak mengecilkan hati mana-mana pihak tapi menyedarkan kita semua untuk bertindak dengan cara yang paling logik. Hidup kita bukannya ada skrip seperti dalam program televisyen.